9
BALIK KAMPUNG
Aku
menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu dalam MP3. Menyapu di beranda rumah sambil
menyanyi memang sangat menyeronokkan. Riang betul hati berada di rumah sendiri
dengan menghirup udara segar di kampung.
‘Uri mannan ji beol seo……’Aku
menyanyikan lagu Would You Like Some Tea
dari kumpulan Hello Venus sambil tersenyum. Aku menguatkan volume MP3. Kepalaku terlentok-lentok
mengikut irama lagu dan earfon
terbuai-buai.
‘Assalamualaikum.’ Aku seperti
terdengar sayup-sayup suara memberi salam. Memang tidak jelas kerana aku
memasang lagu begitu kuat. Aku menoleh ke arah suara tersebut. Bagai hendak
terkeluar jantung melihat pemilik suara itu.
‘Waalaikummussalam. Angah kenapa tak
berjawab salamnya. Banyak kali mak dengar orang bagi salam.’ Mak muncul di muka
pintu. Aku pula masih ternganga di tempat kejadian sambil memeluk penyapu.
Melihat mak dan Taufik silih berganti.
‘Ye anak cari siapa?’ Mak menegur
lembut.
‘Saya nak berjumpa dengan Batrisya
mak cik. Maafkan saya kerana datang tiba-tiba.’ Lembut sekali Taufik berbicara.
Senyuman manis terukir di bibirnya.
‘Owh kawan Angah lah ni rupanya.
Yang Angah pun tercegat dekat situ kenapa? Jemputlah kawan tu masuk.’ Mak
mempelawa. Mak memang sangat suka menerima tetamu. Tetamu itu rezeki kata Mak.
‘Bukan kawan Angah mak, ni bos
Angah.’ Aku cepat-cepat membetulkan sangkaan Mak. Taufik pula hanya tersenyum.
Asyik senyum saja tidak penat kah Taufik. Aku pula masih termangu di tempat
yang sama. Malunya aku hanya Tuhan yang tahu. Pasti Taufik mendengar suara
sumbang aku menyanyi-nyanyi dengan kepala terlentok-lentok tadi. Nasib baik aku
pakai tudung, kalau tidak lagi bertambah malu.
Rasa seperti ingin lari sahaja.
‘Jemput masuk nak. Kalau tunggu Angah
jemput sampai ke sudah berdiri kat luar tu.’ Mak mempelawa lagi. Taufik sudah
membuka kasut untuk masuk. Kenapa masuk pula, cakap saja lah apa yang nak
disampaikan dan lepas tu terus balik. Aku membebel dalam hati. Taufik menyalami
Mak dan mencium tangan Mak. Mak tersenyum memandangku dengan pandangan yang aku
rasa aku faham maksudnya. Aku pula cepat-cepat menggelengkan kepala.
‘Jemput duduk dulu. Makcik nak ke
dapur buat air.’ Mak baru sahaja hendak berlalu pergi.
‘Jangan susah-susah makcik. Tak apa.’
Taufik menjawab sopan. Bagus juga, kalau tak minum air cepat boleh balik.
‘Apa pula susahnya. Sekejap je.’ Mak
tetap ingin menghidangkan air.
‘Mak, biar Angah yang buat. Mak
duduk dulu borak-borak dengan bos.’ Aku mencari helah.
‘Ishh Angah ni kenapa. Angah lah
berborak dengan ermm apa ye nama anak ni? Lupa pula makcik nak tanya.’ Mak
sempat memandang Taufik.
‘Taufik makcik.’ Seperti biasa
Taufik senyum sambil menunjukkan barisan giginya yang putih.
‘Angah berborak dulu dengan Taufik.
Taufik datang nak jumpa Angah, bukan nak jumpa Mak.’ Mak berlalu ke dapur
setelah menghabiskan ayat. Aku mengeluh perlahan sambil duduk dengan sopan.
Menyesal pula pakai kain batik, akibatnya kena duduk sopan dan ayu.
‘Ermmm bos datang jauh-jauh kenapa?’
Aku cepat-cepat bertanya.
‘Maafkan saya sebab datang tak
bagitahu. Saya datang nak pulangkan telefon awak.’ Taufik meletakkan Samsung S3
ku di atas meja. Telefonku. Puas aku mencari. Rupa-rupanya ada pada Taufik.
