Saturday, 7 September 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 10 (TAKDIR)

10
TAKDIR









            Aku menutup fail di atas meja sambil membetulkan tudung yang senget. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Hari ini kerjaku habis awal jadi boleh terus pulang ke rumah. Baru sahaja aku mencapai beg dan bangun, pintu pejabatku diketuk. Mungkin Erina atau Harlina. Namun, sangkaanku salah sama sekali apabila wajah yang muncul di hadapan pintu ialah Taufik. Aku menarik nafas perlahan.
            ‘Kenapa bos?’ Aku menyoal pendek sambil cuba tersenyum.
            ‘Awak dah nak balik?’ Sudah tahu bertanya pula.
            ‘Ya bos.’ Aku menjawab sopan. Kalau ikutkan hati mahu sahaja tinggalkan Taufik dengan soalan-soalan dia yang tak pernah habis.
            ‘Saya nak mintak izin. Nak bercakap dengan awak sekejap. Tapi bukan dekat sini. Kita pergi minum kejap boleh?’ Nak bercakap dengan aku pun minta izin. Selama ini tak pernah minta izin pun. Macam ada yang tak kena pula. Aku mengerutkan dahi.
            ‘Tapi saya tak haus bos. Lagi satu saya segan nak keluar minum dengan bos berdua je.’ Aku memberi alasan.
            ‘Baiklah kita pergi tempat lain kalau awak segan nak minum. Awak tahu kan taman permainan dekat simpang depan tu. Petang-petang ni selalunya ramai orang kat situ. Boleh kan kita pergi situ?’ Reaksi Taufik seperti mengharapkan aku berkata ‘ok’. Aku pula berfikir-fikir dahulu. Taufik cuma nak bercakap jadi tak ada masalah mungkin. Habis dia bercakap nanti aku balik.
            ‘Ok bos. Tapi sekejap je. Sebenarnya bos nak cakap pasal apa?’ Aku bertanya sambil berjalan keluar.
            ‘Sampai kat sana nanti saya cakap. Saya nak ambil barang kejap. Awak tunggu saya dekat sana.’ Taufik beredar ke biliknya semula. Aku hanya memerhati sambil otak masih ligat berfikir.
………………………………………………………………………………………
            Taman permainan sudah dipenuhi dengan beberapa orang kanak-kanak ketika aku sampai. Aku tersenyum melihat mereka. Begitu comel sekali. Budak-budak memang sangat adorable. Aku melihat ada buaian kosong dan aku terus menuju ke situ. Lama pula dah tak main buaian. Aku duduk dan menguji kekuatan buaian. Rasanya boleh menampung berat aku. Setelah yakin, aku mula menghayun buaian. Seronok pula terasa dibuai-buai oleh angin. Aku menghayun semakin laju dan laju.
            Aku pandang kiri dan kanan. Adik-adik comel tadi sedang bermain gelongsor pula. Agak jauh dari buaian. Nampak macam line sudah clear jadi aku berdehem membetulkan suara.
            ‘Buai-buaiku laju. Pohon beringin tegaknya rendang, menjadi tempat bermain si pari dan mambang. Akulah anak kesayangan mak dan ayah.’ Aku tersenyum sambil menyanyi. Sempat lagi menukar lirik lagu ‘Bawang Putih, Bawang Merah’. Cerita klasik yang sudah lebih setengah abad, tetapi tetap menjadi kegemaranku hingga sekarang. Hayunan buaian tetap laju.
‘Buai-buaiku laju. Aku tak nak kahwin dengan anak raja.’ Aku menyambung kembali radio karatku dengan lirik lain pula. Kalau orang lain dengar mahu pengsan agaknya dengar suara sumbang aku. Ini semua salah Taufik, bosan betul nak tunggu dia sampai. Lambat mengalahkan perempuan. Aku memandang ke arah tempat letak kereta di hadapan. Masih tidak nampak batang hidung Taufik. Aku mengeluh perlahan sambil menghayunkan buaian lebih laju lagi. Semakin laju dan tinggi dan tiba-tiba beg tangan terjatuh di belakang. Aku memberhentikan buaian dengan lagak professional dan bangun dari buaian. Mahu gugur juga jantung aku bila menoleh ke belakang.
