11
LOVE
CONFESSION
‘Risya.’ Panggilan Taufik membuatkan
aku berhenti ketawa. Aku memandang Taufik dan wajahnya begitu serius. Takut
pula tengok. Aku menundukkan kepala kerana tidak berani merenungnya lebih lama.
‘Awak ingat ini semua kelakar?’ Taufik
pula menyoal. Aku mengangkat kepala. Berfikir dua saat sebelum memberikan
jawapan.
‘Mestilah kelakar. Bos ni, saya dah
besar lah. Dah boleh fikir sama ada bos serius atau main-main.’ Ayatku agak
berbelit-belit tetapi hanya itu yang mampu aku luahkan.
‘Saya tak main-main. Saya serius.
Jujur dari hati saya sendiri.’ Aku terkedu mendengar kata-kata Taufik. Kenapa pula
Taufik boleh suka aku. Macam tak logik langsung.
‘Bos jangan main-main boleh tak.’
Aku meninggikan sedikit suaraku. Geram juga dibuatnya dengan Taufik.
‘Saya tak main-main.’ Sekali lagi
Taufik mengulangi. Aku semakin kaku di situ.
‘Ok lah kalau bos tak main-main,
saya nak bos jelaskan. Saya langsung tak faham sekarang ni.’ Aku memberi
peluang kepada Taufik. Tidak sabar untuk mengetahui alasan dan mendengar
penjelasannya.
‘Kali pertama saya jumpa awak, saya
rasa pelik sebab awak langsung buat tak tahu kat saya. Awak tak macam orang
lain. Pandang saya pun awak tak nak. Awak pandang sekali lepas tu awak sibuk
dengan ayam awak semula.’ Taufik memulakan penjelasannya. Tidak habis-habis
dengan isu ayam sejak dari awal. Agaknya dia nak suruh aku tenung, tatap wajah
dia sampai tembus baru tak rasa pelik.
‘Kenapa? Orang lain pandang bos
banyak kali sebab bos handsome?’
Dengan spontan soalan itu keluar dari mulutku. Menyesal pula tanya, nanti
sah-sah Taufik ingat aku memang mengiktiraf kekacakan dia tu. Padahal ini semua
sebab orang asyik cakap pasal benda yang sama. Aku tidak berani memandang
Taufik.
‘Saya tak bermaksud macam tu pun.
Awak dengar dulu penjelasan saya.’ Taufik menyambung. Aku hanya mengangguk.
Lepas ni memang aku senyap sampai balik.
‘Dan lepas kawan awak sebut nama
penuh awak, Amaani Batrisya. Saya tak tahu kenapa tapi saya suka sangat nama
tu. Bagi saya sangat menarik.’ Taufik sebenarnya suka aku atau nama aku.
‘Dan nama tu saya tak pernah lupa
sejak balik dari mall hari tu. Saya
ingatkan mungkin saya terfikirkan awak sebab awak pelik dan lain dari yang lain
serta nama awak. Tapi masa saya nampak awak kali kedua di luar dewan
konvokesyen, saya dapat rasa sebenarnya perasaan tu lebih daripada perasaan
pelik. Dan kemudian pertemuan ketiga di KLIA. Masa tu hati saya sejuk sangat
tengok awak pakai tudung labuh dan berjubah. Saya tahu awak baru balik dari
umrah sebab tengok dari cara pakaian awak. Tapi lepas tu saya berusaha untuk
cuba lupakan awak. Saya tumpukan pada semester akhir saya. Sebab masa tu saya
tahu agak mustahil untuk jumpa awak berkali-kali lagi. Saya tak ada apa-apa
maklumat tentang awak. Yang saya tahu hanyalah nama awak. Nama yang tak pernah
luput dari ingatan saya. Takdir Allah tu kita tak pernah jangka dan takdir
itulah yang membawa kepada pertemuan keempat kita. Waktu tu saya terfikir
kenapa Allah temukan saya dengan awak banyak kali. Mungkin kerana Allah telah
buka pintu hati saya untuk awak.’ Panjang lebar penerangan Taufik. Aku bagaikan
tidak percaya mendengar semua yang diperkatakan Taufik. Aku memegang kedua-dua
belah pipiku sambil cuba mentafsir setiap ayat Taufik.
‘Saya tahu ini semua terlalu cepat
dan awak mesti terkejut. Tapi saya rasa hari ni saya dah bersedia untuk
luahkannya. Tempoh setahun dah cukup buatkan saya bersedia.’ Aku mengeluh
perlahan mendengar kata-kata itu. Taufik, awak yang dah bersedia, saya belum
lagi.
