12
JUMPA NENEK
Pagi itu aku ke pejabat seperti
biasa. Pada mulanya aku ingin ke bilik Taufik dahulu untuk mengambil beg
tanganku tetapi tidak jadi. Aku masuk ke bilikku dahulu untuk meletakkan fail
yang dibawa dari rumah. Sampai di bilik aku terkejut kerana begku sudah di atas
meja. Pasti Taufik telah meletakkannya awal-awal pagi lagi.
Aku
keluar semula untuk mengucapkan terima kasih kepadanya dan kebetulan Taufik
juga baru keluar dari biliknya. Kami sempat bertentang mata dan aku baru sahaja
hendak membuka mulut tetapi Taufik cepat-cepat sahaja mengalihkan pandangannya
kepada Harlina dan berlalu ke meja Harlina. Pertama kali dalam sejarah Taufik
buat seperti itu. Biasanya dia akan senyum atau menegur aku tetapi pagi ini dia
buat seperti tidak kenal aku. Merajuk betul agaknya pasal semalam.
Aku
tidak jadi mengucapkan terima kasih dan terus kembali masuk ke dalam bilik.
Berfikir sekejap tentang Taufik. Agaknya perkataan aku semalam agak keterlaluan
dan terlalu jujur. Tetapi lebih bagus aku jujur dari aku berpura-pura suka
dengan luahan hati Taufik. Nanti dia juga yang akan terus mengharap jadi lebih
baik awal-awal lagi dia putus harapan dari putus harapan di kemudian hari.
Mungkin
ini adalah jalan yang terbaik untuk kami. Pasti suatu hari nanti Taufik akan melupakan
perasaannya padaku dan menemui calon yang lebih layak berbandingku. Aku tersenyum
mengenangkan itu semua. Sebenarnya aku bertindak bijak dengan menolak cinta
Taufik. Kami tidak setaraf jadi mustahil kami boleh bersatu. Jika boleh bersatu
pun pasti banyak halangan. Apa yang penting sekarang adalah aku harus teruskan
hidup seperti biasa dan bekerja secara profesional dengan melupakan segala
luahan hati Taufik semalam.
……………………………………………………………………………………………………....
“Risya. Boleh saya masuk sekejap?”
Taufik mengetuk pintu yang sedia terbuka. Aku hairan melihat Taufik. Dalam
tempoh empat hari ini dia langsung tidak pernah menegurku. Kami hanya
berbincang mengenai urusan kerja semata-mata. Aku hanya memberikan senyuman
kepada Taufik sambil mengangguk perlahan.
“Maaf saya mengganggu. Tapi saya ada
permintaan untuk awak. Saya harap awak boleh tunaikan.” Taufik memohon dengan
lembut sekali. Kalau perempuan lain memang sah-sah sudah cair. Nasib baik
Taufik bercakap dengan Amaani si hati keras dan tumpul.
“Boleh bos. Jemputlah duduk dulu.”
Aku membalas sopan sambil tetap tersenyum. Aku rasa aku pula yang sudah
berjangkit virus senyum 24 jam dengan Taufik.
“Terima kasih.” Taufik duduk di
kerusi bertentanganku.
“Ada apa bos?”
“Hari esok awak free tak?” Taufik menyoal dan aku pula sudah mengangkat kening
seperti biasa. Esok hari Sabtu jadi mestilah free. Lagipun minggu ini aku tidak pulang ke kampung.
“Kenapa ya bos?” Aku menyoal kembali
tanpa menjawab soalan Taufik.
“Sebelum tu saya nak tahu awak free
atau tak dulu. Lepas tu baru saya bagitahu.” Taufik mengulangi soalannya.
“Esok In sha Allah free. Kenapa?” Tanya lagi. Bosan pula
dengan sesi tanya itu tanya ini.
“Boleh saya bawa awak jumpa
seseorang?” Aku terkejut mendengar jawapan Taufik. Dia hendak bawa aku jumpa
siapa pula esok? Ini yang buat aku suspen kalau cakap tanpa berterus-terang.
“Jumpa siapa bos?” Aku menyoal lagi
sambil merenung Taufik. Wajahnya kelihatan tenang seperti biasa.
“Nenek saya.” Hampir tersedak aku
mendengar perkataan ‘nenek’. Mujur bukan tengah minum air, kalau tidak memang
dapat semburan air percuma lah Taufik.
