Wednesday, 17 July 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 4 (PERTEMUAN KEDUA)

4
PERTEMUAN KEDUA







SETAHUN KEMUDIAN

Hari ini kami dikhabarkan bahawa ada staf baru yang akan menyertai jabatan kami. Sudah pasti jawatan sebagai ketua bahagian yang akan terisi. Ketua bahagian kami, Encik Faizal baru sahaja ditugaskan menguruskan projek Hotel di Dubai. Pagi itu kami semua menjalankan tugas seperti biasa.
            ‘Datuk Fauzi datang.’ Haris bersuara. Pasti dia ternampak melalui cermin kaca. Aku yang berada di meja Erina turut memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Haris. Semua yang ada berdiri dan memberikan tunduk hormat ketika pemilik Xenia Berhad ini masuk. Beliau tidak berseorangan kerana turut bersamanya ialah seorang lelaki yang tidak dikenali.
            ‘Assalamualaikum semua.’ Datuk Fauzi memberi salam sambil tersenyum kepada kami semua. Beliau memandang stafnya seorang demi seorang silih berganti.
            ‘Waalaikummussalam Datuk.’ Semua yang berada di situ menjawab salam serentak. Macam gaya budak sekolah pun ada. Tapi aku pun buat perkara yang sama.
            ‘Semua dah sarapan?’ Datuk Fauzi bertanya ramah. Memang menjadi kebiasaan Datuk Fauzi bertanya khabar dan mengambil berat akan staf-stafnya. Itulah sifat Datuk Fauzi yang sangat disenangi oleh semua orang.
            ‘Sudah Datuk.’ Erina menjawab. Dan beberapa suara lain turut sama menjawab. Datuk Fauzi mengangguk sambil tersenyum. Aku turut tersenyum walaupun Datuk Fauzi tak pandang aku pun ketika itu. Entah kenapa tiba-tiba secara tidak sengaja aku terpandang lelaki yang datang bersama Datuk Fauzi. Dia sedang merenungku sambil tersenyum. Aku cepat-cepat menarik balik senyuman aku untuk Datuk Fauzi tadi. Bimbang lelaki tadi perasan aku senyum padanya. Aku memandang ke belakangku, tiada sesiapa pun jadi bererti lelaki itu senyum dan pandang aku. Kenapa pula dia nak senyum. Bukannya aku kenal dia pun. Aku sempat mengerling untuk mengetahui reaksinya. Dia masih tersenyum ke arahku. Kelakar ke aku ni sampai nak      senyum-senyum macam tu. Aku tidak mengendahkannya dan cepat-cepat memandang Datuk Fauzi kembali.
            ‘Hari ni saya nak perkenalkan staf baru syarikat kita. Beliau akan menggantikan tempat Encik Faizal sebagai ketua bahagian yang baru. Kenalkan ini Taufik Ilham. Anak tunggal saya.’ Datuk Fauzi memperkenalkan. Anak Datuk Fauzi rupanya. Dan juga staf baru jabatan kami. Untunglah anak pemilik syarikat, masuk kerja terus jadi ketua bahagian. Tengok muka nampak macam masih muda.
            Staf baru tersebut bersalaman dengan staf-staf lain. Staf wanita sibuk menghulurkan tangan juga untuk bersalam serta memperkenalkan diri masing-masing. Dia hanya tersenyum sambil menyambut huluran semua orang. Erina di sebelahku kelihatan teruja menunggu giliran untuk bersalam. Staf wanita yang lain pula langsung tidak melepaskan pandangan mereka dari wajah anak Datuk Fauzi. Entah apa yang mereka pandang, tak faham aku.
            ‘Saya Taufik Ilham.’ Suara itu menyedarkan aku. Taufik kini berada di hadapanku.
            ‘Saya Amaani Batrisya. Selamat bekerjasama dengan kami semua.’ Aku menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. Tidak mahu bersalam. Taufik tersenyum ke arahku. Senyum lagi dia ni. Tak penat ke asyik senyum saja. Taufik beredar dan berdiri di sisi ayahnya semula.
            ‘Baiklah saya harap kamu semua dapat memberikan kerjasama yang terbaik untuk Taufik dan memberi tunjuk ajar padanya. Maklumlah Taufik ni pun masih baru dan banyak perkara yang dia perlu belajar.’ Datuk Fauzi berkata-kata sambil menepuk perlahan bahu anaknya. Terlihat ikatan ayah dan anak di situ.
            ‘Jangan risau Datuk. Kami akan jaga anak Datuk baik-baik.’ Haris bersuara yakin. Semua yang ada di situ tergelak kecuali aku. Haris memang suka membuat lawak tetapi aku tidak merasakan ianya lawak sekarang. Dia dah besar, pandailah dia nak jaga diri dia.
