Saturday, 21 September 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 12 (JUMPA NENEK)

12
JUMPA NENEK











            Pagi itu aku ke pejabat seperti biasa. Pada mulanya aku ingin ke bilik Taufik dahulu untuk mengambil beg tanganku tetapi tidak jadi. Aku masuk ke bilikku dahulu untuk meletakkan fail yang dibawa dari rumah. Sampai di bilik aku terkejut kerana begku sudah di atas meja. Pasti Taufik telah meletakkannya awal-awal pagi lagi.
Aku keluar semula untuk mengucapkan terima kasih kepadanya dan kebetulan Taufik juga baru keluar dari biliknya. Kami sempat bertentang mata dan aku baru sahaja hendak membuka mulut tetapi Taufik cepat-cepat sahaja mengalihkan pandangannya kepada Harlina dan berlalu ke meja Harlina. Pertama kali dalam sejarah Taufik buat seperti itu. Biasanya dia akan senyum atau menegur aku tetapi pagi ini dia buat seperti tidak kenal aku. Merajuk betul agaknya pasal semalam.
Aku tidak jadi mengucapkan terima kasih dan terus kembali masuk ke dalam bilik. Berfikir sekejap tentang Taufik. Agaknya perkataan aku semalam agak keterlaluan dan terlalu jujur. Tetapi lebih bagus aku jujur dari aku berpura-pura suka dengan luahan hati Taufik. Nanti dia juga yang akan terus mengharap jadi lebih baik awal-awal lagi dia putus harapan dari putus harapan di kemudian hari.
Mungkin ini adalah jalan yang terbaik untuk kami. Pasti suatu hari nanti Taufik akan melupakan perasaannya padaku dan menemui calon yang lebih layak berbandingku. Aku tersenyum mengenangkan itu semua. Sebenarnya aku bertindak bijak dengan menolak cinta Taufik. Kami tidak setaraf jadi mustahil kami boleh bersatu. Jika boleh bersatu pun pasti banyak halangan. Apa yang penting sekarang adalah aku harus teruskan hidup seperti biasa dan bekerja secara profesional dengan melupakan segala luahan hati Taufik semalam.
……………………………………………………………………………………………………....
            “Risya. Boleh saya masuk sekejap?” Taufik mengetuk pintu yang sedia terbuka. Aku hairan melihat Taufik. Dalam tempoh empat hari ini dia langsung tidak pernah menegurku. Kami hanya berbincang mengenai urusan kerja semata-mata. Aku hanya memberikan senyuman kepada Taufik sambil mengangguk perlahan.
            “Maaf saya mengganggu. Tapi saya ada permintaan untuk awak. Saya harap awak boleh tunaikan.” Taufik memohon dengan lembut sekali. Kalau perempuan lain memang sah-sah sudah cair. Nasib baik Taufik bercakap dengan Amaani si hati keras dan tumpul.
            “Boleh bos. Jemputlah duduk dulu.” Aku membalas sopan sambil tetap tersenyum. Aku rasa aku pula yang sudah berjangkit virus senyum 24 jam dengan Taufik.
            “Terima kasih.” Taufik duduk di kerusi bertentanganku.
            “Ada apa bos?”
            “Hari esok awak free tak?” Taufik menyoal dan aku pula sudah mengangkat kening seperti biasa. Esok hari Sabtu jadi mestilah free. Lagipun minggu ini aku tidak pulang ke kampung.
            “Kenapa ya bos?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab soalan Taufik.
            “Sebelum tu saya nak tahu awak free atau tak dulu. Lepas tu baru saya bagitahu.” Taufik mengulangi soalannya.
            “Esok In sha Allah free. Kenapa?” Tanya lagi. Bosan pula dengan sesi tanya itu tanya ini.
            “Boleh saya bawa awak jumpa seseorang?” Aku terkejut mendengar jawapan Taufik. Dia hendak bawa aku jumpa siapa pula esok? Ini yang buat aku suspen kalau cakap  tanpa berterus-terang.
            “Jumpa siapa bos?” Aku menyoal lagi sambil merenung Taufik. Wajahnya kelihatan tenang seperti biasa.
            “Nenek saya.” Hampir tersedak aku mendengar perkataan ‘nenek’. Mujur bukan tengah minum air, kalau tidak memang dapat semburan air percuma lah Taufik.
            “Motif?” Taufik pun satu hal, suka sangat bercakap sepatah-sepatah. Cuba terang sekaligus. Masa luahkan perasaan pandai pula dia bagi karangan A1 panjang berjela.
            “Nenek saya teringin nak jumpa awak. Maafkan saya. Tapi saya harap awak mampu tunaikan permintaan saya ni. Saya tak sampai hati tolak permintaan nenek saya.” Penjelasan Taufik membuatkanku bertambah bingung.
            “Kenapa nenek bos nak jumpa saya dan macam mana nenek bos boleh kenal saya?” Aku menyoal teragak-agak.
            “Saya betul-betul minta maaf. Ini semua silap saya. Masa saya bawa balik beg awak hari tu saya letakkan beg awak atas meja dalam bilik. Nenek saya masuk bilik dan ternampak beg awak.” Baiklah ini semua silap aku dan bukannya silap Taufik. Kalaulah aku ikut sahaja kehendak Taufik yang ingin menghantar beg itu pasti kejadian ini tidak akan berlaku.
“Nenek tanya siapa awak dan saya bagitahu awak rakan sekerja saya. Kemudian nenek tanya macam mana beg awak boleh ada pada saya dan saya ceritakan pada nenek kita jumpa di taman. Nenek cepat dapat tangkap reaksi di sebalik wajah saya. Nenek terus teka yang awak adalah orang yang saya suka. Nenek memang faham sangat dengan sifat saya dan apa yang saya mahukan walaupun saya tak pernah cakap. Saya cuba nafikan yang saya suka awak tapi semua tu dah terlambat.”
“Kemudian nenek minta saya temukan awak dengan dia. Saya bagi macam-macam alasan tapi bila nenek dah pujuk banyak kali saya tak sampai hati nak hampakan hasrat nenek. Jadi sekarang saya cuma nak tanya awak. Awak sudi jumpa nenek saya? Saya tak paksa awak. Terpulang pada awak untuk setuju atau tak.” Aku terdiam mendengar penjelasan yang panjang lebar dari Taufik. Pasti nenek Taufik sangat sayangkan Taufik, kalau tidak masakan nenek Taufik boleh membaca isi hati Taufik.
            Aku menjadi serba salah samada mahu bersetuju atau tidak. Tidak sanggup rasanya untuk mengecewakan hati nenek Taufik. Aku berfikir sepuluh saat dan memandang Taufik kembali.
            “Baiklah saya setuju. Pukul berapa saya kena jumpa dengan nenek bos?”
            “Betul ni Risya? Saya tahu awak mesti akan setuju. Awak terlalu baik Risya.” Taufik sempat lagi memuji. Namun, hakikatnya Taufik jauh lebih baik dariku. Aku mengangguk tanda memang bersetuju.
            “Esok pukul 11.00 pagi saya ambil awak di rumah awak.” Taufik menjelaskan.
            “Eh tak apa bos. Saya drive sendiri. Bos bagitahu je alamat tempat nak jumpa tu. Nanti saya cari sendiri.” Seperti biasa aku menolak. Dan aku harap Taufik tidak akan membantah.