Tetapi, bagaimana boleh ada padanya. Aku mencapai telefon kesayanganku.
‘Macam mana boleh ada pada bos?’Aku
bertanya kehairanan.
‘Semalam, sebelum saya balik, saya
tengok dalam bilik pejabat, awak dah tak ada. Saya tanya Erina, dia kata awak
dah balik. Awak rushing sebab nak
terus balik kampung. Lepas tu Erina cakap awak sampai tertinggal telefon atas
meja dia. Saya minta dari Erina untuk tolong pulangkan pada awak. Kebetulan
telefon awak pula tak ada bateri jadi mesti awak tak dapat miscall semula. Jadi malam semalam saya minta staf tolong bagi
alamat rumah awak. Dan akhirnya saya sampai kat sini.’ Panjang lebar Taufik
menerangkan. Hampir mengantuk aku dibuatnya.
‘Bos kenapa susah-susah datang. Jauh
pulak tu. Kalau dekat tak apa lah.’ Aku mula rasa bersalah. Kenapalah Taufik ni
baik sangat sampai nak hantar telefon jauh-jauh.
‘Tak susah pun lah. Lagipun saya tak
buat apa-apa pun hari ni. Alang-alang saya tak busy. Lagipun saya takut ada panggilan penting untuk awak.’ Taufik
memberi penjelasan. Aku mengeluh perlahan.
‘Terima kasih banyak-banyak bos.
Saya tak tahu macam mana nak balas budi baik bos ni. Hanya Allah yang mampu
membalas.’ Aku menjawab sambil tersenyum. Perasaan bersalah semakin menebal.
‘Tak apa. Saya tolong ikhlas.’
Taufik membalas sambil tersenyum . Bila dia senyum ni yang aku kurang berkenan.
Agaknya dia ingat senyuman dia tu boleh cairkan hati semua orang. Aku kemudian
memarahi diri sendiri. Orang dah susah-susah tolong, banyak pula aku komen.
‘Elok pun berborak kan.’ Mak muncul
bersama dulang berisi air dan karipap. Aku mengambil dulang tersebut lalu
melutut untuk menuangkan air ke dalam cawan. Kemudian meletakkannya
perlahan-lahan untuk Taufik.
‘Susah-susah je makcik. Terima kasih
banyak.’ Taufik dengan lembut bersuara.
‘Makanlah karipap tu. Angah yang
buat. Dia memang suka buat karipap kalau balik kampung. Ayahnya lah suka sangat
makan karipap air tangan anak.’ Mak sempat pula memujiku. Aku seperti biasa
kembang semangkuk. Aku kembali duduk di sofa.
‘Sedap makcik. Harap lain kali boleh
makan lagi karipap Batrisya.’ Giliran Taufik pula memuji. Tak perlu lain kali
ya Taufik.
‘Taufik bertolak dari Kuala Lumpur
pukul berapa tadi?’ Mak memulakan perbualan.
‘Dalam pukul 6.30 pagi lepas Subuh
tadi saya terus bertolak dari rumah. Alhamdulillah jumpa jugak rumah Batrisya.
Saya ada singgah bertanya tadi pada orang di warung dekat simpang depan.’ Ramah
pula Taufik dengan Mak aku.
‘Susah-susah datang dari jauh.
Kasihan makcik tengok. Ada hal apa nak jumpa Angah?’ Mak menyoal lagi.
‘Nak pulangkan telefon Batrisya
makcik.’ Taufik menjawab pendek.
‘Ya Allah. Susah-susah datang dari
jauh nak pulangkan telefon. Baik betul Taufik ni. Angah ni memang kadang-kadang
pelupa sikit. Dulu masa masih belajar pernah sekali jemput dia balik masa
hujung semester . Dah setengah jam perjalanan nak balik rumah tiba-tiba dia
menjerit cakap ada satu beg dia tertinggal atas bangku depan kolej. Nak tak nak
kami pun patahlah balik pergi ambil beg yang tertinggal tu.’ Panjang lebar pula
Mak bercerita. Taufik pula sudah tergelak. Suka betul dia gelakkan aku ya. Aku
merenungnya tajam dan dia nampak renungan itu, namun tetap ketawa.
‘Nasib baik juga ada Taufik tolong
hantarkan telefon.’ Mak menyambung kembali.