“Motif?” Taufik pun satu hal, suka
sangat bercakap sepatah-sepatah. Cuba terang sekaligus. Masa luahkan perasaan
pandai pula dia bagi karangan A1 panjang berjela.
“Nenek saya teringin nak jumpa awak.
Maafkan saya. Tapi saya harap awak mampu tunaikan permintaan saya ni. Saya tak
sampai hati tolak permintaan nenek saya.” Penjelasan Taufik membuatkanku
bertambah bingung.
“Kenapa nenek bos nak jumpa saya dan
macam mana nenek bos boleh kenal saya?” Aku menyoal teragak-agak.
“Saya betul-betul minta maaf. Ini
semua silap saya. Masa saya bawa balik beg awak hari tu saya letakkan beg awak
atas meja dalam bilik. Nenek saya masuk bilik dan ternampak beg awak.” Baiklah
ini semua silap aku dan bukannya silap Taufik. Kalaulah aku ikut sahaja kehendak
Taufik yang ingin menghantar beg itu pasti kejadian ini tidak akan berlaku.
“Nenek
tanya siapa awak dan saya bagitahu awak rakan sekerja saya. Kemudian nenek
tanya macam mana beg awak boleh ada pada saya dan saya ceritakan pada nenek
kita jumpa di taman. Nenek cepat dapat tangkap reaksi di sebalik wajah saya.
Nenek terus teka yang awak adalah orang yang saya suka. Nenek memang faham
sangat dengan sifat saya dan apa yang saya mahukan walaupun saya tak pernah
cakap. Saya cuba nafikan yang saya suka awak tapi semua tu dah terlambat.”
“Kemudian
nenek minta saya temukan awak dengan dia. Saya bagi macam-macam alasan tapi
bila nenek dah pujuk banyak kali saya tak sampai hati nak hampakan hasrat
nenek. Jadi sekarang saya cuma nak tanya awak. Awak sudi jumpa nenek saya? Saya
tak paksa awak. Terpulang pada awak untuk setuju atau tak.” Aku terdiam
mendengar penjelasan yang panjang lebar dari Taufik. Pasti nenek Taufik sangat
sayangkan Taufik, kalau tidak masakan nenek Taufik boleh membaca isi hati
Taufik.
Aku menjadi serba salah samada mahu
bersetuju atau tidak. Tidak sanggup rasanya untuk mengecewakan hati nenek
Taufik. Aku berfikir sepuluh saat dan memandang Taufik kembali.
“Baiklah saya setuju. Pukul berapa
saya kena jumpa dengan nenek bos?”
“Betul ni Risya? Saya tahu awak
mesti akan setuju. Awak terlalu baik Risya.” Taufik sempat lagi memuji. Namun,
hakikatnya Taufik jauh lebih baik dariku. Aku mengangguk tanda memang bersetuju.
“Esok pukul 11.00 pagi saya ambil
awak di rumah awak.” Taufik menjelaskan.
“Eh tak apa bos. Saya drive sendiri. Bos bagitahu je alamat
tempat nak jumpa tu. Nanti saya cari sendiri.” Seperti biasa aku menolak. Dan
aku harap Taufik tidak akan membantah.
“Tapi saya takut awak tak tahu
jalan. Awak drive kereta awak tapi
awak ikut saya dari belakang ya. Boleh kan?” Renungan Taufik membuatkanku tidak
mampu untuk membantah.
“Ok bos. Tapi saya tak nak kita
jumpa dekat rumah saya. Kita jumpa dekat taman hari tu dan gerak dari sana ya.”
Aku memberi cadangan lain dan Taufik kelihatan bersetuju lantas mengangguk
perlahan.
“Kalau macam tu kita jumpa dekat
taman pukul 10.30 pagi esok. Terima kasih banyak-banyak Risya. Saya tak tahu macam
mana nak balas jasa awak.” Aku tersenyum mendengar kata-kata Taufik.
“Bos perkara kecil je. Lagipun
membahagiakan orang yang lebih tua dari kita kan perkara yang baik.” Aku
membalas lembut sambil tersenyum. Taufik kelihatan bagaikan terpaku melihat
aku. Aku cepat-cepat mengalihkan wajahku ke arah lain.
“Kalau macam tu saya keluar dulu.
Terima kasih Risya.” Aku hanya memberikan senyuman kepada Taufik sebelum dia
beredar keluar. Apalah agaknya yang akan dicakapkan oleh nenek Taufik kepadaku.