            “Tapi saya takut awak tak tahu jalan. Awak drive kereta awak tapi awak ikut saya dari belakang ya. Boleh kan?” Renungan Taufik membuatkanku tidak mampu untuk membantah.
            “Ok bos. Tapi saya tak nak kita jumpa dekat rumah saya. Kita jumpa dekat taman hari tu dan gerak dari sana ya.” Aku memberi cadangan lain dan Taufik kelihatan bersetuju lantas mengangguk perlahan.
            “Kalau macam tu kita jumpa dekat taman pukul 10.30 pagi esok. Terima kasih banyak-banyak Risya. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa awak.” Aku tersenyum mendengar kata-kata Taufik.
            “Bos perkara kecil je. Lagipun membahagiakan orang yang lebih tua dari kita kan perkara yang baik.” Aku membalas lembut sambil tersenyum. Taufik kelihatan bagaikan terpaku melihat aku. Aku cepat-cepat mengalihkan wajahku ke arah lain.
            “Kalau macam tu saya keluar dulu. Terima kasih Risya.” Aku hanya memberikan senyuman kepada Taufik sebelum dia beredar keluar. Apalah agaknya yang akan dicakapkan oleh nenek Taufik kepadaku. Hatiku mula runsing dan bimbangkan pertemuan esok.
……………………………………………………………………………………………………....
            Aku meneliti sekali lagi penampilanku di cermin. Agak simple dengan hanya memakai blaus merah jambu, jeans hitam dan selendang putih. Wajahku pula hanya disapu dengan compact powder dan bibir dicalit dengan lip balm. Setelah berpuas hati dengan penampilanku, aku terus mencapai tas tangan dan kunci kereta lalu menapak turun ke tingkat bawah. Husna tiada di rumah kerana keluar membeli barang, tetapi aku telah memaklumkan Husna berkaitan pertemuanku dengan nenek Taufik. Seperti biasa Husna agak terkejut dan sangat teruja mendengar semua ceritaku.
            Aku berjalan keluar dan menutup pagar. Enjin kereta dihidupkan dan aku memandu dengan cermat menuju ke destinasi yang telah dijanjikan.
            Ketika aku sampai di perkarangan tempat letak kereta, Taufik sudah sedia menantiku. Taufik menyandarkan badannya ke kereta. Jika dilihat sekali imbas sudah seperti anime Jepun. Melihat sahaja aku, Taufik terus masuk semula ke dalam kereta dan memandu keluar dari tempat letak kereta. Aku mengekorinya menuju ke destinasi pertemuan dengan nenek Taufik.
            Lebih kurang setengah jam kemudian kami tiba di sebuah restoran yang agak mewah. Hiasan lampunya agak suram namun sungguh menarik. Perabotnya pula dari pelbagai jenis kayu yang mahal. Cat berwarna maroon yang menghiasi dinding juga sangat sempurna. Aku menoleh ke atas memandang siling dan lampu chandelier digantung cukup cantik sekali. Beberapa orang tetamu kelihatan sedang menikmati hidangan masing-masing.
 Pelayan datang ke arah kami dan membawa kami ke suatu sudut meja yang agak tersorok dan privacy sedikit. Kami diberikan dua set menu list tetapi Taufik mahu mmesan makanan setelah neneknya sampai. Mataku masih ligat memerhati seluruh kawasan restoran. Inilah kali pertama aku makan di restoran semewah ini.
            “Awak suka hiasan restoran ni?” Taufik menyoal. Pasti dia menyedari mataku yang sibuk melilau ke sekeliling.
            “Suka. Cantik sangat.” Aku tersenyum dan Taufik membalas.
            “Nenek bos sampai kejap lagi ya?”
            “Aah kejap lagi. Maaf buat awak tunggu. Pagi tadi saya ada hal di luar jadi nenek nak pergi sendiri dari rumah.” Taufik menjawab sambil tersenyum.
            “Oh tak apa bos. Saya tanya je. Kita pun baru sampai kan.” Aku membalas sambil menghirup air kosong. Hampir separuh gelas juga aku habiskan. Sebenarnya bukan kerana terlalu dahaga, tetapi lebih kepada gementar.
            “Awak nak air lagi. Kita boleh pesan minuman dulu.” Taufik menyoal sambil merenung gelasku.
            “Tak apa lah bos. Tunggu nenek bos baru kita pesan.” Aku tersenyum sambil meletakkan gelas tadi jauh sedikit dariku. Bimbang tangan ini akan gatal lagi untuk mencapainya. Taufik hanya tersenyum melihat reaksiku. Kami kemudiannya mendiamkan diri. Terasa begitu janggal berada dalam situasi seperti ini dengan Taufik. Rasa macam akan mati kebosanan pun ada. Aku sangat berharap nenek Taufik tidak akan sampai lambat.
Aku mencapai semula gelas di atas meja dan menghirup air yang masih berbaki separuh. Berdehem dua tiga kali dan memandang Taufik sekali lagi. Taufik seperti biasa kelihatan tenang, matanya yang bundar merenung ke atas meja. Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kiri yang diletak di sisi gelas. Dia mengusap perlahan jarinya. Airnya masih penuh tidak terusik.
Taufik seakan tahu aku merenungnya dan dia cepat sahaja mengangkat muka memandangku. Aku agak tersentak dan terus memandang ke arah lain. Tidak berani bertentang mata dengannya. Beberapa saat kemudian aku menjelingnya dan aku lihat ada segaris senyuman terukir di bibir Taufik. Aku mendengus perlahan. Mesti senyum sebab kelakar tengok aku. Selepas itu aku langsung tidak berani memandang ke hadapan dan sibuk melilau mengkaji hiasan dalaman restoran ini.
“Assalamualaikum.” Kedengaran salam diberi setelah hampir sepuluh minit menunggu nenek Taufik. Aku menoleh untuk melihat siapa yang memberi salam. Kelihatan seorang wanita dalam lingkungan lewat 60-an berjalan sambil tersenyum manis ke arah kami. Walaupun usianya mungkin sudah lebih separuh abad, tetapi wanita itu tetap kelihatan cantik dengan gayanya yang tersendiri. Memakai baju kurung kelabu dan tudung putih. Nampak sangat sesuai dengan wajahnya yang kelihatan cukup lembut. Adakah ini nenek Taufik?
Taufik menyalami wanita itu dan mencium pipi wanita tersebut. Kepala Taufik diusap lembut beberapa kali. Senyuman manis tidak lekang dari wajah Taufik. Kelihatan begitu gembira dengan kehadiran wanita itu. Aku hanya mampu melihat adegan yang sungguh penuh kasih sayang ini. Jadi benarlah ini nenek Taufik.
“Nenek. Kenalkan, inilah Amaani Batrisya. Risya, ini nenek saya.” Taufik memperkenalkan kami sambil tangannya masih menggenggam tangan neneknya. Aku terus berjalan ke arah nenek Taufik dan bersalam serta mengucup lembut tangannya. Kepalaku sempat diusap semasa aku menunduk untuk mengucup tangannya. Terasa begitu lembut usapan itu.
“Assalamualaikum Puan. Apa khabar?” Aku menyapa sambil tersenyum. Entah betul atau tidak aku memanggilnya Puan. Mungkin juga pangkatnya Puan Sri atau Datin.