‘Kebetulan masa tu saya masih ada di
pejabat makcik. Kalau tak mungkin tak sampai saya ke sini.’ Taufik membalas.
‘Bagus juga Taufik datang ke sini.
Boleh juga berkenalan dengan keluarga kami. Ayah Batrisya dengan abang
sulungnya ke kebun tapi sekejap lagi baliklah tu. Katanya tadi nak pergi
sekejap je.’ Mak menerangkan.
‘Owh makcik ada berapa orang anak?’
Soalan yang selalu ditanya.
‘Tiga orang. Dua orang perempuan
seorang lelaki. Yang sulung lelaki. Abang nya Batrisya ni lah. Taufik ni ada
berapa orang adik beradik?’ Mak bertanya kembali.
‘Saya anak tunggal makcik. Sunyi
jugaklah dekat rumah sebab seorang je.’Taufik membalas.
‘Mak, Adik mana?’ Aku mencari helah
lagi untuk lari.
‘Ada dekat dapur.’ Mak menjawab.
‘Angah pergi tengok adik.’ Aku sudah
bangun.
‘Nak buat apa pulak?’ Mak menyoal
kembali.
‘Tolong Adik apa yang patut kat
dapur.’ Alasan paling tidak boleh diterima.
‘Mengarut je lah. Duduk lah sini
berbual dengan Taufik. Dahlah Taufik susah-susah datang dari jauh.’ Mak
menegurku lembut. Aku akur. Menundukkan kepala dan duduk kembali. Kemudian
memandang Taufik.
‘Bos nak balik pukul berapa?’ Aku
menyoal selamba. Taufik seperti terkejut.
‘Angah. Ada pulak tanya macam tu.
Makan tengahari dekat sini ye Taufik. Sekali-sekala rasa makanan orang Pahang.’
Mak mempelawa. Aku terkejut. Nampaknya seperti kata-kataku telah menjerat
diriku sendiri.
‘Assalamualaikum.’ Kedengaran suara
Ayah memberi salam.
‘Ayah dah balik.’Aku meluru
mendapatkan Ayah sambil tersenyum. Kemudian muncul Along bersama setandan
pisang lemak manis. Memang pisang kegemaranku.
‘Yeay, Along bawak balik pisang.’
Aku terus mengambil tandan pisang tersebut untuk dibawa ke dapur. Sekaligus
melarikan diri dari berhadapan Taufik.
‘Abang, ni kawan Angah datang.
Taufik namanya.’ Aku terdengar mak memperkenalkan Taufik kepada Ayah. Aku
langsung tidak menoleh dan terus ke dapur. Membiarkan Ayah, Mak dan Along
berbual dengan Taufik.
Sampai di dapur aku terus meletakkan
tandan pisang tadi di atas suratkhabar di tepi sinki. Mengambil sebiji pisang
dan menyuapkannya terus ke dalam mulut.
‘Angah.’ Adik mencuitku dari
belakang. Hampir tercekik aku dengan pisang.
‘Adik. Cuba bagi salam dulu. Nasib
baik tak tercekik pisang Angah ni.’ Aku mencubit pipi Adik.
‘Siapa yang datang Angah. Kacaknya.
Pakwe Angah ye? Tak pernah cerita pun dekat Adik. Sampai hati.’ Adik sudah
memuncungkan mulut. Aku mencubit pipi tembam Adik sekali lagi.
‘Angah sakitlah. Suka sangat cubit
pipi Adik. Ingat pipi orang ni apa.’ Adik memarahiku.
‘Dahtu siapa suruh memandai cakap tu
pakwe Angah. Tu bos Angah lah. Datang dari K.L’ Aku menerangkan.
‘Dari jauh datang kenapa? Nak
merisik Angah ye?’ Sekali lagi Adik mengusikku. Aku sudah menghulurkan tangan
untuk mencubit pipi Adik. Tetapi Adik sempat mengelak.
‘Jangan nak mengarut lah Adik. Bos
Angah datang nak pulangkan telefon lah.’ Aku menjawab malas.
‘Telefon Angah yang Angah kata entah
tercicir kat mana tu.?’ Adik bertanya lagi. Aku hanya mengangguk.
‘Mesti ada apa-apa kan. Siapa lah
yang sanggup datang dari jauh semata-mata nak pulangkan telefon pekerja dia.’
Adik menduga lagi.