Hatiku mula runsing dan bimbangkan pertemuan esok.
……………………………………………………………………………………………………....
Aku meneliti sekali lagi
penampilanku di cermin. Agak simple dengan
hanya memakai blaus merah jambu, jeans hitam dan selendang putih. Wajahku pula
hanya disapu dengan compact powder dan
bibir dicalit dengan lip balm.
Setelah berpuas hati dengan penampilanku, aku terus mencapai tas tangan dan
kunci kereta lalu menapak turun ke tingkat bawah. Husna tiada di rumah kerana
keluar membeli barang, tetapi aku telah memaklumkan Husna berkaitan pertemuanku
dengan nenek Taufik. Seperti biasa Husna agak terkejut dan sangat teruja mendengar
semua ceritaku.
Aku berjalan keluar dan menutup pagar. Enjin kereta dihidupkan dan
aku memandu dengan cermat menuju ke destinasi yang telah dijanjikan.
Ketika aku sampai di perkarangan
tempat letak kereta, Taufik sudah sedia menantiku. Taufik menyandarkan badannya
ke kereta. Jika dilihat sekali imbas sudah seperti anime Jepun. Melihat sahaja aku, Taufik terus masuk semula ke dalam
kereta dan memandu keluar dari tempat letak kereta. Aku mengekorinya menuju ke destinasi
pertemuan dengan nenek Taufik.
Lebih kurang setengah jam kemudian
kami tiba di sebuah restoran yang agak mewah. Hiasan lampunya agak suram namun
sungguh menarik. Perabotnya pula dari pelbagai jenis kayu yang mahal. Cat
berwarna maroon yang menghiasi
dinding juga sangat sempurna. Aku menoleh ke atas memandang siling dan lampu chandelier digantung cukup cantik
sekali. Beberapa orang tetamu kelihatan sedang menikmati hidangan
masing-masing.
Pelayan datang ke arah kami dan membawa kami
ke suatu sudut meja yang agak tersorok dan privacy
sedikit. Kami diberikan dua set menu
list tetapi Taufik mahu mmesan makanan setelah neneknya sampai. Mataku
masih ligat memerhati seluruh kawasan restoran. Inilah kali pertama aku makan
di restoran semewah ini.
“Awak suka hiasan restoran ni?”
Taufik menyoal. Pasti dia menyedari mataku yang sibuk melilau ke sekeliling.
“Suka. Cantik sangat.” Aku tersenyum
dan Taufik membalas.
“Nenek bos sampai kejap lagi ya?”
“Aah kejap lagi. Maaf buat awak
tunggu. Pagi tadi saya ada hal di luar jadi nenek nak pergi sendiri dari
rumah.” Taufik menjawab sambil tersenyum.
“Oh tak apa bos. Saya tanya je. Kita
pun baru sampai kan.” Aku membalas sambil menghirup air kosong. Hampir separuh
gelas juga aku habiskan. Sebenarnya bukan kerana terlalu dahaga, tetapi lebih
kepada gementar.
“Awak nak air lagi. Kita boleh pesan
minuman dulu.” Taufik menyoal sambil merenung gelasku.
“Tak apa lah bos. Tunggu nenek bos
baru kita pesan.” Aku tersenyum sambil meletakkan gelas tadi jauh sedikit
dariku. Bimbang tangan ini akan gatal lagi untuk mencapainya. Taufik hanya
tersenyum melihat reaksiku. Kami kemudiannya mendiamkan diri. Terasa begitu
janggal berada dalam situasi seperti ini dengan Taufik. Rasa macam akan mati
kebosanan pun ada. Aku sangat berharap nenek Taufik tidak akan sampai lambat.
Aku
mencapai semula gelas di atas meja dan menghirup air yang masih berbaki
separuh. Berdehem dua tiga kali dan memandang Taufik sekali lagi. Taufik
seperti biasa kelihatan tenang, matanya yang bundar merenung ke atas meja.
Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kiri yang diletak di sisi gelas. Dia
mengusap perlahan jarinya. Airnya masih penuh tidak terusik.
Taufik
seakan tahu aku merenungnya dan dia cepat sahaja mengangkat muka memandangku.