“Waalaikumussalam Amaani. Panggil nenek sahaja.” Nenek Taufik menyuruh lembut. Aku agak terkejut bagaikan tidak percaya. Setahu aku jarang sekali orang kaya yang sudi dipanggil nenek oleh orang biasa seperti aku. Jadi, tidak peliklah kenapa Datuk Fauzi dan Taufik memiliki perwatakan yang sangat lembut, baik hati dan sentiasa merendah diri. Rupa-rupanya memang sudah dari keturunan yang baik-baik.
“Nenek jemputlah duduk.” Aku mempelawa sambil tersenyum.
“Terima kasih.” Nenek Taufik duduk setelah Taufik menolong menarikkan kerusi untuknya. Romantik betul cucu dan nenek ini.
“Maaf nenek lambat sedikit. Lama dah tunggu?” Nenek Taufik menyoal dengan lembut sekali. Aku menghadiahkan senyuman kepadanya sebelum menjawab.
“Tak apa nenek. Kami baru je sampai.” Aku menjawab sesopan mungkin. Hakikatnya dalam hati tadi asyik berdoa semoga nenek Taufik sampai. Nasib baik hanya sepuluh minit menunggu, kalau lebih lama mahu pengsan aku kerana kejanggalan dan kebosanan yang sudah hampir setinggi Gunung Everest.
“Nek. Kita order makanan dulu. Dah nak tengahari. Perut pun dah lapar.” Suara Taufik dimanjakan sedikit. Tangannya sibuk mengusap-usap perutnya dan nenek Taufik hanya tersenyum memerhati gelagat cucunya itu. Taufik pun satu hal, kalau nak bermanja janganlah depan aku. Taufik kemudiannya memanggil pelayan dan kami diberikan tiga set menu list.
Aku membuka menu tersebut dan mahu terkeluar biji mata melihat harga makanan yang disediakan. Aku menelan air liur dan mencuri pandang Taufik dan neneknya. Mereka sedang sibuk memilih menu masing-masing. Aku kembali meneliti menu yang diberi dan mencari-cari menu yang berharga paling murah. Dan akhirnya aku menemui. Walaupun sebenarnya harga menu tersebut sangat mahal bagiku, namun dalam senarai menu inilah yang paling murah. Dan untuk air pula aku akan memilih air kosong sahaja.
“Risya dah pilih?” Taufik menyoal dan aku mendongak memandang Taufik. Aku mengangguk perlahan. Pelayan tadi sudah bersedia untuk mengambil pesanan kami.
One beef steak, one chicken steak with mushroom soup and two orange juice….Risya.” Taufik terhenti seketika dan membuat isyarat mata menyuruh aku memberitahu pesananku.
Blackpepper fried rice and plain water.” Aku menjawab ringkas sambil mengangguk. Taufik pula memandangku kehairanan dan mengeluh perlahan.
Plus another chicken steak with orange juice.” Taufik menyambung dan pelayan tadi mengangguk dan mengambil menu kemudian berlalu pergi. Banyak juga Taufik makan, sampai dua menu dan dua air. Orang tinggi galah memang perlu makan banyak agaknya.
“Amaani kalau datang sini kena rasa steak dia. Kat sini memang sangat sedap.” Nenek Taufik memulakan perbualan.
“Saya sebenarnya jarang makan steak. Membesar di kampung jadi biasa makan makanan Melayu je. Nenek mesti selalu datang sini kan?” Aku seperti biasa berkata-kata jujur dan menyoal dengan ramah.
“Oh duduk kampung lah bagus. Udara tak tercemar, pemandangan pun cantik. Nenek kadang-kadang akan datang makan di sini. Dengan Taufik lah. Sejak Taufik balik Malaysia ni barulah boleh nak keluar dengan Taufik. Masa dia masih di U.K. dulu susah sangat nak keluar dengan nenek. Balik Malaysia pula tak sempat berehat lama, daddy Taufik dah suruh masuk kerja.” Nenek Taufik menerangkan dan aku tersenyum.
“Nenek ada cucu seorang je ya?” Aku menyoal sopan.
“Sebenarnya ada dua orang. Ayah Taufik ni anak sulung nenek. Seorang lagi cucu nenek ada di U.K. tinggal dengan papa dan mamanya di sana. Mereka uruskan perniagaan di sana.” Aku mengangguk-angguk sambil mendengar cerita nenek Taufik. Jadi mereka ini memang semuanya adalah golongan kerabat yang kaya raya.
“Oh jadi dekat sini nenek tinggal dengan Datuk Fauzi?”
“Ya Amaani. Amaani ada tiga orang adik beradik kan? Mesti tak sunyi di rumah ya ada adik-beradik yang lain.” Aku agak terkejut mendengar soalan nenek Taufik. Pasti Taufik yang memberitahu maklumat tentang diriku. Aku mengerling Taufik sesaat dan kelihatan dia sedang tersenyum. Kalau neneknya tiada di hadapan kami, pasti aku sudah membebel.
“Kalau kat rumah memang meriah juga lah. Abang saya yang sulung pun tinggal dengan mak dan ayah sebab kerja di sana. Adik pula belajar dekat sini, jadi kalau saya balik rumah memang bawa dia sekali.” Tanpa berselindung aku membalas.
“Abang Amaani bertugas sebagai Jurutera Daerah kan?” Soalan nenek Taufik sekali lagi membuatkanku ternganga. Taufik memang nak kena. Siaplah dia nanti.
“Ya nenek. Taufik yang ceritakan pada nenek ya?” Aku berusaha mengawal suaraku agar kedengaran tenang.
“Nenek yang banyak tanya pada Taufik. Taufik ni memang cucu nenek yang lurus, jujur, tak pandai nak berselindung dari nenek. Seronok sangat katanya dapat pergi ke rumah Amaani hari tu berjumpa dengan keluarga Amaani.” Aku berusaha membalas senyuman nenek Taufik walaupun aku rasa seperti agak kelat.
“Mak dengan ayah memang suka kalau tetamu datang ke rumah. Dulu masa saya masih belajar selalu juga bawa kawan-kawan balik ke rumah.” Aku membalas dengan spontan.
“Jadi bolehlah suatu hari nanti nenek berkunjung ke rumah Amaani pula ya?” Aku terkesima beberapa saat sebelum tergelak kecil sambil mengangguk tanda bersetuju. Sebenarnya aku tidak mahu ini semua terjadi.
Menu kami akhirnya sampai dan kelihatan sungguh menyelerakan. Setelah pelayan tadi selesai meletakkan semua menu di atas meja dan berlalu pergi, Taufik mengalihkan gelasku yang berisi air kosong dan meletakkan jus oren. Aku membulatkan mataku sambil memandang Taufik.
“Awak dah banyak minum air kosong. Minum air lain pulak ya.” Taufik menjawab tanpa aku perlu menyoal. Suka hati sayalah nak minum air kosong pun. Aku hanya mengeluh perlahan. Segan hendak menolak air tersebut di hadapan nenek Taufik. Kalau hanya kami berdua memang jus oren aku tolak pada Taufik dan paksa dia minum sampai habis.
“Dan saya nak awak rasa chicken steak ni. Ini kegemaran nenek dan dijamin sedap.” Taufik meletakkan chicken steak di hadapan pinggan nasi gorengku. Aku sekali lagi membulatkan mataku ke arahnya.
