5
KOPI AWAK SEDAP
Aku mengerling jam di skrin
komputerku. Baru jam 10.00 pagi. Masa yang sangat sesuai untuk minum kopi. Aku
melangkah keluar dari bilik pejabatku untuk ke pantri.
‘Kawan-kawan siapa nak minum kopi?’
Aku sempat bertanya sambil memandang semua rakan-rakan sekerjaku silih
berganti. Inilah rutin ku. Tidak lah setiap hari tetapi dalam seminggu lebih
kurang dua tiga kali aku akan membancuh kopi untuk semua orang. Mereka sering
memuji kopiku dan disebabkan itulah aku sering bersemangat bila sentuh bab
bancuh kopi. Bukan suka dipuji cuma senang hati melihat orang minum kopi
bancuhanku sambil tersenyum.
‘Kau nak pergi buat kopi kau yang
‘kaw’ tu ke? Aku nak.’ Haris cepat saja membalas. Dia memang pencinta setia
kopiku.
‘Aku pun nak’ Giliran Erina pula.
Dan beberapa lagi rakan sekerjaku yang lain turut sama meminta.
‘Ok lah, konklusinya semua orang nak
kan. Saya pergi buat sekarang. Lima minit ye.’ Aku sempat mengangkat tangan
kananku dan membuat isyarat lima menggunakan jari sebelum berlalu pergi ke
pantri.
‘Saya pun nak boleh?’ Sempat pula
aku mendengar suara Taufik. Bila pula dia keluar dari bilik dia. Aku memandang
Taufik sambil tersenyum. Lebih kepada senyum paksa sebenarnya.
‘Boleh bos.’ Aku menjawab pendek dan
terus berlalu. Dalam hati membebel macam mana dia boleh muncul tiba-tiba. Macam
tahu saja aku nak keluar.
Sampai di pantri, aku terus
mengambil 6 biji cawan untuk membancuh kopi tetapi bila difikir balik macam
melambatkan kerja pulak. Akhirnya aku mencapai jag yang agak besar saiznya di
tepi sinki. Lebih baik bancuh dalam jag. Besar pun besarlah janji lebih
efektif.
Selesai membancuh kopi aku terus
mengangkat semua cawan dan meletakkannya ke atas meja setiap orang kecuali
Taufik. Aku tinggalkan cawan untuknya di atas meja Erina. Kemudian aku masuk
semula ke dalam pantri untuk mengambil jag air kopi. Kelihatan kelakar pula
macam lipas kudung ke hulu ke hilir mengagihkan cawan dan kemudian membawa jag
‘gergasi’ itu keluar. Aku mencurahkan air ke dalam setiap cawan.
‘Amaani kau ni memang terbaiklah.
Kalau aku ada adik lelaki, memang aku dah suruh pinang buat isteri.’ Haris
seperti biasa dengan lawaknya yang buat aku rasa nak simbah je air kopi ni
dekat dia. Nasib baik juga dia dah kahwin, kalau tak mesti dia cakap nak buat jadi
isteri dia.
‘Erina, kau pergi tuang kopi ni
dekat bos.’ Aku menghulurkan jag besar itu kepada Erina.
‘Kau lah pergi tuang. Aku nak buat
kerja ni.’ Erina berdalih. Macam dia seorang saja ada kerja. Aku mengeluh
perlahan sambil mengangkut cawan dan juga jag ‘gergasi’ menuju ke bilik Taufik.
Tanganku penuh jadi aku akhirnya menggunakan cawan untuk mengetuk pintu.
Kedengaran suara Taufik menyuruh masuk. Macam mana aku nak buka pintu, tangan
aku penuh. Akhirnya aku mengintai Taufik di sebalik cermin kaca sambil
mengangkat tinggi jag ‘gergasi’ dan cawan. Taufik senyum ke arahku dan bangun
dari kerusinya untuk membuka pintu.