‘Nak buat macam mana. Bos Angah tu
pernah tertelan pil ‘baik’ dulu sebab tu terlebih baik hati nak pulangkan
telefon sampai sanggup datang jauh-jauh.’ Aku memberi alasan.
‘Ye ke. Habis kalau orang lain yang
tertinggal telefon dia tolong jugak ke?’ Adik mula bertanya soalan yang agak
mengarut.
‘Issh manalah Angah tau, bila masa
pula Angah selidik.’ Aku memarahi Adik. Adik pula sengih meleret.
‘Tak payah nak sengih macam itik tu.
Ingat comel.’ Pipi Adik sekali lagi aku tarik. Adik laju saja menarik pipiku
pula. Kesudahannya dapur menjadi gelanggang tarik pipi.
‘Korang berdua buat apa kat dapur
ni. Tak ada kerja lain agaknya. Nanti Along tarik telinga dua-dua sekali.’
Along muncul sambil bercekak pinggang. Kami masing-masing melepaskan pipi yang
ditarik dan mengusap pipi sendiri. Pipi Adik habis kemerahan. Tak perlu pakai blusher dah. Aku rasa pipi aku pun sama.
Kami hanya tersengih memandang Along yang sedang mengambil air di dalam peti
sejuk. Aku kemudian menoleh ke arah ruang tamu hadapan. Hairan melihat mak,
ayah dan Taufik tiada di ruang tamu.
‘Tak payah nak panjang-panjang leher
intai orang. Taufik ikut mak dengan ayah pergi kedai Pak Mat kejap beli
bahan-bahan nak masak untuk tengahari ni.’ Along cepat saja memberikan jawapan
tanpa perlu ditanya.
‘Makan tengahari? Maksud Along?’ Aku
buat-buat pelik.
‘Makan tengahari lah. Dah tu takkan
nak puasa pulak.’ Along sudah duduk di kerusi di meja makan di dapur.
‘Bukan, maksud Angah kenapa Taufik
ikut sekali mak dengan ayah beli barang-barang nak masak?’ Aku menjelaskan agar
Along faham.
‘Owh, mak dengan ayah ajak Taufik
makan sekali dengan kita. Lepas tu ayah cakap nak pergi beli ikan patin
sangkar. Taufik pun teringin nak tengok sendiri ikan patin dalam sungai, tu
yang dia ikut tu.’ Penjelasan Along membuatkan aku terkejut. Kenapa pula Taufik
ikut mak dengan ayah. Nanti kalau orang kampung tanya macam mana. Aku gelisah
memikirkan itu semua.
‘Yang muka Angah macam ayam berak
kapur ni kenapa?’ Aku mengeluh perlahan sebelum menjawab soalan Along.
‘Along, Angah tak suka lah Taufik
tu.’ Aku jujur dengan Along. Tiada apa yang perlu diselindungkan dengan
adik-beradik sendiri. Adik sudah duduk di sebelah Along. Seperti berminat ingin
tahu apa yang ingin aku perkatakan seterusnya.
‘Lah macam tu pulak. Apa masalah
Angah ni? Mak, ayah even Along pun
suka tengok perangai Taufik tu. Along memanglah tak kenal sangat dia tapi
tengok dari gayanya macam budak baik dan ikhlas. Kenapa pulak Angah tak suka
dia? Kalau perempuan lain Along rasa dah bersyukur sangat ada orang sebaik tu
amik berat.’ Panjang pula Along membebel. Tetapi setiap kata Along memang
benar. Aku mengambil lagi sebiji pisang dan menyuapkan ke dalam mulut sebelum
menyambung percakapanku semula.
‘Angah tau dia baik. Sangat baik.
Tapi Angah tak suka lah dia ada kaitan dengan keluarga kita.’ Pisang masih di
dalam mulut ketika aku bercakap. Memang tak senonoh betul perangai anak dara
macam ni.
‘Kenapa? Takut mak dengan ayah
berkenan nak buat menantu?’ Along meneka. Aku pula sudah tersedak dengan
pisang. Adik cepat-cepat menuangkan air ke dalam cawan dan menghulurkannya
kepadaku yang masih terbatuk-batuk. Aku meneguk air hingga habis secawan.
‘Tengok sampai tersedak-sedak tu
maknanya betul lah kan?’ Along menambah ketika aku sudah kembali normal.