            ‘Baiklah saya minta diri dulu. Kamu semua boleh sambung kerja semula. Erm Amaani saya nak minta tolong awak tunjukkan bilik Taufik boleh?’ Eh kenapa pula aku yang kena tunjukkan. Tak ada orang lain agaknya. Namun aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Tidak boleh meningkari arahan bos. Datuk Fauzi berlalu pergi selepas mengusap belakang anaknya.
            ‘Ermmmm Encik boleh saya tunjukkan bilik encik?’ Aku menyoal. Punya lah panjang ‘ermm’ aku. Taufik memandangku sambil tersenyum dan mengangguk perlahan. Dia mengekoriku. Erina sempat mencuit aku sambil tersenyum meleret. Aku tidak memahami maksudnya dan hanya mengangkat kening. Aku membuka pintu bilik pejabat. Walaupun sudah seminggu tidak didiami oleh sesiapa selepas Encik Faizal ke Dubai, namun semalam aku baru mengemasnya. Jadi keadaannya tetap bersih dan kemas.
            ‘Ni bilik Encik. Harap Encik selesa.’ Aku masuk ke dalam sambil diikuti oleh Taufik.
            ‘Terima kasih. Cantik bilik ni. Kemas je.’Taufik memuji. Tengoklah siapa yang kemas. Aku memuji diri sendiri dalam hati.
            ‘Sama-sama. Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu dan kalau Encik nak minta apa-apa jangan segan silu bagitahu kami.’ Formal sekali aku bercakap. Macam kekok pula.
            ‘Saya nak minta sesuatu dari awak boleh?’ Taufik menyoal. Nak minta apa pula dari aku. Buat suspen saja dia ni. Namun aku tetap mengangguk sambil tersenyum. Lebih kepada senyum paksa. Tidak suka berlama-lama dengannya. Kalau boleh nak keluar cepat-cepat.
            ‘Tak perlu panggil saya Encik. Panggil nama je. Tak kisah awak nak panggil yang mana satu. Ilham boleh Taufik pun boleh.’ Taufik menyuarakan hasratnya. Aku mengeluh kecil.
            ‘Kalau macam tu saya panggil bos. Saya rasa tak selesa nak panggil nama je. Macam tak sopan. Lagipun baru pertama kali jumpa. Saya minta diri dulu ye bos.’ Aku menekankan sedikit perkatan bos itu. Entah apa yang tak kena dengan Taufik ni tiba-tiba suruh panggil nama saja. Aku sudah berkira-kira untuk melangkah keluar.
            ‘Batrisya’ Agak terkejut aku mendengar Taufik memanggilku dengan nama tersebut. Jarang sekali orang memanggilku dengan nama itu. Biasanya orang akan memanggilku Amaani. Tetapi walaupun pelik, aku tetap menoleh kembali ke arahnya.
            ‘Terima kasih.’ Tak ada perkataan lain nak cakap agaknya. Ataupun memang Taufik tiada modal. Aku cuma mengangguk sambil tersenyum. Cepat-cepat keluar dari situ dan menutup pintu. Aku berjalan menuju ke bilik pejabatku pula bagi menyambung kerja.
            ‘Amaani.’ Erina berjalan ke arahku sambil tersenyum.
            ‘Lamanya kau kat dalam bilik bos baru kita. Apa yang korang bualkan?’ Erina menyoal ingin tahu.
            ‘Tak ada apa-apa lah. Cuma tunjuk bilik je. Kenapa?’ Aku menyoal kembali.
            ‘Kau tak perasan ke bos baru kita tu kacak sangat-sangat.’ Perkataan ‘sangat’ ditekankan oleh Erina.
            ‘Jadi?’ Aku tetap menyoal.
            ‘Kau ni tak ada perasan ke apa. Semua orang dah cakap-cakap pasal kekacakan dia tu tau. Dahlah kacak, suara pulak sedap, anak Datuk Fauzi pulak tu. Pakej memang sempurna. Memang buat orang cair betullah.’ Erina menyuarakan dengan penuh teruja.
            ‘Kalau dia kacak sekalipun apa kaitan dengan kita. Itu muka dia.’ Aku dengan selamba menjawab.
            ‘Ada lah kaitan. Lepas ni semua orang bersemangatt lah nak buat kerja. Mesti ada yang akan mengorat bos baru.’ Erina berbisik.
            ‘Kau pergilah beramah mesra dengan bos kita tu. Mana tahu dia boleh terpikat. Kau cantik, bergaya.’ Aku memuji dengan ikhlas.