‘Maaf Batrisya. Masuklah’ Dia
mempelawa aku masuk. Dengan malas aku berjalan masuk. Meletakkan cawan dan
menuangkan air kopi untuknya. Aku terdengar suara orang ketawa. Aku menoleh ke
arah Taufik. Dia sedang menutup mulutnya sambil berusaha menahan tawa. Ketawa
tak tentu pasal macam orang tak betul ni kenapa.
‘Kenapa bos gelak?’ Aku bertanya
kehairanan. Dah serupa orang tak betul dia gelak.
‘Awak ni kadang-kadang comel. Saya
rasa jag ni lagi besar dari awak.’ Taufik masih dengan ketawanya. Tiba-tiba
pula puji aku comel. Aku tersenyum dalam hati. Berusaha gigih mengawal reaksi
wajah.
‘Dah tak ada jag lain bos. Yang ini
je yang ada.’ Aku menjawab malas. Setelah selesai menuang air kopi tersebut aku
cepat-cepat beredar keluar.
‘Batrisya.’ Aku mengeluh perlahan
mendengar namaku dipanggil lagi. Apa lagi lah yang Taufik ni mahukan. Aku
menoleh perlahan-lahan.
‘Terima kasih. Kopi awak sedap.’
Taufik sudah menghirup air kopiku. Tak jadi nak marah Taufik, sebaliknya aku
senyum meleret. Berbunga setaman kopiku dipuji. Setelah itu aku keluar dari
bilik Taufik.
Kira-kira setengah jam selesai minum
kopi kami didatangi oleh Puan Rania yang merupakan setiausaha Datuk Fauzi. Dia
datang bersama seorang wanita yang bagi aku sungguh cantik. Jika dikira memang
sangat sepadan dengan Taufik. Sempat pula aku memadankan orang. Kalau
dibandingkan dengan aku macam merak dengan ayam katik. Ayam katik itu aku lah.
‘Saya nak perkenalkan Harlina pada
anda semua. Harlina akan mula bekerja di bahagian ini sebagai setiausaha Encik
Taufik.’ Puan Rania memperkenalkan Harlina kepada kami. Dalam tempoh dua hari
ini, jabatan kami telah mendapat dua orang staf baru. Tetapi yang peliknya
semasa Encik Faizal dulu tiada setiausaha pun disediakan untuk beliau. Taufik
kan orang penting syarikat jadi haruslah mempunyai setiausaha. Fikirku di dalam
hati.
Harlina ditempatkan di meja kosong
yang berdekatan dengan bilik Taufik. Betul-betul di tepi pintu pejabat Taufik.
Mana tahu mereka berjodoh pula. Bagus juga Harlina muncul, pasti perhatian
Taufik akan lebih teralih kepadanya. Mungkin selepas ini tiada lagi orang yang
akan asyik memanggil-manggil nama aku.
Aku sempat berbual-bual kosong
dengan Harlina sekadar ingin beramah mesra dengan pekerja baru. Dia lebih
selesa kami memanggilnya Lina sahaja. Katanya lebih pendek dan ringkas.
Petang itu ketika baru sahaja hendak
keluar ke tempat letak kereta aku terserempak dengan Harlina.
‘Hai Lina. Tunggu siapa?’ Aku
menyapa Harlina.
‘Hai Amaani. Saya tengah tunggu boyfriend saya. Awak drive sendiri ke?’ Harlina menyoal
kembali. Nampaknya Harlina sudah berpunya. Baru sahaja aku hendak memadankan
dia dengan Taufik tetapi nampaknya ternyata gagal.
‘Aah saya drive sendiri.’ Aku menjawab pendek sambil tersenyum.
‘Oh, itu pun boyfriend saya sampai.’ Harlina menunjukkan ke arah sebuah kereta
Perdana yang menyusul masuk ke perkarangan bangunan. Teman lelaki Harlina
sempat membuka cermin tingkap.
