8
100 PLUS
Pagi ini Taufik menyuruh aku ke
tapak bina bersamanya untuk melihat perkembangan projek. Aku tidak membantah.
Tambahan pula atas urusan kerja. Tepat pukul 9 pagi kami keluar dari pejabat.
Kami menaiki pacuan empat roda milik syarikat. Kebiasaannya memang kenderaan
ini yang akan digunakan apabila staf hendak ke tapak bina. Kami langsung tidak
berbual di sepanjang perjalanan. Aku sibuk melihat keluar tingkap dan Taufik
pula fokus terhadap pemanduannya. Tiba-tiba aku teringat sesuatu.
‘Bos, boleh tak kita singgah
mana-mana supermarket kejap? Aku
menyoal teragak-agak. Biasanya aku ke tapak bina seorang diri jadi tiada
masalah untuk aku berhenti di mana-mana dan membeli 100 Plus. Sudah menjadi
kebiasaanku jika ke tapak bina pasti akan membeli sesuatu untuk para buruh di tapak
bina.
‘Kenapa?’ Taufik menyoal kehairanan.
‘Nak beli 100 Plus.’ Aku menjawab
pendek sambil tersenyum.
‘Nak buat apa?’ Seperti biasa soalan
demi soalan diajukan.
‘Nak bagi pada buruh. Dulu masa saya
belajar, pensyarah saya pernah cakap salah satu cara nak buatkan pekerja buruh
bersemangat nak bekerja adalah dengan belanja mereka. Pensyarah saya bagi
contoh belanja air 100 Plus. Tu salah satu cara untuk buat pekerja jadi lebih
efektif.’ Aku menerangkan dengan panjang lebar. Malas hendak mendengar soalan
demi soalan yang akan diajukannya.
‘Bagus juga cara tu. Saya belajar
sesuatu yang baru dengan awak hari ni.’ Taufik tersenyum tetapi masih
menumpukan perhatian pada jalan.
Kira-kira 10 minit kemudian Taufik
singgah di sebuah pasaraya. Aku keluar dari kereta dan diikuti oleh Taufik.
Niat di hati nak pergi seorang tetapi malas hendak melarang Taufik. Jadi aku
hanya membiarkan sahaja. Aku berjalan laju mengambil troli dan menuju ke arah
kotak-kotak air dalam tin. Terus mencapai dua katon air 100 Plus untuk
dimasukkan ke dalam troli.
‘Biar saya yang angkat.’ Taufik
segera mengambilnya dari tanganku.
‘Tak apa. Saya dah biasa angkat
sendiri.’ Aku membantah.
‘Mulai sekarang jangan biasakan
angkat barang berat macam ni.’ Nada Taufik tegas. Aku hanya mendengus kecil. Dua
katon lagi diambil dan kami terus menolak troli ke kaunter bayaran. Aku
mengeluarkan RM150 dari dompetku dan menghulurkan kepada cashier. Namun, pada masa yang sama Taufik juga mengeluarkan
wangnya.
‘Guna duit saya. Simpan duit awak
tu.’ Taufik menyuruh dan kali ini aku tidak mahu beralah.
‘Guna duit saya je lah. Kan ini
cadangan saya.’ Aku seperti mahu berdebat. Taufik menggelengkan kepala. Cashier wanita tadi hanya tersenyum ke
arah kami. Aku juga menyedari dia lama memandang Taufik.
‘Cik, tolong ambil duit saya.’
Taufik memandang ke arah cashier tersebut
sambil tersenyum. Dengan senyuman Taufik sudah pasti aku kalah. Cashier tersebut laju saja mengambil
wang di tangan Taufik sambil senyum tersipu-sipu. Aku memasukkan wang ke dalam
dompet sambil mengeluh perlahan. Selesai mengambil baki dan Taufik mengucapkan
terima kasih, kami terus beredar. Aku sempat menoleh ke belakang dan aku lihat cashier tadi masih senyum tersipu-sipu
sambil memandang Taufik. Tak faham betul aku dengan semua orang.
Kami tiba di tapak bina 30 minit
kemudian dan terus menemui Encik Arif. Beliau merupakan site supervisor untuk projek ini. Kami mendengar penerangan Encik
Arif dengan teliti berkaitan perkembangan projek dan juga masalah-masalah yang
timbul di tapak. Seperti mungkin bagi mengelakkan project delay. Selesai mendengar segala keterangan dari Encik Arif
aku terus meronda sekitar tapak bina untuk mengambil gambar. Gambar-gambar ini
nanti seperti biasa akan aku masukkan ke dalam monthly progress report.