‘Along tak lah sampai macam tu. Kalau
Angah tau dari awal dia nak datang, memang Angah dah halang. Ni tak tiba-tiba
je dah muncul depan pintu rumah. Nasib baik Angah takde sakit jantung. Kalau
tak memang dah kat hospital sekarang ni.’ Aku membebel sambil membasuh cawan
tadi.
‘Angah ni tak baik lah cakap macam
tu. Dia susah-susah datang dari jauh hantar telefon Angah. Macam mana dia nak
telefon Angah kalau telefon Angah ada dekat dia?’ Adik lebih bijak
berkata-kata. Aku terdiam mendengar apa yang disampaikan adik. Kenapalah aku ni
kejam sangat. Bukannya aku kejam, cuma aku tak suka ada kaitan dengan sesiapa
yang bergelar lelaki kecuali keluargaku sendiri.
‘Ye Angah salah. Angah mintak maaf.’
Aku tertunduk.
‘Angah mintak maaf dekat Adik buat
apa. Pergi mintak maaf kat Abang Taufik.’ Adik sudah memanggil ‘Abang Taufik’?
Adakah ini petanda tidak bagus untukku.
‘Erm, Angah fikir je lah
masak-masak. Kalau tanya Along, Along setuju je dia jadi adik ipar Along. Kan
Adik?’ Along sempat mencuit Adik dan Adik mengangguk laju sambil tersenyum.
Mereka berdua kalau bab nak kenakan aku memang satu kepala.
‘Bila masa pulak Taufik tu suka
Angah. Tak lah Along. Dia tak pernah cakap apa-apa pun dekat Angah.’ Aku
menidakkan.
‘Angah ni tak payah nak buat-buat
tak faham lah. Walaupun tak cakap tapi dari perbuatan pun kita boleh tau.’
Along bulat-bulat tidak menerima dalihku.
‘Tapi apa-apa pun Angah tetap tak
suka dia.’ Aku tetap dengan pendirianku.
‘Ish tak faham betul Along dengan
adik Along yang sorang ni. Bagi putera raja depan mata pun tak mau. Keras hati
sangat. Tadi mak pesan suruh masak nasi. Dah pergi masak nasi. Along nak pergi
amik kelapa kat luar. Mak suruh parut. Nanti mak dengan ayah balik nasi tak
masak, kelapa pun tak parut lagi.’ Along berlalu ke luar rumah namun sempat
mengusap kepalaku. Dah faham sangat bila Along usap kepala maknanya Along suruh
fikir masak-masak. Daripada aku fikir masak-masak pasal Taufik baik aku masak
nasi.
Mak, ayah dan Taufik sampai ke rumah
lebih kurang setengah jam kemudian.
Macam-macam yang dibeli sudah gaya macam nak buat kenduri pula aku
tengok. Taufik sibuk tolong mengangkat barang-barang ke dapur. Aku langsung
tidak memandangnya dan buat-buat sibuk di sinki walaupun tak ada apa yang
hendak dibasuh.
‘Angah amik ayam ni kerat. Kita nak
buat masak lemak nanti.’ Mak memanggilku. Aku menoleh dan Taufik sudah tiada.
Aku menarik nafas lega.
‘Taufik mana mak?’ Aku menyoal
kehairanan sambil mengeluarkan ayam di dalam plastik. Mataku melilau-lilau
mencari.
‘Ada kat luar dengan ayah dan Along.
Siang ikan patin dekat paip depan tu.’ Mak menjawab sambil mengambil bawang di
atas rak dapur.
‘Angah ni orang tu tak ada
tercari-cari. Orang tu ada buat-buat tak nampak.’ Adik menyampuk. Aku cuma buat
muka seposen.
‘Adik dah-dah usik Angah tu. Tolong
mak potong sawi ni.’ Mak menghulurkan seberkas sayur sawi kepada Adik dan Adik
tanpa banyak soal terus membuat apa yang disuruh mak. Aku pula leka membasuh
ayam.
Kira-kira jam 12.00 tengahari semua
menu siap dimasak. Gulai ikan patin masak tempoyak, ayam masak lemak, sawi goreng,
ikan masin goreng, telur dadar dan sambal tempoyak memang benar-benar membuka
seleraku. Rasa tidak sabar hendak makan. Mak, Adik dan aku mengangkut semua
menu ke meja makan utama di hadapan. Along turut sama menolong mengangkat pinggan
dan cawan. Taufik dan ayah sedang berbual-bual di luar agaknya kerana tiada di
ruang tamu.
