Monday, 2 September 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 6 (SAYA DAH INGAT AWAK)

6
SAYA DAH INGAT AWAK






            Sudah seminggu Taufik bertugas sebagai ketua bahagian di jabatan kami. Namun, aku tetap melayannya sama seperti pertama kali berjumpa. Rakan-rakan sekerjaku yang lain sudah mulai rapat dengannya. Aku pula semakin hari semakin cuba menjauhkan diri daripadanya. Kami hanya akan bertemu atas urusan kerja dan jika bertembung di mana-mana aku hanya akan memberikan senyuman kepadanya dan cepat-cepat melarikan diri.
Entah kenapa sejak kejadian kunci jatuh minggu lepas, aku kadangkala asyik terfikirkan Taufik. Bukannya terfikirkan dia kerana dah angau tapi terfikir apa yang membuatkan kami sentiasa dipertemukan dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Bukan aku mengelak takdir tetapi lebih kepada mengelak dari insan bernama Taufik Ilham. Taufik pula seperti mengerti aku lebih selesa berkeadaan begini jadi dia sudah kurang memanggil namaku sesuka hatinya seperti sebelum ini.
            Aku mulakan minggu baru dengan penuh semangat dan azam yang tinggi. Seperti biasa menyelesaikan semua kerja-kerjaku yang pastinya sentiasa banyak dan tidak akan pernah habis. Aku langsung tidak keluar dari ofis dan hanya menghadap komputer sehinggalah tengah hari. Tepat jam 1.00 tengah hari terdengar bunyi ketukan di pintu bilikku.
‘Amaani jom makan.’ Harlina muncul di muka pintu.
            ‘Jom.’ Cepat saja aku membalas. Perut sudah lapar sebenarnya. Aku mengemas fail di atas meja, mencapai beg tangan dan berjalan keluar bersama Harlina.
            ‘Bos jom lunch sekali.’ Aku terkejut mendengar kata-kata Harlina. Taufik kelihatan baru keluar dari biliknya.
            ‘Boleh juga.’ Taufik bersetuju. Kenapalah dia setuju. Malas betul hendak makan sambil menghadap muka dia. Bukannya aku tidak sukakan Taufik, cuma aku merasa agak kurang selesa dengannya. Kadang-kadang aku rasa seperti nak telan sahaja muka dia tu kerana selalu muncul tiba-tiba tanpa dijangka. Kami bertiga terus bergerak turun ke lobi. Aku hanya mendiamkan diri. Harlina dan Taufik berbual berdua tetapi aku tidak mahu sibuk mengacau.
            ‘Naik kereta saya ya.’ Taufik menawarkan.
            ‘Ok bos.’ Laju saja Harlina bersetuju. Aku tidak mahu banyak soal dan hanya mengikut. Perut sudah lapar dan aku tidak suka makan seorang jadi tidak boleh mengada sangat. Kami berjalan menuju ke arah kereta Taufik. Aku terus menuju ke tempat duduk belakang.
            ‘Eh awak nak duduk mana tu?’ Harlina bertanya kehairanan.
            ‘Duduk belakang.’ Aku menjawab malas.
            ‘Awak duduk lah depan saya duduk belakang. Kalau saya duduk depan, Zafrul nampak nanti susah saya.’ Tahu pun takut teman lelaki nampak, tadi bukan main lagi ajak Taufik makan sekali.
            ‘Kalau macam tu kita berdua duduk belakang.’ Aku memberi idea kurang bijak.
            ‘Apa lah awak ni. Tak kan bos kita nak jadi driver kita pula.’ Harlina membuka pintu kereta dan menarik aku duduk di hadapan. Dia cepat-cepat masuk ke tempat duduk belakang. Aku geram. Taufik pula hanya tertawa kecil. Apa yang lucu pun tidak tahu. Aku duduk betul-betul rapat ke pintu kereta. Kami memilih untuk makan di sebuah restoran berhampiran pejabat. Kira-kira 10 minit sahaja jaraknya. Orang agak ramai di dalam restoran tersebut.
            ‘Tempat ni memang selalu ramai orang. Saya dengan daddy selalu makan dekat sini.’ Taufik memberitahuku semasa kami beratur untuk mengambil nasi. Tak tanya pun nak beritahu. Tetapi kata-kata Taufik itu membuatkan aku sedikit kagum kerana Datuk Fauzi selalu makan di sini. Beliau memang tidak memandang kepada status tempat.