“Awak rasa je dulu. Tak habis tak apa.” Taufik membalas pendek sambil tersenyum. Tak apa Taufik cakap? Dia ingat steak ni beli dengan daun. Harga mahal macam ni nak dibuang begitu sahaja memanglah suatu pembaziran yang luar biasa. Sifat Taufik yang tidak berapa elok akhirnya aku berjaya temui iaitu suka membazir. Selama ini semua orang asyik memuji-muji sifatnya, Mr. Perfect kata mereka. Namun, hari ini terbongkar juga sifat unperfect Taufik. Walau sekaya mana pun dia, mana boleh sesuka hati membazir. Membazir itu kan saudara syaitan.
“Kalau tak habis, bos habiskan ya. Tak baik membazir. Kesian ayam ni, susah-susah dia kena masak, nak buang di macam tu je.” Spontan ayat itu keluar dari mulutku.
“Ya saya habiskan tapi dengan syarat awak kena makan dulu.” Taufik mengangkat keningnya sambil tersenyum. Nak makan pun kena main syarat-syarat pula. Aku mengangguk malas tanda bersetuju. Hendak bidas nanti sampai ke sudah kami tak makan.
“Nenek jemputlah makan.” Aku menoleh ke arah nenek Taufik sambil tersenyum.
“Mari kita makan.” Aku mengangguk dan mula menyuapkan nasi ke dalam mulut. Kami makan dengan senyap dan masing-masing fokus dengan menu masing-masing. Taufik mengambil semula chicken steak yang diberi kepadaku. Buruk siku pula nampaknya bos aku. Aku sempat menjeling Taufik yang sibuk memotong steak tersebut menjadi hirisan-hirisan kecil.
Aku kembali menyuap nasi gorengku dan menoleh ke arah nenek Taufik dan sempat memberikan senyuman kepadanya.
“Sedap Amaani?” Nenek Taufik menyoal.
“Sedap nenek. Harga mahal jadi memang wajib kena sedap kan.” Aku sempat berseloroh dan nenek Taufik tergelak kecil.
Aku menoleh ke arah Taufik apabila menyedari Taufik meletakkan semula pinggan steak tadi di hadapanku. Seperti biasa aku buat isyarat mata. Taufik hanya tersenyum dan membalas dengan membuat isyarat mata menyuruh aku makan. Baru aku faham, rupa-rupanya tadi dia memotong steak tersebut untukku. Tarik balik perkataan buruk siku yang aku cakap tadi. Teruk betul Amaani.
“Hari tu ikan patin yang Amaani masak sedap sangat. Kalau ada peluang nenek teringin lagi nak rasa.” Aku tersenyum bangga mendengar pujian nenek Taufik.
“Nanti kalau ada masa Amaani masakkan untuk nenek ya.” Aku membalas dan kali ini membahasakan namaku sendiri kerana merasa semakin selesa dengan nenek Taufik.
“Betul ni. Janji dengan nenek.” Aku membalas kata-kata nenek Taufik dengan anggukan dan memegang lembut tangan nenek Taufik.
“Kring…..” Telefon Taufik berbunyi. Aku tergelak perlahan. Zaman sekarang masih ada lagi orang yang menggunakan nada dering seperti itu rupanya. Aku berusaha mengawal ketawaku agar tidak kelihatan kurang sopan di hadapan nenek Taufik.
“Nek, Fik angkat call kejap. Risya berbual dulu dengan nenek ya.” Taufik berlalu pergi meninggalkan kami.
“Maaf nenek. Tadi Amaani tak sengaja ketawa.” Aku teragak-agak menuturkan kata maaf. Bimbang juga nenek Taufik kecil hati.
“Tak apa Amaani. Nenek faham. Taufik memang kurang minat pada lagu-lagu ni. Nenek pun kadang-kadang lebih kenal dengan artis-artis ni berbanding Taufik.” Nenek Taufik seperti mengerti alasanku ketawa.
“Sibuk sangat dengan kerja agaknya kan.” Aku menjawab pendek sambil tersenyum.
“Amaani pula macam mana? Jenis lagu macam mana yang Amaani suka?” Perlukah aku menjawab dengan jujur soalan nenek Taufik. Kalau bagitahu suka lagu-lagu K-Pop agaknya nenek Taufik tahu atau tidak.
“Amaani sebenarnya suka K-Pop songs tapi kalau cerita pula Amaani suka cerita lama-lama macam zaman-zaman P.Ramlee dulu.” Aku menjawab jujur sambil cuba mengalih topik   K-Pop. Nanti susah pula hendak menerangkannya kepada nenek Taufik.
“Oh, suka cerita P.Ramlee rupanya. Zaman sekarang susah nak cari orang muda macam Amaani suka cerita lama-lama ni.” Nenek Taufik kelihatan berminat dengan topik perbualan kami ini.
“Mestilah suka nenek. Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Dan bak kata Seniman Aziz Satar ‘Lubang hidungmu tetap menjadi pojaan hatiku’. Macam cerita-cerita klasik juga, tetap menjadi pujaan hati kita kan nenek.” Nenek Taufik ketawa geli hati mendengar kata-kataku. Masakan tidak, aku siap dengan gaya dan nada sekali menuturkan ayat yang sememangnya popular dalam filem ‘Seniman Bujang Lapuk’ itu. Aku turut sama ketawa. Mujur juga tidak ramai orang di situ kalau tidak pasti masing-masing pelik melihat kami ketawa.
“Amaani ni memang kelakar ya. Dah lama nenek tak ketawa banyak macam ni.” Nenek Taufik berusaha menahan tawanya.
“Suka Amaani tengok nenek ketawa macam ni. Kalau nenek nak tahu, hari tu masa tengah tunggu bos dekat taman, Amaani bosan jadi siap nyanyi lagi lagu buai-buaiku laju yang dalam cerita ‘Bawang Putih, Bawang Merah’ tu. Tapi tukar sikit lirik. Sedap sangat nyanyi sampai tak perasan bos dah sampai kat situ. Malu juga lah dibuatnya. Nasib baik bos tak ketawa kuat-kuat. Tapi tak tahulah kat belakang takut dia sakan gelakkan Amaani.” Panjang lebar aku bercerita dan disusuli dengan tawa nenek Taufik lagi. Suka benar nampaknya nenek Taufik mendengar ceritaku.
“Ehem.” Kedengaran suara Taufik berdehem. Dan kami sama-sama mendongak dengan sisa tawa yang masih berbaki.
“Seronoknya ketawa ya. Tak nak ajak Fik sekali.” Taufik berseloroh sambil duduk semula.
“Bos tak boleh kacau. Ni saya dengan nenek je boleh tahu.” Aku membalas sambil ketawa.
“Amboi baru jumpa dah ada rahsia ya.” Taufik kini tergelak kecil. Nenek Taufik mengusap-usap kepala Taufik lagi dan Taufik memegang tangan neneknya. Aku sungguh kagum melihat ikatan mereka anak-beranak.
Selepas itu kami menyambung agenda makan tengahari kami yang tergendala akibat sibuk ketawa. Pelbagai kisah dan cerita yang aku dan nenek Taufik bualkan. Entah kenapa aku merasa sungguh selesa berbual dengan nenek Taufik. Layanannya cukup mesra dan ramah. Langsung tiada sedikit pun riak sombong. Kalau lah semua orang kaya dalam dunia seperti mereka, pasti tiada novel atau drama yang akan mengisahkan tentang kesombongan orang kaya dan layanan buruk mereka terhadap orang dari kelurga sederhana dan tidak berada sepertiku.