Aku agak tersentak dan terus memandang ke arah lain. Tidak berani bertentang
mata dengannya. Beberapa saat kemudian aku menjelingnya dan aku lihat ada
segaris senyuman terukir di bibir Taufik. Aku mendengus perlahan. Mesti senyum
sebab kelakar tengok aku. Selepas itu aku langsung tidak berani memandang ke
hadapan dan sibuk melilau mengkaji hiasan dalaman restoran ini.
“Assalamualaikum.”
Kedengaran salam diberi setelah hampir sepuluh minit menunggu nenek Taufik. Aku
menoleh untuk melihat siapa yang memberi salam. Kelihatan seorang wanita dalam
lingkungan lewat 60-an berjalan sambil tersenyum manis ke arah kami. Walaupun
usianya mungkin sudah lebih separuh abad, tetapi wanita itu tetap kelihatan
cantik dengan gayanya yang tersendiri. Memakai baju kurung kelabu dan tudung putih.
Nampak sangat sesuai dengan wajahnya yang kelihatan cukup lembut. Adakah ini
nenek Taufik?
Taufik
menyalami wanita itu dan mencium pipi wanita tersebut. Kepala Taufik diusap
lembut beberapa kali. Senyuman manis tidak lekang dari wajah Taufik. Kelihatan
begitu gembira dengan kehadiran wanita itu. Aku hanya mampu melihat adegan yang
sungguh penuh kasih sayang ini. Jadi benarlah ini nenek Taufik.
“Nenek.
Kenalkan, inilah Amaani Batrisya. Risya, ini nenek saya.” Taufik memperkenalkan
kami sambil tangannya masih menggenggam tangan neneknya. Aku terus berjalan ke
arah nenek Taufik dan bersalam serta mengucup lembut tangannya. Kepalaku sempat
diusap semasa aku menunduk untuk mengucup tangannya. Terasa begitu lembut
usapan itu.
“Assalamualaikum
Puan. Apa khabar?” Aku menyapa sambil tersenyum. Entah betul atau tidak aku
memanggilnya Puan. Mungkin juga pangkatnya Puan Sri atau Datin.
“Waalaikumussalam
Amaani. Panggil nenek sahaja.” Nenek Taufik menyuruh lembut. Aku agak terkejut
bagaikan tidak percaya. Setahu aku jarang sekali orang kaya yang sudi dipanggil
nenek oleh orang biasa seperti aku. Jadi, tidak peliklah kenapa Datuk Fauzi dan
Taufik memiliki perwatakan yang sangat lembut, baik hati dan sentiasa merendah diri.
Rupa-rupanya memang sudah dari keturunan yang baik-baik.
“Nenek
jemputlah duduk.” Aku mempelawa sambil tersenyum.
“Terima
kasih.” Nenek Taufik duduk setelah Taufik menolong menarikkan kerusi untuknya.
Romantik betul cucu dan nenek ini.
“Maaf
nenek lambat sedikit. Lama dah tunggu?” Nenek Taufik menyoal dengan lembut
sekali. Aku menghadiahkan senyuman kepadanya sebelum menjawab.
“Tak
apa nenek. Kami baru je sampai.” Aku menjawab sesopan mungkin. Hakikatnya dalam
hati tadi asyik berdoa semoga nenek Taufik sampai. Nasib baik hanya sepuluh minit
menunggu, kalau lebih lama mahu pengsan aku kerana kejanggalan dan kebosanan
yang sudah hampir setinggi Gunung Everest.
“Nek.
Kita order makanan dulu. Dah nak tengahari.
Perut pun dah lapar.” Suara Taufik dimanjakan sedikit. Tangannya sibuk
mengusap-usap perutnya dan nenek Taufik hanya tersenyum memerhati gelagat
cucunya itu. Taufik pun satu hal, kalau nak bermanja janganlah depan aku.
Taufik kemudiannya memanggil pelayan dan kami diberikan tiga set menu list.
Aku
membuka menu tersebut dan mahu terkeluar biji mata melihat harga makanan yang
disediakan. Aku menelan air liur dan mencuri pandang Taufik dan neneknya.
Mereka sedang sibuk memilih menu masing-masing. Aku kembali meneliti menu yang
diberi dan mencari-cari menu yang berharga paling murah. Dan akhirnya aku
menemui. Walaupun sebenarnya harga menu tersebut sangat mahal bagiku, namun
dalam senarai menu inilah yang paling murah. Dan untuk air pula aku akan
memilih air kosong sahaja.