            Mujurlah ada sebuah meja kosong di sudut kedai. Kami terus menapak ke situ dan mengambil tempat duduk. Aku cepat-cepat duduk di sebelah Harlina. Taufik pula duduk di kerusi bertentangan denganku. Taufik membaca doa makan untuk kami. Harlina sempat mencuit aku sambil tersenyum. Tidak tahu motif apakah dia mencuit aku. Setelah siap membaca doa aku terus menyuapkan nasi ke dalam mulut. Memang lapar sungguh. Aku memilih kari ayam, kubis masak lemak dan sambal belacan. Harlina pula memilih ayam goreng, pucuk paku goreng dan sambal kicap. Taufik memilih ayam masak lemak dan kubis goreng beserta sambal belacan. Sibuk nak ambil menu yang hampir sama dengan aku. Sempat lagi aku menyemak lauk-lauk orang.
            ‘Hazim.’ Harlina memanggil. Siapa pula yang dia panggil ni. Seorang lelaki menoleh ke arah kami.
            ‘Lina. Boleh pula jumpa kau kat sini ya.’ Lelaki yang bernama Hazim itu menjawab. Aku pula langsung tidak memandang. Hanya menumpukan perhatian pada nasiku.
            ‘By the way kenalkan ini bos aku, Encik Taufik dan ini rakan sekerja aku Amaani. Bos, Amaani ni Hazim, kawan saya masa di universiti dulu.’ Harlina memperkenalkan kami. Taufik bersalaman dengan Hazim dan seorang lelaki lain. Kawan Hazim barangkali. Aku hanya memberikan senyuman kepada mereka beberapa saat dan terus memandang ke arah lain.
            ‘Ini rakan sekerja aku, Syafiq.’ Giliran Hazim pula memperkenalkan. Bila entah nak habis sesi memperkenalkan diri. Aku bahagia menghirup sirap ais dalam gelas. Langsung tidak mempedulikan mereka.
            ‘Dah makan belum?’ Harlina menyoal.
            ‘Belum. Tengah cari meja kosong. Ramai pula orang hari ni.’ Hazim membalas.
            ‘Jom lah duduk sekali dengan kami. Kami bertiga je.’ Harlina mempelawa. Lagi satu bab yang aku tak suka. Makan sekali dengan orang tak dikenali. Riak wajahku berubah sedikit tetapi aku tetap mendiamkan diri. Hilang pula selera makan.
            ‘Boleh juga. Sekejap kami ambil nasi.’ Hazim berlalu pergi bersama Syafiq.
            ‘Bos dengan Amaani tak kisah kan. Sorry saya terus ajak kawan saya duduk sekali dengan kita.’ Harlina bersuara. Dah ajak baru nak minta maaf.
            ‘Saya tak kisah. Makan ramai-ramai pun bagus.’ Taufik membalas. Memang lah aku pun tak kisah kalau makan ramai-ramai tetapi dengan orang yang dikenali. Hazim dan Syafiq tiba di meja tidak lama kemudian. Mereka berdua duduk bersebelahan Taufik. Harlina sibuk berbual itu dan ini dengan mereka. Kadang-kadang turut disertai Taufik. Aku tiada mood untuk turut sama berbual dan terus menghadap menu.
            ‘Kawan kau diam je.’ Hazim menegur. Kenapa nak sibuk orang diam.
            ‘Kawan aku ni dia pemalu sikit dengan lelaki. Tapi sebenarnya dia peramah dan banyak mulut juga lah.’ Harlina tertawa. Aku hanya senyum paksa.
            ‘Tadi awak kata selalu pergi tengok LIMA dekat Langkawi kan? Sebenarnya saya teringin juga nak pergi tapi tak berkesempatan lagi.’ Taufik tiba-tiba bersuara dan semua orang memandang ke arahnya.
            ‘Nanti ada rezeki tahun depan jom lah pergi sekali dengan kami. Biasanya pergi berdua je. Tambah geng pun best juga.’ Syafiq membalas. Mereka kemudian berbual-bual pasal LIMA. Aku mempunyai firasat yang Taufik sengaja mengajak mereka berbual untuk mengelakkan aku menjadi perhatian. Adakah dia tahu aku tidak selesa dengan kehadiran Hazim dan Syafiq. Tetapi macam tidak logik pula.
            Selesai makan kami terus meminta diri untuk pulang ke pejabat. Jam sudah menunjukkan pukul 1.40 petang. Kami perlu terus pulang untuk solat Zuhur. Taufik sempat bertukar-tukar kad bisnes dengan Hazim dan Syafiq. Mereka berdua juga menghulurkan kad bisnes kepadaku dan aku mengambil. Apabila mereka meminta kad bisnes aku, aku beri alasan tertinggal di pejabat. Tetapi, memang benar tertinggal jadi aku tidak dikira menipu. Syafiq sempat menyuruh aku miscall nombornya. Aku hanya senyum. Mestilah perkara itu tidak akan berlaku.