‘Bos, saya sebenarnya tak sangka.
Saya tak sangka sangat. Saya tak tahu nak cakap apa.’ Hanya itu yang mampu aku
luahkan. Aku masih tertunduk.
‘Saya tahu dan saya dah agak. Awak
jangan risau, saya tak kan paksa awak terima hati saya. Saya tahu awak memang
tak sukakan saya.’ Tahu tak apa. Aku sempat lagi berbisik di dalam hati.
‘Bos, saya bukan tak sukakan bos.
Bos tetap bos saya dan saya suka kerja dengan bos. Cuma bab-bab hati ni memang
saya tak boleh paksa. Tapi kalau bos tahu saya tak suka bos, kenapa bos masih
luahkan? Kenapa tak simpan je? Saya tak sampai hati nak lukakan hati bos. Tapi
dalam waktu yang sama, saya tak boleh paksa diri saya sendiri untuk suka bos.
Saya minta maaf banyak-banyak. Saya harap bos boleh lupakan perasaan bos pada
saya. Ramai lagi perempuan yang lebih layak untuk bos. Saya ni apa yang ada.
Saya tak kaya, tak cantik, tak tinggi dan kuranglah serba-serbi. Lagipun saya
rasa kalau bos terus simpan perasaan tu nanti saya akan rasa awkward nak kerja. Nanti hari-hari nak
tengok muka bos lagi. Kalau saya anggap bos tak pernah cakap pasal ni boleh.
Ataupun saya anggap semua ni cuma mimpi je boleh kan.’ Giliran aku pula yang
membebel panjang. Tiba-tiba pula idea datang mencurah-curah. Aku mengangkat muka
perlahan-lahan memandang Taufik. Wajahnya nampak tenang dan seperti langsung
tiada tanda-tanda kecewa. Taufik merenungku kembali sambil tersenyum. Aku
cepat-cepat memandang ke tempat lain.
‘Awak jangan risau. Saya cuma nak
luahkan pada awak. Selagi saya tak luahkan saya rasa tak tenang. Kadang-kadang
kita tak tahu sama ada kita akan diberi peluang kedua atau tak. Jadi saya cuma
nak rebut peluang pertama tu. Saya terima apa-apa pun keputusan awak. Sekarang
awak dah tahu perasaan saya pada awak dan saya pun dah tahu perasaan awak pada
saya. Saya harap awak tak akan kekok dengan saya selepas ni. kalau awak rasa
tak selesa saya selalu panggil awak, saya akan kurangkan. Cuma atas urusan
kerja je saya akan panggil awak. Saya cuma nak awak tahu isi hati saya dan saya
dah lega saya dah luahkan semuanya. Saya tak harapkan apa-apa dari awak. Takdir
Allah adalah yang terbaik, jadi saya akan tunggu takdir kita macam mana.’
Sekali lagi Taufik menjelaskan dengan panjang lebar. Aku hanya mendengar dengan
teliti. Takdir Allah memang yang terbaik, tetapi perasaan aku sekarang pula
macam mana. Tidak pernah sekali pun aku terfikir untuk menyukai Taufik. Dalam
hatiku cuma ada seseorang yang sampai sekarang masih belum dapat aku lupakan.
Jika aku tidak bertemu Nicholas terlebih dahulu, adakah aku akan menyukai
Taufik juga?
‘Abang Taufik. Bila abang sampai?’
Lamunanku terhenti apabila terdengar suara memanggil Taufik. Aku menoleh ke
arah Taufik dan dia kini dikelilingi oleh lebih kurang lima atau enam orang
kanak-kanak. Taufik mengusap kepala mereka seorang demi seorang sambil
tersenyum gembira. Ya Allah insan di hadapanku ini terlalu baik, tetapi mengapa
hati ini terlalu keras untuk menyukainya. Taufik ada memberitahu dia selalu
datang ke sini, jadi pasti adik-adik tadi sudah mengenalinya.
Aku memandang langit dan kelihatan
matahari sudah semakin rendah. Pasti sudah hampir ke jam tujuh petang. Aku
bangun dari buaian dan memandang Taufik. Dia masih sibuk melayan adik-adik tadi
jadi aku tidak mahu mengganggunya. Aku terus beredar menuju ke kereta.
Setelah menghidupkan enjin kereta
aku melihat jam di dashboard. Sudah
jam 6.40 petang. Aku harus cepat pulang ke rumah sebelum Maghrib.