“Risya
dah pilih?” Taufik menyoal dan aku mendongak memandang Taufik. Aku mengangguk
perlahan. Pelayan tadi sudah bersedia
untuk mengambil pesanan kami.
“One beef steak, one chicken steak with
mushroom soup and two orange juice….Risya.” Taufik terhenti seketika dan
membuat isyarat mata menyuruh aku memberitahu pesananku.
“Blackpepper fried rice and plain water.”
Aku menjawab ringkas sambil mengangguk. Taufik pula memandangku kehairanan dan
mengeluh perlahan.
“Plus another chicken steak with orange juice.”
Taufik menyambung dan pelayan tadi
mengangguk dan mengambil menu kemudian berlalu pergi. Banyak juga Taufik makan,
sampai dua menu dan dua air. Orang tinggi galah memang perlu makan banyak
agaknya.
“Amaani
kalau datang sini kena rasa steak dia.
Kat sini memang sangat sedap.” Nenek Taufik memulakan perbualan.
“Saya
sebenarnya jarang makan steak.
Membesar di kampung jadi biasa makan makanan Melayu je. Nenek mesti selalu
datang sini kan?” Aku seperti biasa berkata-kata jujur dan menyoal dengan
ramah.
“Oh
duduk kampung lah bagus. Udara tak tercemar, pemandangan pun cantik. Nenek
kadang-kadang akan datang makan di sini. Dengan Taufik lah. Sejak Taufik balik
Malaysia ni barulah boleh nak keluar dengan Taufik. Masa dia masih di U.K. dulu
susah sangat nak keluar dengan nenek. Balik Malaysia pula tak sempat berehat
lama, daddy Taufik dah suruh masuk
kerja.” Nenek Taufik menerangkan dan aku tersenyum.
“Nenek
ada cucu seorang je ya?” Aku menyoal sopan.
“Sebenarnya
ada dua orang. Ayah Taufik ni anak sulung nenek. Seorang lagi cucu nenek ada di
U.K. tinggal dengan papa dan mamanya di sana. Mereka uruskan perniagaan di
sana.” Aku mengangguk-angguk sambil mendengar cerita nenek Taufik. Jadi mereka
ini memang semuanya adalah golongan kerabat yang kaya raya.
“Oh
jadi dekat sini nenek tinggal dengan Datuk Fauzi?”
“Ya
Amaani. Amaani ada tiga orang adik beradik kan? Mesti tak sunyi di rumah ya ada
adik-beradik yang lain.” Aku agak terkejut mendengar soalan nenek Taufik. Pasti
Taufik yang memberitahu maklumat tentang diriku. Aku mengerling Taufik sesaat
dan kelihatan dia sedang tersenyum. Kalau neneknya tiada di hadapan kami, pasti
aku sudah membebel.
“Kalau
kat rumah memang meriah juga lah. Abang saya yang sulung pun tinggal dengan mak
dan ayah sebab kerja di sana. Adik pula belajar dekat sini, jadi kalau saya
balik rumah memang bawa dia sekali.” Tanpa berselindung aku membalas.
“Abang
Amaani bertugas sebagai Jurutera Daerah kan?” Soalan nenek Taufik sekali lagi
membuatkanku ternganga. Taufik memang nak kena. Siaplah dia nanti.
“Ya
nenek. Taufik yang ceritakan pada nenek ya?” Aku berusaha mengawal suaraku agar
kedengaran tenang.
“Nenek
yang banyak tanya pada Taufik. Taufik ni memang cucu nenek yang lurus, jujur,
tak pandai nak berselindung dari nenek. Seronok sangat katanya dapat pergi ke
rumah Amaani hari tu berjumpa dengan keluarga Amaani.” Aku berusaha membalas
senyuman nenek Taufik walaupun aku rasa seperti agak kelat.
“Mak
dengan ayah memang suka kalau tetamu datang ke rumah. Dulu masa saya masih
belajar selalu juga bawa kawan-kawan balik ke rumah.” Aku membalas dengan
spontan.
“Jadi
bolehlah suatu hari nanti nenek berkunjung ke rumah Amaani pula ya?” Aku
terkesima beberapa saat sebelum tergelak kecil sambil mengangguk tanda
bersetuju. Sebenarnya aku tidak mahu ini semua terjadi.