‘Angah pergi panggil ayah dan Taufik
masuk makan.’ Mak menyuruh. Aku tidak membantah dan berjalan ke luar dengan
malas sekali. Melihat ayah dan Taufik di luar sedang rancak berbual jadi aku
menjengah ke luar pintu. Malas hendak keluar ke beranda.
‘Ayah, mak panggil ayah dengan bos
makan.’ Aku memanggil perlahan. Ayah dan Taufik memandangku serentak.
‘Jomlah Taufik kita masuk makan.
Bila lagi nak rasa makanan orang Pahang kan.’ Ayah mula bangun dan diikuti oleh
Taufik. Aku cepat-cepat berlari ke meja makan semula.
‘Ish Angah, apa berlari-lari tu. Dah
umur 24 tahun perangai macam budak-budak.’ Ayah menegurku ketika tiba di meja
makan. Aku hanya tersenyum sambil buat muka comel seperti biasa. Terlupa pula
Taufik ada sekali. Biasanya kami makan satu keluarga sahaja. Bila ternampak
muka Taufik yang tengah senyum, lebih kepada gelakkan aku, aku cepat-cepat buat
muka serius semula.
Aku duduk di sebelah Adik dan mak.
Taufik pula duduk di sebelah Along. Hendak dipendekkan cerita, aku duduk
berhadapan Taufik. Teringat pula kisah kami makan dengan Harlina minggu lepas.
Kedudukan kami lebih kurang sama. Mujurlah ini kali kedua kami makan bersama,
sebenarnya kali ketiga jadi aku tidak merasa kekok. Aku hanya tidak suka makan
semeja dengan orang yang aku tidak kenali. Betapa bahagianya makan di rumah
bersama keluarga tetapi ada pula seorang manusia menyibuk. Jahat betul Amaani.
Orang dah tolong bukan nak bersyukur, asyik membebel pula.
‘Sedap masakan mak cik. Dulu saya
pernah makan gulai ikan patin masak tempoyak, tapi rasanya tak sesedap yang
ini.’ Sempat pula Taufik memuji. Aku sudah tersenyum-senyum. Aku memang suka
bila orang puji masakan aku. Maknanya sedap sangatlah tu sampai Taufik ingat
mak yang masak.
‘Sebenarnya Angah yang masak ni.
Sejak dia kerja ni rajin pula dia belajar masak tu yang dah pandai masak
macam-macam. Masa belajar dulu tak ada masa sangat. Asyik sibuk dengan tugasan.’ Mak pula puji, aku apa lagi
bertambah panjang senyum.
‘Ada orang dah senyum sampai telinga
mak.’ Along pula mengusik. Aku mengawal perasaan kembang semangkukku.
‘Owh, kalau macam tu bolehlah saya
minta resepi dekat awak nanti Risya.’ Taufik menambah perisa untuk buat aku
senyum lagi. Ayah ketawa mendengar.
‘Bos nak terus balik K.L kan lepas
ni?’ Aku mengalih topik perbualan.
‘Angah apa pula tanya soalan macam
tu.’ Ayah menegurku dan aku hanya tersenyum buat muka tak bersalah.
‘Tak apa pakcik. In sha Allah lepas
Zuhur ni saya dah nak gerak balik ke K.L.’ Taufik menjawab penuh sopan.
‘Cepatnya nak balik. Kalau Taufik
sudi boleh je bermalam dekat sini.’ Ayah mempelawa. Tidak. Aku menjerit dalam
hati. Taufik mana boleh tidur di sini.
‘Terima kasih pakcik. Saya berbesar
hati sangat pakcik pelawa bermalam kat sini. Tapi saya kena balik hari ni juga.
Saya bagitahu mummy yang saya pergi
sehari je.’ Aku lega mendengarnya. Ayah baik sangat. Cepat sahaja mengajak
orang yang baru dikenali bermalam di rumah. Nasib baik yang diajak ialah
Taufik, orang yang memang sudah aku kenal.
‘Pakcik lepas ni saya nak tumpang
solat dulu boleh?’ Sejuk hati aku mendengar soalan Taufik. Sejuk hati tidak
bermakna terpikat.