Dalam sibuk asyik berborak, steak yang Taufik suruh makan berjaya aku habiskan. Perut aku memang hebat, dua pinggan aku makan hari ini. Malu pun ada dibuatnya tetapi buat apa malu kalau sudah rasa nak makan. Orang kata, malu makan lapar. Tambahan pula steak tadi memang sedap. Kalau harapkan Taufik yang makan alamat memang tidak habis lah. Dia sibuk mengusap-usap perutnya sambil merengek dengan neneknya mengatakan sudah kenyang yang teramat. Harapkan badan sahaja macam galah tetapi makan sedikit. Lagi satu manja terlebih-lebih pula depan orang. Agaknya kalau di rumah lagi manja. Entah-entah siap baring atas riba nenek dia.
Kami selesai makan lebih kurang jam 1.30 tengahari. Sedar atau tidak lebih dari dua jam jugalah kami berada di sini. Taufik dan neneknya beria-ia ingin mengiringi aku pulang ke rumah. Katanya takut aku tersesat. Aku pula berkeras tidak mahu. Walaupun baru sekali ke sini, tetapi aku sudah mengingati jalan yang kami lalui. Aku sememangnya boleh dipuji apabila disentuh bab mengingat jalan. Puas juga lah berbidas dengan Taufik dan akhirnya apabila aku membuat isyarat mata tidak mahu mengaku kalah, Taufik akur juga.
Sebelum berpisah, aku dan nenek Taufik sempat bertukar nombor telefon dan aku berjanji akan memasak gulai ikan patin masak tempoyak untuk neneknya jika berkesempatan. Aku menyuruh Taufik dan neneknya pergi dahulu dan aku di luar sibuk melambai-lambai nenek Taufik sehinggalah Proton Perdana milik Taufik hilang dari pandangan.
………………………………………………………………………………………………………
Aku mengambil telefon di atas meja di sisi katil. Melihat ada mesej yang masuk tetapi dari nombor yang tidak dikenali. Aku membuka mesej tersebut.
            “Salam Risya. Terima kasih banyak-banyak untuk tengahari tadi.” Aku membaca mesej tersebut sambil mengerutkan dahi memikirkan siapa empunya nombor.
            “Taufik.” Spontan nama itu terpacul di bibirku. Siapa lagi yang memanggilku ‘Risya’ melainkan dia. Keluargaku memanggilku Angah, kawan-kawan di sekolah memanggilku Nani, di universiti aku dipanggil Nini, di tempat kerja dan orang lain yang baru mengenali aku memanggilku Amaani. Banyak betul nama timangan aku sampaikan kadang-kadang aku pun pening.
            Tetapi pelik juga bagaimana dia boleh mendapat nomborku. Aku harus bertanya. Aku sememangnya tidak suka membiarkan diriku dihantui persoalan yang tidak berjawab.
            “Sama-sama bos. Perkara kecil je. Tapi macam mana bos boleh dapat nombor saya?” Aku membalas. Rupa-rupanya aku tidak menyimpan nombor Taufik. Memang betul-betul pekerja yang teruklah sehinggakan nombor majikan pun tidak disimpan.
            “Tapi bagi saya sangat bermakna. Dah lama saya tak tengok nenek saya ketawa macam tadi. Nenek gembira sangat jumpa dengan awak. Saya ambil nombor awak masa beg awak tertinggal dekat saya hari tu. Saya fikir mungkin saya perlukan nombor awak di masa akan datang.” Panjang pula mesej Taufik.
            “Saya pun gembira jumpa nenek bos. Nanti kirim salam pada nenek ya.” Aku menyelitkan emoticon mata terpejam menandakan sudah mahu tidur. Geram pula dibuatnya bila mengetahui Taufik mencuri nomborku tanpa meminta izin. Tetapi sebenarnya dia mempunyai hak untuk menyimpan nomborku. Kami rakan sekerja dan pasti masing-masing perlu sentiasa berhubung. Tetapi setakat ini kami hanya berhubung ketika di pejabat jadi aku merasakan ini semua tidak perlu.
            “In sha Allah. Terima kasih sekali lagi. Selamat malam.” Taufik membalas dan aku terus meletakkan Samsung S3 di atas meja semula. Menarik selimut dan sempat mengerling jam di skrin telefon. Sudah jam 11.00 malam jadi masa untuk tidur.



Sunday, 8 September 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 11 (LOVE CONFESSION)

11
LOVE CONFESSION

            ‘Risya.’ Panggilan Taufik membuatkan aku berhenti ketawa. Aku memandang Taufik dan wajahnya begitu serius. Takut pula tengok. Aku menundukkan kepala kerana tidak berani merenungnya lebih lama.
            ‘Awak ingat ini semua kelakar?’ Taufik pula menyoal. Aku mengangkat kepala. Berfikir dua saat sebelum memberikan jawapan.
            ‘Mestilah kelakar. Bos ni, saya dah besar lah. Dah boleh fikir sama ada bos serius atau main-main.’ Ayatku agak berbelit-belit tetapi hanya itu yang mampu aku luahkan.
            ‘Saya tak main-main. Saya serius. Jujur dari hati saya sendiri.’ Aku terkedu mendengar kata-kata Taufik. Kenapa pula Taufik boleh suka aku. Macam tak logik langsung.
            ‘Bos jangan main-main boleh tak.’ Aku meninggikan sedikit suaraku. Geram juga dibuatnya dengan Taufik.
            ‘Saya tak main-main.’ Sekali lagi Taufik mengulangi. Aku semakin kaku di situ.
            ‘Ok lah kalau bos tak main-main, saya nak bos jelaskan. Saya langsung tak faham sekarang ni.’ Aku memberi peluang kepada Taufik. Tidak sabar untuk mengetahui alasan dan mendengar penjelasannya.
            ‘Kali pertama saya jumpa awak, saya rasa pelik sebab awak langsung buat tak tahu kat saya. Awak tak macam orang lain. Pandang saya pun awak tak nak. Awak pandang sekali lepas tu awak sibuk dengan ayam awak semula.’ Taufik memulakan penjelasannya. Tidak habis-habis dengan isu ayam sejak dari awal. Agaknya dia nak suruh aku tenung, tatap wajah dia sampai tembus baru tak rasa pelik.
            ‘Kenapa? Orang lain pandang bos banyak kali sebab bos handsome?’ Dengan spontan soalan itu keluar dari mulutku. Menyesal pula tanya, nanti sah-sah Taufik ingat aku memang mengiktiraf kekacakan dia tu. Padahal ini semua sebab orang asyik cakap pasal benda yang sama. Aku tidak berani memandang Taufik.
            ‘Saya tak bermaksud macam tu pun. Awak dengar dulu penjelasan saya.’ Taufik menyambung. Aku hanya mengangguk. Lepas ni memang aku senyap sampai balik.
            ‘Dan lepas kawan awak sebut nama penuh awak, Amaani Batrisya. Saya tak tahu kenapa tapi saya suka sangat nama tu. Bagi saya sangat menarik.’ Taufik sebenarnya suka aku atau nama aku.