Menu
kami akhirnya sampai dan kelihatan sungguh menyelerakan. Setelah pelayan tadi
selesai meletakkan semua menu di atas meja dan berlalu pergi, Taufik
mengalihkan gelasku yang berisi air kosong dan meletakkan jus oren. Aku
membulatkan mataku sambil memandang Taufik.
“Awak
dah banyak minum air kosong. Minum air lain pulak ya.” Taufik menjawab tanpa
aku perlu menyoal. Suka hati sayalah nak minum air kosong pun. Aku hanya
mengeluh perlahan. Segan hendak menolak air tersebut di hadapan nenek Taufik.
Kalau hanya kami berdua memang jus oren aku tolak pada Taufik dan paksa dia
minum sampai habis.
“Dan
saya nak awak rasa chicken steak ni.
Ini kegemaran nenek dan dijamin sedap.” Taufik meletakkan chicken steak di hadapan pinggan nasi gorengku. Aku sekali lagi
membulatkan mataku ke arahnya.
“Awak
rasa je dulu. Tak habis tak apa.” Taufik membalas pendek sambil tersenyum. Tak
apa Taufik cakap? Dia ingat steak ni beli
dengan daun. Harga mahal macam ni nak dibuang begitu sahaja memanglah suatu
pembaziran yang luar biasa. Sifat Taufik yang tidak berapa elok akhirnya aku
berjaya temui iaitu suka membazir. Selama ini semua orang asyik memuji-muji
sifatnya, Mr. Perfect kata mereka.
Namun, hari ini terbongkar juga sifat unperfect
Taufik. Walau sekaya mana pun dia, mana boleh sesuka hati membazir. Membazir
itu kan saudara syaitan.
“Kalau
tak habis, bos habiskan ya. Tak baik membazir. Kesian ayam ni, susah-susah dia
kena masak, nak buang di macam tu je.” Spontan ayat itu keluar dari mulutku.
“Ya
saya habiskan tapi dengan syarat awak kena makan dulu.” Taufik mengangkat
keningnya sambil tersenyum. Nak makan pun kena main syarat-syarat pula. Aku
mengangguk malas tanda bersetuju. Hendak bidas nanti sampai ke sudah kami tak
makan.
“Nenek
jemputlah makan.” Aku menoleh ke arah nenek Taufik sambil tersenyum.
“Mari
kita makan.” Aku mengangguk dan mula menyuapkan nasi ke dalam mulut. Kami makan
dengan senyap dan masing-masing fokus dengan menu masing-masing. Taufik
mengambil semula chicken steak yang
diberi kepadaku. Buruk siku pula nampaknya bos aku. Aku sempat menjeling Taufik
yang sibuk memotong steak tersebut
menjadi hirisan-hirisan kecil.
Aku
kembali menyuap nasi gorengku dan menoleh ke arah nenek Taufik dan sempat
memberikan senyuman kepadanya.
“Sedap
Amaani?” Nenek Taufik menyoal.
“Sedap
nenek. Harga mahal jadi memang wajib kena sedap kan.” Aku sempat berseloroh dan
nenek Taufik tergelak kecil.
Aku
menoleh ke arah Taufik apabila menyedari Taufik meletakkan semula pinggan steak tadi di hadapanku. Seperti biasa
aku buat isyarat mata. Taufik hanya tersenyum dan membalas dengan membuat
isyarat mata menyuruh aku makan. Baru aku faham, rupa-rupanya tadi dia memotong
steak tersebut untukku. Tarik balik
perkataan buruk siku yang aku cakap tadi. Teruk betul Amaani.
“Hari
tu ikan patin yang Amaani masak sedap sangat. Kalau ada peluang nenek teringin
lagi nak rasa.” Aku tersenyum bangga mendengar pujian nenek Taufik.
“Nanti
kalau ada masa Amaani masakkan untuk nenek ya.” Aku membalas dan kali ini
membahasakan namaku sendiri kerana merasa semakin selesa dengan nenek Taufik.
“Betul
ni. Janji dengan nenek.” Aku membalas kata-kata nenek Taufik dengan anggukan
dan memegang lembut tangan nenek Taufik.
“Kring…..”
Telefon Taufik berbunyi. Aku tergelak perlahan. Zaman sekarang masih ada lagi
orang yang menggunakan nada dering seperti itu rupanya. Aku berusaha mengawal
ketawaku agar tidak kelihatan kurang sopan di hadapan nenek Taufik.
“Nek,
Fik angkat call kejap. Risya berbual
dulu dengan nenek ya.” Taufik berlalu pergi meninggalkan kami.