‘Bos, apa buat kat sini?’ Aku menyoal sambil mengurut-urut dada akibat terkejut. Beg tanganku sudah di tangan Taufik yang sedang tersenyum. Alamak harap-harap dia tak dengar radio karat aku tadi.
‘Kan kita nak jumpa kat sini.’ Taufik berjalan ke arahku. Aku pula buat muka pelik. Hampir lupa sebenarnya kerana Taufik lambat sangat.
‘Oh saya sebenarnya dah nak terlupa tadi. Bos lambat sangat sampai.’ Dengan jujur aku membalas. Biar Taufik rasa, dia ingat seronok agaknya tunggu orang yang datang lambat. Tapi sebenarnya seronok juga. Sekurang-kurangnya aku sempat main buaian tadi.
‘Saya dah lama sampai sebenarnya. Saya tak sampai hati nak kacau awak. Nampak macam seronok sangat.’ Alamak nampaknya memang Taufik dengar persembahan percuma aku tadi. Ya Allah malunya. Kenapalah setiap kali dengan Taufik aku terpaksa menahan malu seperti sekarang.
‘Kenapa bos tak panggil awal-awal. Lagi satu kenapa bos datang dari belakang. Kenapa bukan dari depan?’ Aku menyoal bagi mengurangkan rasa malu yang dah teramat menebal.
‘Saya parking kat belakang sana.’ Taufik menunjukkan tempat letak kereta di bahagian belakang. Aku menganggukkan kepala.
‘Ok lah bos nak cakap apa? Saya kena sampai rumah sebelum Maghrib.’ Aku cepat-cepat mengingatkan. Mungkin sudah jam 6.00 petang sekarang. Taufik tersenyum dan terus duduk di atas buaian bersebelahanku.
‘Eh bos, jangan duduk. Nanti runtuh.’ Laju sahaja aku menghalang. Taufik hanya tergelak kecil. Sakit hati pula bila orang gelakkan kita.
‘Jangan risau. Saya dah biasa duduk atas buaian ni.’ Taufik menjawab pendek sambil masih ketawa. Maksudnya Taufik selalu datang ke sini.
‘Duduk lah. Kenapa awak berdiri lagi. Jangan risau, tak runtuh.’ Aku hanya menurut apa yang disuruh Taufik.
‘Ok, bos nak cakap apa?’ Aku bertanya lagi. Lambat betul Taufik nak bagitahu. Macam kura-kura pun ada.
‘Awak tak pelik macam mana saya boleh ingat awak walaupun awak tahu kita pernah jumpa sekali je?’ Soalan pelik yang disoal Taufik. Mestilah aku pelik, cuma malas sahaja nak bertanya. Aku memandang Taufik dan membuat isyarat mata mahukan jawapan.
‘Sebenarnya saya bukan jumpa awak sekali tapi tiga kali.’ Aku terkejut mendengar jawapan Taufik. Entah bila pula dia jumpa aku. Tersilap orang agaknya. Aku masih berdiam diri menantikan ayat Taufik yang seterusnya.
‘Kali kedua saya terserempak dengan awak masa konvokesyen awak. Kali ketiga di airport.’ Memang sah Taufik seorang stalker. Macam mana Taufik boleh tahu tentang konvokesyen aku dan airport. Aku dan seluruh ahli keluargaku sama-sama mengerjakan umrah sebulan sebelum keputusan SPM Adik diumumkan.  Mungkin Taufik nampak aku ketika kami di KLIA. Aku melihat sekeliling dan kelihatan semakin ramai kanak-kanak yang memenuhi taman permainan. Jadi Taufik tidak akan boleh membuat sesuatu yang tidak dijangka. Aku mula berfikiran negatif. Bagaimana kalau Taufik sebenarnya orang jahat. Aku harus bersedia untuk lari.