………………………………………………………………………………………………………
Setelah mematikan enjin kereta aku
terus mencapai beg tanganku di tempat duduk penumpang tanpa memandang. Hairan
kerana tanganku langsung tidak dapat mencapai apa-apa. Aku menoleh dan beg
tanganku tiada. Ya Allah beg tangan aku ada pada Taufik. Baru aku teringat
selepas beg jatuh, aku tidak sempat mengambilnya dari Taufik lagi. Amaani
kenapalah pelupa sangat.
Aku
harus menelefon Taufik dan bertanyakan tentang beg tangan tetapi telefonku juga
ada dalam beg tangan. Bukan itu sahaja, kunci rumah dan dompetku juga dalam beg
tangan. Mujur juga kunci kereta aku letakkan dalam poket seluar semasa ke taman
tadi. Kereta Husna sudah ada di dalam pagar jadi Husna sudah pulang. Kalau
tidak, memang berkulat lah aku duduk di luar rumah menunggu Husna pulang.
Aku
memberi salam beberapa kali dan lebih kurang seminit kemudian Husna muncul
lengkap bertudung.
‘Lah,
aku ingatkan siapa yang datang tadi. Tak bawa kunci ya?’ Husna bertanya
kehairanan sambil membuka grill.
‘Bawak,
tapi tertinggal.’ Aku menjawab pendek.
‘Tertinggal
kat ofis?’ Husna menyoal lagi.
‘Tak,
tertinggal dekat si baju merah.’ Dengan malas aku menjawab.
‘Apa?
Serius? Wah kawan aku ni dah ada perkembangan dengan si baju merah.’ Husna
kelihatan begitu teruja.
‘Tak
payah nak fikir bukan-bukan. Cop, mana telefon kau? Nak pinjam kejap boleh? Ada
kredit kan?’ Aku bertanya cepat-cepat. Aku harus menelefon nomborku. Nanti
silap-silap muncul pula Taufik di depan rumah semata-mata nak pulangkan beg
tangan aku seperti di kampung tempoh hari.
‘Ada
atas meja tu. Pergilah ambil.’ Husna menjawab sambil masih tersenyum lebar. Aku
terus mencapai telefon Husna dan mendail nomborku. Lama juga aku menunggu
panggilan diangkat.
‘Assalamualaikum.’
Kedengaran suara Taufik di talian.
‘Waalaikummussalam.
Bos, ni Amaani. Beg tangan saya ada pada bos kan? Maaf saya tertinggal. Nanti
saya amik di pejabat esok ye.’ Aku menghabiskan semua ayat sekaligus.
‘Saya
boleh hantarkan ke rumah awak. Ada dompet, kunci rumah dan telefon kan. Semua
tu penting. Awak bagi alamat rumah awak.’ Seperti yang aku jangka akan berlaku.
‘Tak
payah susah-susah bos. Saya amik esok je. Jangan risau. Kunci kereta ada pada
saya. Lesen kereta pun ada dalam kereta. saya tak letak dalam purse.’ Aku memberi alasan agar Taufik
tidak datang ke mari.
‘Tak
susah pun. Sekejap je saya hantar.’ Taufik tidak mahu mengaku kalah. Aku
mencari idea dan akhirnya berjaya.
‘Tadi
bos cakap bos akan terima apa-apa keputusan saya dan bos cakap kalau saya tak
suka bos panggil-panggil saya, bos akan kurangkan panggil kan. Jadi sekarang ni
keputusan saya bos tak boleh datang hantar telefon. Bos terima kan keputusan
saya?’ Aku harap kata-kataku berkesan.
‘Baiklah
saya ikut apa yang awak minta. Saya akan simpan beg awak dulu.
Assalamualaikum.’ Nada Taufik kedengaran perlahan.
‘Waalaikummussalam.’
Aku menjawab dan mematikan talian. Taufik merajuk dengan aku? Mustahil dia
merajuk.
‘Amboi-amboi
cakap sampai tak sedar orang kat belakang.’ Kedengaran suara Husna di
belakangku. Rupa-rupanya Husna dari awal sudah menempel di belakangku untuk
mencuri dengar perbualan aku dan Taufik.
‘Kau
curi dengar ya?’ Aku mencubit Husna perlahan. Husna masih dengan senyum
kambingnya.
‘Tak
payah nak senyum-senyum macam tu. Dah aku nak naik atas mandi lepas tu solat.
Dah nak Maghrib dah ni.’ Aku terus meninggalkan Husna sambil mengerling jam di
dinding. Sudah jam 7.30 malam dan aku terus berlari anak menuju ke bilik di
tingkat atas.
No comments:
Post a Comment