‘Boleh Taufik. Kalau macam tu kita
solat Jemaah sekali lah. Lepas makan ni semua amik wudu’.’ Aku terkedu
mendengar kata-kata ayah. Hari ini aku ‘uzur’ jadi macam mana nak solat
berjemaah sekali. Nampaknya bakal terkantoilah dengan Taufik. Malunya. Aku
hanya mendiamkan diri selepas itu. Sibuk memikirkan apa yang harus aku buat
selepas ini.
Setelah selesai makan, mak menyuruh
aku menghamparkan sejadah di ruang hadapan. Aku hanya menurut tanpa banyak
soal. Selesai tugasku, aku terus ke dapur untuk mencuci pinggan. Terserempak
pula dengan Taufik yang hendak ke bilik air untuk mengambil wudu’. Aku buat-buat
tak nampak dan terus membasuh pinggan. Dia pula langsung tidak menegurku jadi
aku terselamat. Harap-harap tak kantoi. Nanti mesti dia fikir aku solat sendirian
dalam bilik.
‘Angah. Buat apa lama sangat kat
dapur tu?’ Mak memanggilku. Aku yang sedang leka mencuci sinki menoleh.
‘Tak ada apa mak. Cuci sinki.’
Sambil tersenyum aku mengangkat span.
‘Nak suruh berkilat sampai macam
mana sinki tu. Jom ke depan, Taufik dah nak balik tu.’ Aku terkejut mendengar.
Semua orang dah siap solat nampaknya. Itulah leka sangat bermain air sampai
tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Aku terus mengekori mak ke ruang
tamu.
‘Eh lupa pula mak. Angah tolong
bekalkan Taufik dengan gulai patin masak tempoyak. Berselera dia makan tadi. Banyak
sikit, nanti boleh mak dan ayah dia rasa juga.’ Mak menolehku di belakang dan
aku terus kembali ke dapur semula.
Taufik kelihatan begitu rancak
berbual dengan ayah dan Along ketika aku keluar membawa bekalan gulai ikan
patin masak tempoyak.
‘Bos, ni nanti bawa balik. Jangan
lupa panaskan dulu sebelum makan. Kalau sejuk tak sedap.’ Aku menghulurkan tupperware tersebut.
‘Terima kasih Risya. Mummy saya mesti suka masakan awak ni.’
Sempat lagi Taufik memuji. Aku hanya membalas dengan senyuman.
‘Pakcik, makcik, Along dan Adik.
Terima kasih banyak-banyak untuk hari ini. Saya gembira sangat dapat berkenalan
dengan keluarga Risya. Saya minta diri dulu.’ Taufik mula bersalaman dengan
ayah dan Along. Dia tak masukkan aku pun dalam ucapan terima kasih dia.
‘Kalau ada masa nanti jemputlah
datang ke mari lagi. Kirim salam pada mak dan ayah Taufik.’ Mak berpesan.
‘In sha Allah makcik.’ Taufik
membalas sambil tersenyum.
‘Bawak kereta elok-elok. Jangan
bawak laju sangat.’ Ayah pula berpesan dan Taufik mengangguk sambil tersenyum.
‘Terima kasih sekali lagi.’ Taufik
kemudiannya beredar ke kereta dan sempat melambai kami sebelum keretanya
dipandu keluar dari pagar. Keluargaku turut melambainya dan aku pula hanya
membatu di situ.
‘Baik Taufik tu ye Angah. Sejuk hati
ayah tengok sifat dia.’ Ayah sempat pula memuji ketika kami sama-sama masuk
semula ke dalam rumah.
‘Zaman sekarang jangan mudah percaya
kat orang ayah. Memang lah dia baik sangat tapi….’ Owh aku mati kata di situ.
Nak cakap apa pula kat ayah. Kalau cakap aku tak suka Taufik macam pelik pula.
‘Tapi apa Angah?’ Ayah bertanya
kembali.
‘Lupa pula tapi apa ayah. Ayah
pisang tadi kan kalau buat cekodok sedap jugak makan petang nanti. Angah nak
pergi dapur, prepare buat cekodok.’
Aku mendapat idea dan terus berlalu menuju ke dapur. Ayah hanya menggelengkan
kepala sambil tersenyum. Aku pula buat muka comel seperti biasa.
No comments:
Post a Comment