            ‘Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati.’ Aku menyanyi kecil di dalam hati. Taufik menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya. Harlina pula sedang bergayut di telefon dengan Zafrul. Pelik sungguh orang bercinta, semua perkara perlu diberitahu. Harlina menceritakan tentang keluar makan denganku dan Taufik serta pertemuannya dengan kawan lama kepada Zafrul. Harlina pun satu, kalau hendak bergayut pun janganlah masa Taufik ada. Aku pula yang malu bila Harlina bersayang-sayang.
            10 minit perjalanan dan 10 minitlah Harlina berbual di telefon dengan Zafrul. Aku dan Taufik pula hanya membisukan diri masing-masing. Tiba di pejabat, aku terus berlari mengambil telekung. Harlina uzur katanya. Jadi aku ke surau seorang diri. Sebenarnya bukan seorang diri kerana apabila aku menoleh ke belakang aku terlihat Taufik turut berjalan menuju ke surau. Aku hanya senyum dan sambung berjalan. Kali ini agak laju. Maklumlah hendak mengalahkan kaki panjang Taufik bukannya mudah.
            Selesai solat aku terus keluar dan pada masa yang sama Taufik juga keluar. Mahu atau tidak kami terpaksa berjalan bersama menuju ke pejabat. Aku tidak mahu mengulangi perkara yang sama. Mustahil untuk menyuruhnya berjalan dahulu dan aku berjalan kemudian. Letih juga menyuruh orang buat benda yang sama.
            ‘Kenyang tadi?’ Taufik bertanya. Macam tak ada soalan lain.
            ‘Sangat kenyang. Memang sedap makanan dekat restoran tu.’ Aku menjawab ramah.
            ‘Lain kali boleh lah kita makan lagi dekat situ.’ Aku terkejut mendengar Taufik meneyebut ‘kita’. Aku tidak membalas kata-katanya itu.
            ‘Risya.’ Dia memanggilku lembut. Aku tidak sedap hati. Kali pertama dia memanggilku Risya. Biasanya Batrisya. Adakah ini petanda ada udang di sebalik maggi kari?
            ‘Awak tetap tak berubah.’ Ayat itu membuatkan aku mendongak memandang Taufik mencari jawapan dari wajahnya. Taufik seperti mengerti aku inginkan jawapan.
            ‘Awak memang tak ingat saya kan?’ Dia menyoal kembali. Semakin pelik aku dibuatnya. Kami kini berhenti dari berjalan.
            ‘Lebih kurang setahun yang lepas kita jumpa buat pertama kali di KFC.’ Taufik membuatkan aku semakin pelik. Tahun lepas aku rasa puluhan kali aku pergi KFC. Manalah aku ingat KFC yang mana satu. Aku masih buat muka pelik.
            ‘Masa tu kawan awak ajak saya duduk semeja sebab meja lain dah penuh. Kalau saya tak silap nama kawan awak Huda ataupun Nana. Dah lama sangat saya pun dah lupa. Saya berdua dengan kawan saya masa tu.’ Aku cuba mengingat kembali satu persatu kejadian yang diceritakan Taufik. Memegang daguku menggunakan jari telunjuk sambil mengingati. Lagi satu, nama kawan aku Husna bukannya Huda, Nana dan seangkatan dengannya.
            ‘Si baju merah.’ Aku tiba-tiba teringat dan kali ini Taufik pula yang menunjukkan wajah pelik.
            ‘Si baju merah?’ Dia mengulangi ayatku.
            ‘Bos pakai baju warna merah masa tu. Tapi saya tak pandang bos pun. Kawan saya suruh saya tengok budak pakai baju merah. Lepas tu kawan saya panggil baju merah masa nak ajak duduk.’ Aku menerangkan satu persatu. Bimbang Taufik akan salah faham.
            ‘Saya tahu awak tak pandang saya pun. Awak asyik tengok ayam lepas tu minum air je. Tapi ayamnya tak makan pun.’ Aku hampir tersedak mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Taufik. Ini bermakana dia sibuk mencuri pandang aku ketika itu. Macam tak ada kerja lain pula. Patutlah dia mampu mengingati wajah aku walaupun sudah setahun berlalu. Aku buntu tidak tahu apa yang harus dibalas.
            ‘Saya tahu awak tak suka makan semeja dengan orang yang tak dikenali kan?’ Macam mana dia boleh tahu. Aku tak pernah cakap pun. Aku hanya merenung wajah Taufik dengan pandangan tiada perasaan. Aku sempat mengerling jam di dinding dan jam menunjukkan tepat jam 2.00 petang. Aku mendapat idea untuk lari dari situasi ini.
            ‘Dah pukul 2.00 petang bos. Saya masuk pejabat dulu. Bye.’ Aku laju saja berlari anak sebelum sempat menghabiskan ayat. Taufik hanya memerhatikanku pergi namun aku langsung tidak menoleh.



No comments:

Post a Comment