            ‘Dan nama tu saya tak pernah lupa sejak balik dari mall hari tu. Saya ingatkan mungkin saya terfikirkan awak sebab awak pelik dan lain dari yang lain serta nama awak. Tapi masa saya nampak awak kali kedua di luar dewan konvokesyen, saya dapat rasa sebenarnya perasaan tu lebih daripada perasaan pelik. Dan kemudian pertemuan ketiga di KLIA. Masa tu hati saya sejuk sangat tengok awak pakai tudung labuh dan berjubah. Saya tahu awak baru balik dari umrah sebab tengok dari cara pakaian awak. Tapi lepas tu saya berusaha untuk cuba lupakan awak. Saya tumpukan pada semester akhir saya. Sebab masa tu saya tahu agak mustahil untuk jumpa awak berkali-kali lagi. Saya tak ada apa-apa maklumat tentang awak. Yang saya tahu hanyalah nama awak. Nama yang tak pernah luput dari ingatan saya. Takdir Allah tu kita tak pernah jangka dan takdir itulah yang membawa kepada pertemuan keempat kita. Waktu tu saya terfikir kenapa Allah temukan saya dengan awak banyak kali. Mungkin kerana Allah telah buka pintu hati saya untuk awak.’ Panjang lebar penerangan Taufik. Aku bagaikan tidak percaya mendengar semua yang diperkatakan Taufik. Aku memegang kedua-dua belah pipiku sambil cuba mentafsir setiap ayat Taufik.
            ‘Saya tahu ini semua terlalu cepat dan awak mesti terkejut. Tapi saya rasa hari ni saya dah bersedia untuk luahkannya. Tempoh setahun dah cukup buatkan saya bersedia.’ Aku mengeluh perlahan mendengar kata-kata itu. Taufik, awak yang dah bersedia, saya belum lagi.
            ‘Bos, saya sebenarnya tak sangka. Saya tak sangka sangat. Saya tak tahu nak cakap apa.’ Hanya itu yang mampu aku luahkan. Aku masih tertunduk.
            ‘Saya tahu dan saya dah agak. Awak jangan risau, saya tak kan paksa awak terima hati saya. Saya tahu awak memang tak sukakan saya.’ Tahu tak apa. Aku sempat lagi berbisik di dalam hati.
            ‘Bos, saya bukan tak sukakan bos. Bos tetap bos saya dan saya suka kerja dengan bos. Cuma bab-bab hati ni memang saya tak boleh paksa. Tapi kalau bos tahu saya tak suka bos, kenapa bos masih luahkan? Kenapa tak simpan je? Saya tak sampai hati nak lukakan hati bos. Tapi dalam waktu yang sama, saya tak boleh paksa diri saya sendiri untuk suka bos. Saya minta maaf banyak-banyak. Saya harap bos boleh lupakan perasaan bos pada saya. Ramai lagi perempuan yang lebih layak untuk bos. Saya ni apa yang ada. Saya tak kaya, tak cantik, tak tinggi dan kuranglah serba-serbi. Lagipun saya rasa kalau bos terus simpan perasaan tu nanti saya akan rasa awkward nak kerja. Nanti hari-hari nak tengok muka bos lagi. Kalau saya anggap bos tak pernah cakap pasal ni boleh. Ataupun saya anggap semua ni cuma mimpi je boleh kan.’ Giliran aku pula yang membebel panjang. Tiba-tiba pula idea datang mencurah-curah. Aku mengangkat muka perlahan-lahan memandang Taufik. Wajahnya nampak tenang dan seperti langsung tiada tanda-tanda kecewa. Taufik merenungku kembali sambil tersenyum. Aku cepat-cepat memandang ke tempat lain.
            ‘Awak jangan risau. Saya cuma nak luahkan pada awak. Selagi saya tak luahkan saya rasa tak tenang. Kadang-kadang kita tak tahu sama ada kita akan diberi peluang kedua atau tak. Jadi saya cuma nak rebut peluang pertama tu. Saya terima apa-apa pun keputusan awak. Sekarang awak dah tahu perasaan saya pada awak dan saya pun dah tahu perasaan awak pada saya. Saya harap awak tak akan kekok dengan saya selepas ni. kalau awak rasa tak selesa saya selalu panggil awak, saya akan kurangkan. Cuma atas urusan kerja je saya akan panggil awak. Saya cuma nak awak tahu isi hati saya dan saya dah lega saya dah luahkan semuanya. Saya tak harapkan apa-apa dari awak. Takdir Allah adalah yang terbaik, jadi saya akan tunggu takdir kita macam mana.’ Sekali lagi Taufik menjelaskan dengan panjang lebar. Aku hanya mendengar dengan teliti. Takdir Allah memang yang terbaik, tetapi perasaan aku sekarang pula macam mana. Tidak pernah sekali pun aku terfikir untuk menyukai Taufik. Dalam hatiku cuma ada seseorang yang sampai sekarang masih belum dapat aku lupakan. Jika aku tidak bertemu Nicholas terlebih dahulu, adakah aku akan menyukai Taufik juga?
            ‘Abang Taufik. Bila abang sampai?’ Lamunanku terhenti apabila terdengar suara memanggil Taufik. Aku menoleh ke arah Taufik dan dia kini dikelilingi oleh lebih kurang lima atau enam orang kanak-kanak. Taufik mengusap kepala mereka seorang demi seorang sambil tersenyum gembira. Ya Allah insan di hadapanku ini terlalu baik, tetapi mengapa hati ini terlalu keras untuk menyukainya. Taufik ada memberitahu dia selalu datang ke sini, jadi pasti adik-adik tadi sudah mengenalinya.
            Aku memandang langit dan kelihatan matahari sudah semakin rendah. Pasti sudah hampir ke jam tujuh petang. Aku bangun dari buaian dan memandang Taufik. Dia masih sibuk melayan adik-adik tadi jadi aku tidak mahu mengganggunya. Aku terus beredar menuju ke kereta.
            Setelah menghidupkan enjin kereta aku melihat jam di dashboard. Sudah jam 6.40 petang. Aku harus cepat pulang ke rumah sebelum Maghrib.
………………………………………………………………………………………………………
            Setelah mematikan enjin kereta aku terus mencapai beg tanganku di tempat duduk penumpang tanpa memandang. Hairan kerana tanganku langsung tidak dapat mencapai apa-apa. Aku menoleh dan beg tanganku tiada. Ya Allah beg tangan aku ada pada Taufik. Baru aku teringat selepas beg jatuh, aku tidak sempat mengambilnya dari Taufik lagi. Amaani kenapalah pelupa sangat.
Aku harus menelefon Taufik dan bertanyakan tentang beg tangan tetapi telefonku juga ada dalam beg tangan. Bukan itu sahaja, kunci rumah dan dompetku juga dalam beg tangan. Mujur juga kunci kereta aku letakkan dalam poket seluar semasa ke taman tadi. Kereta Husna sudah ada di dalam pagar jadi Husna sudah pulang. Kalau tidak, memang berkulat lah aku duduk di luar rumah menunggu Husna pulang.
Aku memberi salam beberapa kali dan lebih kurang seminit kemudian Husna muncul lengkap bertudung.
‘Lah, aku ingatkan siapa yang datang tadi. Tak bawa kunci ya?’ Husna bertanya kehairanan sambil membuka grill.
‘Bawak, tapi tertinggal.’ Aku menjawab pendek.
‘Tertinggal kat ofis?’ Husna menyoal lagi.
‘Tak, tertinggal dekat si baju merah.’ Dengan malas aku menjawab.
‘Apa? Serius? Wah kawan aku ni dah ada perkembangan dengan si baju merah.’ Husna kelihatan begitu teruja.