Taufik
pada mulanya ingin menemaniku namun aku berkeras tidak mahu. Tak ada motif pula
dia nak ikut aku, selama ni aku sudah biasa ke tapak bina seorang diri dan
tiada masalah pun. Beberapa orang buruh menegurku. Mereka sudah mengenaliku
kerana aku sering ke sini untuk melawat tapak.
‘Non Amaani, kapan sampai?’ Pak
Sudir yang sedang mengangkat simen menegurku.
‘Baru tadi Pak. Bapak sihat?’ Aku
tersenyum dengan ramah.
‘Sihat non. Cuma sejak akhir-akhir
ini sering sakit belakang.’ Sambil memegang belakangnya dia menjawab.
‘Bapak kerja kuat sangat ni. Bila di
rumah banyakkan berehat. Kalau tak sembuh juga nanti bagitahu Encik Arif
tukarkan tugas bapak untuk bancuh simen pula. Cakap Amaani yang suruh.’ Aku
memandang sayu Pak Sudir yang sudah hampir mencecah setengah abad itu. Kasihan
dia, masih perlu bekerja keras untuk menampung keluarganya di Indonesia.
‘Nggak apa-apa lah non. Sakit biasa
aja. Di sapu minyak baik semula. Bapak ini orang susah jadi tidak boleh memilih
kerja.’ Pak Sudir menjawab dan aku hanya membalas dengan senyuman.
‘Non, itu di hujung sana itu siapa?
Dari tadi Bapak lihat pandang-pandang ke sini.’ Aku menoleh ke arah yang
ditunjukkan oleh Pak Sudir. Taufik sedang berdiri kira-kira 10 meter dari
tempat aku berbual dengan Pak Sudir. Dia ikut juga aku rupa-rupanya. Memang tak
makan saman betul dia ni.
‘Oh itu bos baru saya pak.
Menggantikan Encik Faizal. Nanti saya kenalkan dengan bapak.’ Aku memberikan
senyuman kepada Pak Sudir sebelum beredar. Tidak mahu mengganggu lama Pak Sudir
yang sedang dalam waktu bekerja. Aku berjalan dengan malas ke arah Taufik.
‘Bos, nak kunci kereta boleh?’ Aku
menghulurkan tangan sebaik sahaja samapi di hadapan Taufik.
‘Nak balik dah ke?’ Taufik bertanya
kehairanan.
‘Belum bos. Air 100 Plus kan tak
bagi lagi. Nak pergi ambil dalam kereta.’ Aku menjawab malas.
‘Owh lupa pulak saya.’ Taufik
membalas sambil tersenyum. Ada aku suruh ingat. Orang minta kunci kereta pun
banyak pula soalnya. Taufik mula melangkah meninggalkanku.
‘Bos, nak pergi mana? Saya nak
kunci.’ Aku memanggil Taufik sambil mengekorinya dari belakang. Kaki dah lah
panjang macam zirafah. Dah kena kejar dia pula.
‘Pergi ambil air 100 Plus.’ Taufik
menjawab pendek. Aku mengerutkan dahi.
‘Bos saya boleh angkat sendiri lah.
Saya dah biasa. Sebelum ni saya angkat sorang je . Tak ada masalah pun.’ Aku
membebel.
‘Mulai sekarang awak dah tak boleh
angkat benda-benda berat macam tu. Dulu saya tak ada, sekarang saya dah ada.’
Taufik pula membebel. Apa pula kaitan dia ada atau tak ada dengan aku. Aku
mengeluh perlahan. Suka hati bos lah nak buat apa. Aku akhirnya hanya mengekori
Taufik ke kereta dengan muka masam mengalahkan mangga muda.
Setelah mengambil air 100 Plus, kami
kembali ke tapak bina dan mula mengagihkan air 100 Plus tersebut kepada semua
buruh binaan di situ. Aku memperkenalkan Taufik terlebih dahulu kepada mereka
dan sempat memberitahu bahawa Taufik yang membelanja mereka air. Taufik
agak-agak malu dan menerangkan semula bahawa itu adalah cadanganku.
Pada mulanya Taufik kelihatan agak kekok,
namun setelah beberapa ketika aku melihat dia mula berbual-bual dengan beberapa
orang pekerja. Aku tersenyum melihatnya. Kalau nak jadi bos, biarlah jadi bos
yang mesra alam dengan para pekerja. Tidak kiralah pekerja dari status macam
mana pun. Kita tetap harus menghormati semua orang.