‘Awak jangan risau. Saya bukan apa yang awak fikirkan.’ Taufik seperti dapat mengagak. Aku pula berusaha mengawal reaksi wajahku.
‘Mana ada saya risau. Macam mana bos boleh jumpa saya dekat situ?’ Aku menyoal kembali. Inginkan jawapan.
‘Takdir yang membuatkan saya terlihat awak.’ Aku terkedu mendengar jawapan Taufik. Ya Allah jahatnya aku kerana boleh berfikiran sangat negatif terhadap Taufik.
‘Kebetulan masa saya balik bercuti dari pengajian saya di U.K., kawan baik saya konvo, jadi saya pun pergi sebab dia ajak. Masa di luar dewan saya nampak awak. Masa tu kira-kira empat bulan selepas pertemuan pertama kita. Jadi saya masih ingat muka awak. Awak seronok sangat masa tu dan saya nampak awak pakai jubah dengan selempang yang lain dari orang lain. Jadi saya tanya kawan saya kenapa. Dia kata sebab orang yang pakai tu dapat Anugerah Naib Canselor. Masa tu saya tahu awak sebenarnya sangat bijak.’ Taufik menerangkan dan aku mendengar dengan penuh perhatian. Rasa bersalah semakin menebal kerana menganggap Taufik yang bukan-bukan sebentar tadi.
‘Kat airport pulak macam mana?’ Aku menyoal inginkan jawapan.
‘Masa tu saya balik Malaysia. Kebetulan masa nak collect luggage saya ternampak awak dengan keluarga awak. Mula-mula saya tak pasti itu awak sebab awak pakai jubah putih dan tudung labuh. Tapi bila saya tengok lama-lama saya tahu itu awak. Awak nampak manis berjubah dan bertudung labuh.’ Aku tersenyum mendengar pujian Taufik. Seperti biasa hatiku kembang semangkuk. Rajin pula Taufik balik Malaysia. Banyak pula duit dia. Terlupa pula Taufik anak Datuk Fauzi jadi tidak hairanlah boleh balik setahun sampai tiga empat kali.
‘Kemudian saya paling tak sangka yang kita boleh jumpa lagi dan kerja di tempat yang sama. Sebab tu masa daddy tengah perkenalkan saya pada semua staf, saya tengok awak. Dan saya rasa awak perasan kot.’ Teringat pula peristiwa aku asyik tertoleh-toleh ke belakang kerana ingatkan Taufik tersalah pandang. Patutlah Taufik tengok aku sambil senyum-senyum. Rupanya dia ingat aku.
‘Ok, jadi yang bos nak sampaikan petang ni adalah bos dah jumpa saya tiga kali sebelum kita diperkenalkan di pejabat?’ Aku menyoal lagi.
‘Sebenarnya ada lagi. Saya nak bagitahu awak sesuatu. Mungkin terlalu awal tetapi saya lebih rela bagitahu awal dari saya langsung tak berpeluang untuk bagitahu.’ Ayat Taufik membuatkan aku semakin pelik. Taufik memang suka buat suspen.
‘Apa dia bos?’ Aku cepat-cepat bertanya.
‘Sebenarnya saya sukakan awak.’ Spontan ayat itu keluar dari mulut Taufik. Aku pula sudah ternganga mendengar. Nasib baik tak ada langau, kalau tak memang dah sedap masuk dalam mulut. Agaknya Taufik demam sampai boleh cakap merapu.
Aku ketawa perlahan kerana merasakan apa yang berlaku adalah kelakar. Aku melihat sekeliling, mana tahu mungkin ada yang nak kenakan aku. Kalau di Korea, memang terkenal dengan hidden camera yang bermotifkan untuk mengenakan orang. Aku memandang Taufik dengan sisa tawa yang masih ada. Taufik pula memandangku dengan wajah penuh tanda tanya dan seakan-akan pelik melihat reaksiku.


(terima kasih untuk yang sudi singgah membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa. komen dari anda semua amat dialu-alukan.)



No comments:

Post a Comment