‘Tak payah nak fikir bukan-bukan. Cop, mana telefon kau? Nak pinjam kejap boleh? Ada kredit kan?’ Aku bertanya cepat-cepat. Aku harus menelefon nomborku. Nanti silap-silap muncul pula Taufik di depan rumah semata-mata nak pulangkan beg tangan aku seperti di kampung tempoh hari.
‘Ada atas meja tu. Pergilah ambil.’ Husna menjawab sambil masih tersenyum lebar. Aku terus mencapai telefon Husna dan mendail nomborku. Lama juga aku menunggu panggilan diangkat.
‘Assalamualaikum.’ Kedengaran suara Taufik di talian.
‘Waalaikummussalam. Bos, ni Amaani. Beg tangan saya ada pada bos kan? Maaf saya tertinggal. Nanti saya amik di pejabat esok ye.’ Aku menghabiskan semua ayat sekaligus.
‘Saya boleh hantarkan ke rumah awak. Ada dompet, kunci rumah dan telefon kan. Semua tu penting. Awak bagi alamat rumah awak.’ Seperti yang aku jangka akan berlaku.
‘Tak payah susah-susah bos. Saya amik esok je. Jangan risau. Kunci kereta ada pada saya. Lesen kereta pun ada dalam kereta. saya tak letak dalam purse.’ Aku memberi alasan agar Taufik tidak datang ke mari.
‘Tak susah pun. Sekejap je saya hantar.’ Taufik tidak mahu mengaku kalah. Aku mencari idea dan akhirnya berjaya.
‘Tadi bos cakap bos akan terima apa-apa keputusan saya dan bos cakap kalau saya tak suka bos panggil-panggil saya, bos akan kurangkan panggil kan. Jadi sekarang ni keputusan saya bos tak boleh datang hantar telefon. Bos terima kan keputusan saya?’ Aku harap kata-kataku berkesan.
‘Baiklah saya ikut apa yang awak minta. Saya akan simpan beg awak dulu. Assalamualaikum.’ Nada Taufik kedengaran perlahan.
‘Waalaikummussalam.’ Aku menjawab dan mematikan talian. Taufik merajuk dengan aku? Mustahil dia merajuk.
‘Amboi-amboi cakap sampai tak sedar orang kat belakang.’ Kedengaran suara Husna di belakangku. Rupa-rupanya Husna dari awal sudah menempel di belakangku untuk mencuri dengar perbualan aku dan Taufik.
‘Kau curi dengar ya?’ Aku mencubit Husna perlahan. Husna masih dengan senyum kambingnya.
‘Tak payah nak senyum-senyum macam tu. Dah aku nak naik atas mandi lepas tu solat. Dah nak Maghrib dah ni.’ Aku terus meninggalkan Husna sambil mengerling jam di dinding. Sudah jam 7.30 malam dan aku terus berlari anak menuju ke bilik di tingkat atas.




Saturday, 7 September 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 10 (TAKDIR)

10
TAKDIR









            Aku menutup fail di atas meja sambil membetulkan tudung yang senget. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Hari ini kerjaku habis awal jadi boleh terus pulang ke rumah. Baru sahaja aku mencapai beg dan bangun, pintu pejabatku diketuk. Mungkin Erina atau Harlina. Namun, sangkaanku salah sama sekali apabila wajah yang muncul di hadapan pintu ialah Taufik. Aku menarik nafas perlahan.
            ‘Kenapa bos?’ Aku menyoal pendek sambil cuba tersenyum.
            ‘Awak dah nak balik?’ Sudah tahu bertanya pula.
            ‘Ya bos.’ Aku menjawab sopan. Kalau ikutkan hati mahu sahaja tinggalkan Taufik dengan soalan-soalan dia yang tak pernah habis.
            ‘Saya nak mintak izin. Nak bercakap dengan awak sekejap. Tapi bukan dekat sini. Kita pergi minum kejap boleh?’ Nak bercakap dengan aku pun minta izin. Selama ini tak pernah minta izin pun. Macam ada yang tak kena pula. Aku mengerutkan dahi.
            ‘Tapi saya tak haus bos. Lagi satu saya segan nak keluar minum dengan bos berdua je.’ Aku memberi alasan.
            ‘Baiklah kita pergi tempat lain kalau awak segan nak minum. Awak tahu kan taman permainan dekat simpang depan tu. Petang-petang ni selalunya ramai orang kat situ. Boleh kan kita pergi situ?’ Reaksi Taufik seperti mengharapkan aku berkata ‘ok’. Aku pula berfikir-fikir dahulu. Taufik cuma nak bercakap jadi tak ada masalah mungkin. Habis dia bercakap nanti aku balik.
            ‘Ok bos. Tapi sekejap je. Sebenarnya bos nak cakap pasal apa?’ Aku bertanya sambil berjalan keluar.
            ‘Sampai kat sana nanti saya cakap. Saya nak ambil barang kejap. Awak tunggu saya dekat sana.’ Taufik beredar ke biliknya semula. Aku hanya memerhati sambil otak masih ligat berfikir.
………………………………………………………………………………………
            Taman permainan sudah dipenuhi dengan beberapa orang kanak-kanak ketika aku sampai. Aku tersenyum melihat mereka. Begitu comel sekali. Budak-budak memang sangat adorable. Aku melihat ada buaian kosong dan aku terus menuju ke situ. Lama pula dah tak main buaian. Aku duduk dan menguji kekuatan buaian. Rasanya boleh menampung berat aku. Setelah yakin, aku mula menghayun buaian. Seronok pula terasa dibuai-buai oleh angin. Aku menghayun semakin laju dan laju.
            Aku pandang kiri dan kanan. Adik-adik comel tadi sedang bermain gelongsor pula. Agak jauh dari buaian. Nampak macam line sudah clear jadi aku berdehem membetulkan suara.
            ‘Buai-buaiku laju. Pohon beringin tegaknya rendang, menjadi tempat bermain si pari dan mambang. Akulah anak kesayangan mak dan ayah.’ Aku tersenyum sambil menyanyi. Sempat lagi menukar lirik lagu ‘Bawang Putih, Bawang Merah’. Cerita klasik yang sudah lebih setengah abad, tetapi tetap menjadi kegemaranku hingga sekarang. Hayunan buaian tetap laju.
‘Buai-buaiku laju. Aku tak nak kahwin dengan anak raja.’ Aku menyambung kembali radio karatku dengan lirik lain pula. Kalau orang lain dengar mahu pengsan agaknya dengar suara sumbang aku. Ini semua salah Taufik, bosan betul nak tunggu dia sampai. Lambat mengalahkan perempuan. Aku memandang ke arah tempat letak kereta di hadapan. Masih tidak nampak batang hidung Taufik. Aku mengeluh perlahan sambil menghayunkan buaian lebih laju lagi. Semakin laju dan tinggi dan tiba-tiba beg tangan terjatuh di belakang. Aku memberhentikan buaian dengan lagak professional dan bangun dari buaian. Mahu gugur juga jantung aku bila menoleh ke belakang.
‘Bos, apa buat kat sini?’ Aku menyoal sambil mengurut-urut dada akibat terkejut. Beg tanganku sudah di tangan Taufik yang sedang tersenyum. Alamak harap-harap dia tak dengar radio karat aku tadi.