‘Sayang, kenalkan ni rakan sekerja I . Amaani namanya. Amaani ni Amir, boyfriend saya.’ Harlina sempat
memperkenalkan kami. Aku hanya tersenyum sekadar mengelak dari dipanggil
sombong. Siap panggil sayang tu.
‘Hai Amaani. Tolong jaga girlfriend saya baik-baik.’ Amir sempat
berseloroh. Aku senyum dalam keterpaksaan. Kurang enak diperkenalkan dengan
kekasih orang.
‘Bye Amaani. Jumpa esok.’ Harlina
masuk ke dalam kereta dan kereta itu meluncur pergi meninggalkanku. Aku masih
berdiri di situ memikirkan idea kurang bijakku pagi tadi. Tapi benar juga orang
secantik Harlina pasti ramai yang terpikat. Beruntung siapa yang memiliki
Harlina. Nampaknya Taufik terpaksa undur diri. Cop, bila pula Taufik sukakan
Harlina. Aku yang pandai-pandai nak padankan mereka.
‘Batrisya.’ Aku terkejut dan kunci
di tanganku jatuh. Aku terus menoleh ke belakang ke arah suara yang cukup aku
kenali. Kunci aku biarkan di atas jalan. Nanti lah ambil.
‘Kenapa awak berdiri sorang-sorang
kat sini. Apa yang awak fikirkan?’ Soalan lagi dari Taufik. Naik rimas aku
dibuatnya.
‘Tak ada apa-apa bos. Saya dah nak
balik. Jumpa esok bos.’ Aku terus beredar menuju ke arah kanan, kemudian aku
teringat keretaku di parking di sebelah
kiri. Jadi aku berpusing ke arah bertentangan semula. Taufik pasti gelakkan
aku.
Sampai di kereta ketika aku hendak
membuka pintu baru aku perasan kunci tidak bersamaku. Aku terus sahaja
berpaling untuk mengambil kunci yang jatuh tadi dan Taufik sudah muncul
betul-betul di hadapanku.
‘Mak!!!’ Aku menjerit kecil dan aku
terdorong ke belakang. Mujur ada keretaku, jika tidak pasti aku sudah jatuh ke
atas jalan bertar.
‘Amaani awak okay?’ Taufik sudah
menghampiriku dan seperti hendak memegang tanganku.
‘Bos!!! Jangan pegang saya.’ Aku
sempat menjerit. Taufik seperti agak terperanjat mendengar aku menjerit. Mujur
tiada orang di situ. Jika tidak pasti malu Taufik dibuatnya.
‘Maaf. Saya tak ada niat nak sentuh
awak. Awak betul-betul ok?’ Taufik bertanya. Ada nada risau dalam katanya.
‘Saya ok lah bos. Jangan risau. Saya
nak balik dulu.’ Aku berdiri tegak semula sambil mengetuk-ngetuk perlahan
pinggangku. Sakit juga pinggang dibuatnya.
‘Kunci awak.’ Taufik menyerahkan
kunci kepadaku. Rasa bersalah pula kerana menengking Taufik tak tentu pasal
tadi. Rupanya dia hendak memulangkan kunci kepadaku.
‘Terima kasih.’ Aku mengambil kunci
itu dan terus membuka pintu kereta. masuk ke dalam kereta dan memandang Taufik
sekilas. Dia masih di situ, menunggu keretaku meluncur pergi. Aku
tertanya-tanya di dalam hati kenapa aku sering diketemukan dengan Taufik dalam
keadaan yang tidak dijangka. Nak kata Taufik tu stalker macam tak baik pulak dan lebih tepat tak logik. Apa lah
yang ada pada aku sampai dia nak stalk aku.
Letih memikirkan itu semua akhirnya aku memainkan lagu di dalam pendrive ku. Layan lagu lagi bagus dari
fikir pasal Taufik.
sedap awak
ReplyDelete