“Maaf
nenek. Tadi Amaani tak sengaja ketawa.” Aku teragak-agak menuturkan kata maaf.
Bimbang juga nenek Taufik kecil hati.
“Tak
apa Amaani. Nenek faham. Taufik memang kurang minat pada lagu-lagu ni. Nenek
pun kadang-kadang lebih kenal dengan artis-artis ni berbanding Taufik.” Nenek
Taufik seperti mengerti alasanku ketawa.
“Sibuk
sangat dengan kerja agaknya kan.” Aku menjawab pendek sambil tersenyum.
“Amaani
pula macam mana? Jenis lagu macam mana yang Amaani suka?” Perlukah aku menjawab
dengan jujur soalan nenek Taufik. Kalau bagitahu suka lagu-lagu K-Pop agaknya
nenek Taufik tahu atau tidak.
“Amaani
sebenarnya suka K-Pop songs tapi
kalau cerita pula Amaani suka cerita lama-lama macam zaman-zaman P.Ramlee
dulu.” Aku menjawab jujur sambil cuba mengalih topik K-Pop. Nanti susah pula hendak menerangkannya
kepada nenek Taufik.
“Oh,
suka cerita P.Ramlee rupanya. Zaman sekarang susah nak cari orang muda macam Amaani
suka cerita lama-lama ni.” Nenek Taufik kelihatan berminat dengan topik
perbualan kami ini.
“Mestilah
suka nenek. Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Dan bak kata Seniman
Aziz Satar ‘Lubang hidungmu tetap menjadi pojaan hatiku’. Macam cerita-cerita
klasik juga, tetap menjadi pujaan hati kita kan nenek.” Nenek Taufik ketawa
geli hati mendengar kata-kataku. Masakan tidak, aku siap dengan gaya dan nada
sekali menuturkan ayat yang sememangnya popular dalam filem ‘Seniman Bujang
Lapuk’ itu. Aku turut sama ketawa. Mujur juga tidak ramai orang di situ kalau
tidak pasti masing-masing pelik melihat kami ketawa.
“Amaani
ni memang kelakar ya. Dah lama nenek tak ketawa banyak macam ni.” Nenek Taufik berusaha
menahan tawanya.
“Suka
Amaani tengok nenek ketawa macam ni. Kalau nenek nak tahu, hari tu masa tengah
tunggu bos dekat taman, Amaani bosan jadi siap nyanyi lagi lagu buai-buaiku
laju yang dalam cerita ‘Bawang Putih, Bawang Merah’ tu. Tapi tukar sikit lirik.
Sedap sangat nyanyi sampai tak perasan bos dah sampai kat situ. Malu juga lah
dibuatnya. Nasib baik bos tak ketawa kuat-kuat. Tapi tak tahulah kat belakang
takut dia sakan gelakkan Amaani.” Panjang lebar aku bercerita dan disusuli
dengan tawa nenek Taufik lagi. Suka benar nampaknya nenek Taufik mendengar
ceritaku.
“Ehem.”
Kedengaran suara Taufik berdehem. Dan kami sama-sama mendongak dengan sisa tawa
yang masih berbaki.
“Seronoknya
ketawa ya. Tak nak ajak Fik sekali.” Taufik berseloroh sambil duduk semula.
“Bos
tak boleh kacau. Ni saya dengan nenek je boleh tahu.” Aku membalas sambil
ketawa.
“Amboi
baru jumpa dah ada rahsia ya.” Taufik kini tergelak kecil. Nenek Taufik
mengusap-usap kepala Taufik lagi dan Taufik memegang tangan neneknya. Aku
sungguh kagum melihat ikatan mereka anak-beranak.
Selepas
itu kami menyambung agenda makan tengahari kami yang tergendala akibat sibuk
ketawa. Pelbagai kisah dan cerita yang aku dan nenek Taufik bualkan. Entah
kenapa aku merasa sungguh selesa berbual dengan nenek Taufik. Layanannya cukup
mesra dan ramah. Langsung tiada sedikit pun riak sombong. Kalau lah semua orang
kaya dalam dunia seperti mereka, pasti tiada novel atau drama yang akan
mengisahkan tentang kesombongan orang kaya dan layanan buruk mereka terhadap
orang dari kelurga sederhana dan tidak berada sepertiku.