‘Kan kita nak jumpa kat sini.’ Taufik berjalan ke arahku. Aku pula buat muka pelik. Hampir lupa sebenarnya kerana Taufik lambat sangat.
‘Oh saya sebenarnya dah nak terlupa tadi. Bos lambat sangat sampai.’ Dengan jujur aku membalas. Biar Taufik rasa, dia ingat seronok agaknya tunggu orang yang datang lambat. Tapi sebenarnya seronok juga. Sekurang-kurangnya aku sempat main buaian tadi.
‘Saya dah lama sampai sebenarnya. Saya tak sampai hati nak kacau awak. Nampak macam seronok sangat.’ Alamak nampaknya memang Taufik dengar persembahan percuma aku tadi. Ya Allah malunya. Kenapalah setiap kali dengan Taufik aku terpaksa menahan malu seperti sekarang.
‘Kenapa bos tak panggil awal-awal. Lagi satu kenapa bos datang dari belakang. Kenapa bukan dari depan?’ Aku menyoal bagi mengurangkan rasa malu yang dah teramat menebal.
‘Saya parking kat belakang sana.’ Taufik menunjukkan tempat letak kereta di bahagian belakang. Aku menganggukkan kepala.
‘Ok lah bos nak cakap apa? Saya kena sampai rumah sebelum Maghrib.’ Aku cepat-cepat mengingatkan. Mungkin sudah jam 6.00 petang sekarang. Taufik tersenyum dan terus duduk di atas buaian bersebelahanku.
‘Eh bos, jangan duduk. Nanti runtuh.’ Laju sahaja aku menghalang. Taufik hanya tergelak kecil. Sakit hati pula bila orang gelakkan kita.
‘Jangan risau. Saya dah biasa duduk atas buaian ni.’ Taufik menjawab pendek sambil masih ketawa. Maksudnya Taufik selalu datang ke sini.
‘Duduk lah. Kenapa awak berdiri lagi. Jangan risau, tak runtuh.’ Aku hanya menurut apa yang disuruh Taufik.
‘Ok, bos nak cakap apa?’ Aku bertanya lagi. Lambat betul Taufik nak bagitahu. Macam kura-kura pun ada.
‘Awak tak pelik macam mana saya boleh ingat awak walaupun awak tahu kita pernah jumpa sekali je?’ Soalan pelik yang disoal Taufik. Mestilah aku pelik, cuma malas sahaja nak bertanya. Aku memandang Taufik dan membuat isyarat mata mahukan jawapan.
‘Sebenarnya saya bukan jumpa awak sekali tapi tiga kali.’ Aku terkejut mendengar jawapan Taufik. Entah bila pula dia jumpa aku. Tersilap orang agaknya. Aku masih berdiam diri menantikan ayat Taufik yang seterusnya.
‘Kali kedua saya terserempak dengan awak masa konvokesyen awak. Kali ketiga di airport.’ Memang sah Taufik seorang stalker. Macam mana Taufik boleh tahu tentang konvokesyen aku dan airport. Aku dan seluruh ahli keluargaku sama-sama mengerjakan umrah sebulan sebelum keputusan SPM Adik diumumkan.  Mungkin Taufik nampak aku ketika kami di KLIA. Aku melihat sekeliling dan kelihatan semakin ramai kanak-kanak yang memenuhi taman permainan. Jadi Taufik tidak akan boleh membuat sesuatu yang tidak dijangka. Aku mula berfikiran negatif. Bagaimana kalau Taufik sebenarnya orang jahat. Aku harus bersedia untuk lari.
‘Awak jangan risau. Saya bukan apa yang awak fikirkan.’ Taufik seperti dapat mengagak. Aku pula berusaha mengawal reaksi wajahku.
‘Mana ada saya risau. Macam mana bos boleh jumpa saya dekat situ?’ Aku menyoal kembali. Inginkan jawapan.
‘Takdir yang membuatkan saya terlihat awak.’ Aku terkedu mendengar jawapan Taufik. Ya Allah jahatnya aku kerana boleh berfikiran sangat negatif terhadap Taufik.
‘Kebetulan masa saya balik bercuti dari pengajian saya di U.K., kawan baik saya konvo, jadi saya pun pergi sebab dia ajak. Masa di luar dewan saya nampak awak. Masa tu kira-kira empat bulan selepas pertemuan pertama kita. Jadi saya masih ingat muka awak. Awak seronok sangat masa tu dan saya nampak awak pakai jubah dengan selempang yang lain dari orang lain. Jadi saya tanya kawan saya kenapa. Dia kata sebab orang yang pakai tu dapat Anugerah Naib Canselor. Masa tu saya tahu awak sebenarnya sangat bijak.’ Taufik menerangkan dan aku mendengar dengan penuh perhatian. Rasa bersalah semakin menebal kerana menganggap Taufik yang bukan-bukan sebentar tadi.
‘Kat airport pulak macam mana?’ Aku menyoal inginkan jawapan.
‘Masa tu saya balik Malaysia. Kebetulan masa nak collect luggage saya ternampak awak dengan keluarga awak. Mula-mula saya tak pasti itu awak sebab awak pakai jubah putih dan tudung labuh. Tapi bila saya tengok lama-lama saya tahu itu awak. Awak nampak manis berjubah dan bertudung labuh.’ Aku tersenyum mendengar pujian Taufik. Seperti biasa hatiku kembang semangkuk. Rajin pula Taufik balik Malaysia. Banyak pula duit dia. Terlupa pula Taufik anak Datuk Fauzi jadi tidak hairanlah boleh balik setahun sampai tiga empat kali.
‘Kemudian saya paling tak sangka yang kita boleh jumpa lagi dan kerja di tempat yang sama. Sebab tu masa daddy tengah perkenalkan saya pada semua staf, saya tengok awak. Dan saya rasa awak perasan kot.’ Teringat pula peristiwa aku asyik tertoleh-toleh ke belakang kerana ingatkan Taufik tersalah pandang. Patutlah Taufik tengok aku sambil senyum-senyum. Rupanya dia ingat aku.
‘Ok, jadi yang bos nak sampaikan petang ni adalah bos dah jumpa saya tiga kali sebelum kita diperkenalkan di pejabat?’ Aku menyoal lagi.
‘Sebenarnya ada lagi. Saya nak bagitahu awak sesuatu. Mungkin terlalu awal tetapi saya lebih rela bagitahu awal dari saya langsung tak berpeluang untuk bagitahu.’ Ayat Taufik membuatkan aku semakin pelik. Taufik memang suka buat suspen.
‘Apa dia bos?’ Aku cepat-cepat bertanya.
‘Sebenarnya saya sukakan awak.’ Spontan ayat itu keluar dari mulut Taufik. Aku pula sudah ternganga mendengar. Nasib baik tak ada langau, kalau tak memang dah sedap masuk dalam mulut. Agaknya Taufik demam sampai boleh cakap merapu.
Aku ketawa perlahan kerana merasakan apa yang berlaku adalah kelakar. Aku melihat sekeliling, mana tahu mungkin ada yang nak kenakan aku. Kalau di Korea, memang terkenal dengan hidden camera yang bermotifkan untuk mengenakan orang. Aku memandang Taufik dengan sisa tawa yang masih ada. Taufik pula memandangku dengan wajah penuh tanda tanya dan seakan-akan pelik melihat reaksiku.


(terima kasih untuk yang sudi singgah membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa. komen dari anda semua amat dialu-alukan.)