‘Non Amaani ini baik sungguh. Minggu
lepas mampir bawa biskut enak. Minggu ini bawa air enak pula.’ Sempat seorang
buruh menegurku semasa aku menghulurkan air kepadanya.
‘Biasa-biasa je bapak. Ini saja yang
saya termampu. Lagipun air ni bukan saya yang beli tapi bos baru saya, Encik
taufik.’ Dengan sopan aku membalas.
‘Oh begitu. Tapi sebelum-sebelum ini
non juga yang belikan. Bertuah benar siapa yang jadi suami Non. Orangnya baik,
manis, bijak juga.’ Pekerja lain pula memujiku. Berbunga-bunga hatiku kembang
semangkuk mendengar pujian itu. Aku hanya tersenyum malu dan tidak membalas.
Selesai mengagihkan air 100 Plus
kepada semua pekerja buruh, kami meminta diri untuk pulang. Semasa perjalanan
pulang kami berbual-bual kosong. Aku sebenarnya mengantuk tetapi layan saja lah
Taufik bercakap.
‘Awak memang baik dengan semua
pekerja dekat tapak ye?’ Seperti biasa, Taufik yang akan memulakan topik
perbualan.
‘Nak kata baik tu tak lah juga. Tapi
saya cuba untuk mendekati mereka dengan cara saya sendiri. Biar mereka rasa
dihargai. Secara psikologinya, bila kita rasa dihargai kita akan mempunyai
fikiran yang lebih positif dalam membuat sesuatu kerja. Lagipun tak salah kan
berbuat baik pada orang. Sekadar bertanya khabar dan memberi apa yang
termampu.’ Dengan panjang lebar aku menerangkan. Kan dah kena, siapa suruh
tanya. Dah aku membebel.
‘Jadi memang setiap kali awak pergi
tapak, awak akan bawakan sesuatu untuk mereka.’ Aku mengangguk mendengar soalan
Taufik. Lupa pula Taufik tengah memandu jadi mesti dia tidak memandangku.
‘Ye. tapi tak lah bawa yang
mahal-mahal. Bawa yang biasa-biasa je setakat saya termampu.’ Aku menjawab.
‘Bagus awak ni. Pendekatan yang
sangat bijak. Saya belajar sesuatu dari awak hari ni. Terima kasih Risya.’ Ada
senyuman terukir di wajah Taufik. Aku pun turut senyum.
‘Selama ni awak memang guna duit
awak lah ye. Mesti banyak yang dah digunakan.’ Taufik menyambung.
‘Tak banyak mana pun bos. Mak saya
selalu ajar supaya berkongsi rezeki dengan orang. Kalau sedikit yang kita
dapat, buatlah cara sedikit. Kalau banyak, mungkin banyak yang boleh kita
kongsikan. Tidak akan kurang rezeki seseorang itu jika dia memberi kepada
seseorang. Bos mesti kenal David Teo kan, penerbit terkenal tu. Walaupun dia
bukan Islam tapi saya suka salah satu prinsip dia. Dia kata salah satu petua
nak jadi kaya ialah berkongsi rezeki dengan orang, jangan tamak. Jadi
konklusinya kita jangan kedekut.’ Aku mengakhiri kata-kataku dengan helaan
nafas. Penat juga bercakap panjang-panjang tanpa berhenti. Aku sempat melihat
reaksi Taufik. Dia mendengar kata-kataku dengan teliti sambil tersenyum. Aku
memang suka kalau orang bagi tumpuan bila aku bercakap. Rasa dihargai. Taufik
memang seorang pendengar yang baik.
‘Saya suka cara awak meluahkan.
Penuh isi yang bermanfaat dan jujur.’ Aku terkedu mendengar perkataan ‘jujur’.
Dia terasakah dengan ayatku tentang jangan kedekut tu. Siapa makan cili dialah
terasa pedasnya. Tapi aku tidak rasa Taufik kedekut pun, lagipun air 100 Plus
tadi dia yang beria-ia hendak bayar.
‘Terima kasih bos. Jangan puji saya
lebih-lebih. Nanti saya kembang susah.’ Tiba-tiba rasa malu asyik kena puji.
‘Bagus juga awak kembang. Ni saya
tengok awak kurus je.’ Jawapan Taufik membuatkan aku rasa nak tembak dia dengan
pistol air.
‘Dah lah bos. Saya tak nak cakap
dengan bos dah. Saya nak berangan.’ Dengan selamba aku membalas. Taufik hanya
tergelak kecil. Selepas itu kami hanya mendiamkan diri sehinggalah sampai ke
pejabat.
No comments:
Post a Comment