Dalam
sibuk asyik berborak, steak yang
Taufik suruh makan berjaya aku habiskan. Perut aku memang hebat, dua pinggan
aku makan hari ini. Malu pun ada dibuatnya tetapi buat apa malu kalau sudah
rasa nak makan. Orang kata, malu makan lapar. Tambahan pula steak tadi memang sedap. Kalau harapkan
Taufik yang makan alamat memang tidak habis lah. Dia sibuk mengusap-usap
perutnya sambil merengek dengan neneknya mengatakan sudah kenyang yang teramat.
Harapkan badan sahaja macam galah tetapi makan sedikit. Lagi satu manja
terlebih-lebih pula depan orang. Agaknya kalau di rumah lagi manja. Entah-entah
siap baring atas riba nenek dia.
Kami
selesai makan lebih kurang jam 1.30 tengahari. Sedar atau tidak lebih dari dua
jam jugalah kami berada di sini. Taufik dan neneknya beria-ia ingin mengiringi
aku pulang ke rumah. Katanya takut aku tersesat. Aku pula berkeras tidak mahu.
Walaupun baru sekali ke sini, tetapi aku sudah mengingati jalan yang kami
lalui. Aku sememangnya boleh dipuji apabila disentuh bab mengingat jalan. Puas
juga lah berbidas dengan Taufik dan akhirnya apabila aku membuat isyarat mata
tidak mahu mengaku kalah, Taufik akur juga.
Sebelum
berpisah, aku dan nenek Taufik sempat bertukar nombor telefon dan aku berjanji
akan memasak gulai ikan patin masak tempoyak untuk neneknya jika berkesempatan.
Aku menyuruh Taufik dan neneknya pergi dahulu dan aku di luar sibuk
melambai-lambai nenek Taufik sehinggalah Proton Perdana milik Taufik hilang
dari pandangan.
………………………………………………………………………………………………………
Aku
mengambil telefon di atas meja di sisi katil. Melihat ada mesej yang masuk
tetapi dari nombor yang tidak dikenali. Aku membuka mesej tersebut.
“Salam Risya. Terima kasih banyak-banyak
untuk tengahari tadi.” Aku membaca mesej tersebut sambil mengerutkan dahi
memikirkan siapa empunya nombor.
“Taufik.” Spontan nama itu terpacul
di bibirku. Siapa lagi yang memanggilku ‘Risya’ melainkan dia. Keluargaku
memanggilku Angah, kawan-kawan di sekolah memanggilku Nani, di universiti aku
dipanggil Nini, di tempat kerja dan orang lain yang baru mengenali aku
memanggilku Amaani. Banyak betul nama timangan aku sampaikan kadang-kadang aku
pun pening.
Tetapi pelik juga bagaimana dia
boleh mendapat nomborku. Aku harus bertanya. Aku sememangnya tidak suka
membiarkan diriku dihantui persoalan yang tidak berjawab.
“Sama-sama bos. Perkara kecil je.
Tapi macam mana bos boleh dapat nombor saya?” Aku membalas. Rupa-rupanya aku
tidak menyimpan nombor Taufik. Memang betul-betul pekerja yang teruklah sehinggakan
nombor majikan pun tidak disimpan.
“Tapi bagi saya sangat bermakna. Dah
lama saya tak tengok nenek saya ketawa macam tadi. Nenek gembira sangat jumpa
dengan awak. Saya ambil nombor awak masa beg awak tertinggal dekat saya hari
tu. Saya fikir mungkin saya perlukan nombor awak di masa akan datang.” Panjang
pula mesej Taufik.
“Saya pun gembira jumpa nenek bos. Nanti
kirim salam pada nenek ya.” Aku menyelitkan emoticon
mata terpejam menandakan sudah mahu tidur. Geram pula dibuatnya bila mengetahui
Taufik mencuri nomborku tanpa meminta izin. Tetapi sebenarnya dia mempunyai hak
untuk menyimpan nomborku. Kami rakan sekerja dan pasti masing-masing perlu
sentiasa berhubung. Tetapi setakat ini kami hanya berhubung ketika di pejabat
jadi aku merasakan ini semua tidak perlu.
“In sha Allah. Terima kasih sekali
lagi. Selamat malam.” Taufik membalas dan aku terus meletakkan Samsung S3 di
atas meja semula. Menarik selimut dan sempat mengerling jam di skrin telefon.
Sudah jam 11.00 malam jadi masa untuk tidur.