            ‘Habis tu pakwe aku nak letak mana. Walaupun ada orang kacak macam tu depan mata aku, aku tetap setia tau.’ Erina sudah memuncungkan mulut.
            ‘Alah janganlah merajuk. Aku gurau je lah. Dahlah aku nak sambung buat kerja. Banyak lagi kerja tak siap ni.’ Aku beredar terus ke bilik. Malas hendak melayan celoteh Erina lagi. Sampai di bilik aku terus menyambung kerja-kerjaku. Fail sudah bertimbun di atas meja.
……………………………………………………………………………………………………
            ‘Amaani. Jom lunch. Dah pukul satu.’ Erina muncul di pintu bilik.
            ‘Kau pergilah. Aku tak sempat nak makan kot. Banyak lagi kerja ni.’ Aku menjawab.
            ‘Kau ni asyik kerja-kerja. Makan kejap je lah. Nak kirim apa-apa tak?’ Erina menyoal.
            ‘Tak tahu nak makan apa. Macam tak ada selera.’ Aku menggelengkan kepala.
            ‘Ok lah aku pergi dulu. Kalau tiba-tiba berubah fikiran, mesej aku tau. Tapi jangan lambat sangat.’ Erina memberi tawaran.
            ‘Thanks a lot my dear friend.’ Aku sempat membuat flying kiss dan menghadiahkannya kepada Erina. Erina hanya menggelengkan kepala dan berlalu pergi.
            Aku kembali menyambung kerja. Kali ini pintu diketuk dan dibuka lagi.
            ‘Ada apa lagi Erina?’ Aku menyoal tanpa memandang.
            ‘Batrisya.’ Aku terkejut mendengar suara itu lantas mendongak.
            ‘Bos. Sorry saya ingatkan Erina.’ Aku merenungnya. Dia ni kenapa tiba-tiba datang bilik aku. Dah lah buka pintu tak minta izin.
            ‘Tak apa. Awak tak keluar makan?’ Taufik menyoal.
            ‘Tak. Bos pergilah makan.’ Cepat saja aku ‘menghalau’nya.
            ‘Saya puasa. Awak kenapa tak makan?’ Suka hati akulah nak makan ke tak. Sibuk je nak tahu.
            ‘Tak ada selera.’ Aku menjawab pendek. Berharap dia cepat beredar dari bilikku. Aku kembali menatap fail di atas meja.
            ‘Awak nampak sibuk. Saya keluar dulu.’ Sedar pun kehadiran tu tak diundang. Aku lega. Taufik menutup pintu bilik.
            Aku tenung jam di skrin laptop. Sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Lantas aku bangun dan mencapai beg telekung di dalam laci meja. Aku berkira-kira untuk ke surau. Pintu bilik aku buka dan seluruh pejabat kosong. Nampaknya semua orang sudah keluar makan. Dalam waktu yang sama Taufik keluar dari bilik pejabatnya. Aku senyum kepadanya sebagai tanda menghormati bos.
            ‘Nak pergi mana?’ Dia bertanya. Tak penat ke asyik bertanya.
            ‘Surau. Bos?’ Aku menjawab malas. Bertanya sekadar menjaga hati. Nanti dia ingat aku sombong pula. Apa-apa pun aku tetap kena hormat dia sebagai ketua.
            ‘Sama. Boleh awak tunjukkan surau pada saya. Tadi saya tak sempat nak tanya daddy.’ Taufik meminta. Sejuk pula hati mendengar dia bertanya berkaitan surau.
            ‘Boleh. Jom.’ Aku mengangguk dan berjalan keluar. Surau wanita hanya bersebelahan surau lelaki jadi tidak perlu aku berjalan jauh untuk menunjukkan arah surau kepada Taufik. Sambil menyelam minum air katakan. Kami berpisah dan masing-masing masuk ke dalam surau.
            Setelah melipat telekung dan memakai selendang, aku terus keluar dari surau. Bertemu beberapa orang staf wanita yang lain dan sempat bertegur sapa. Aku berjalan terus menuju ke pejabat tanpa memandang sekeliling.
            ‘Batrisya.’ Suara itu lagi. Apa lagi dia buat kat sini. Baru selesai solat juga mungkin. Aku menoleh ke arah Taufik. Dia sedang duduk di kerusi yang disediakan di luar surau.
            ‘Bos tak balik lagi?’ Aku kehairanan.
            ‘Belum. Saya tunggu awak.’ Dia menjawab selamba. Kenapa pula dengan bos baru ni. Pelik aku dibuatnya. Aku bukannya budak kecil sampai kena tunggu. Aku tahulah jalan balik. Ataupun dia yang lupa jalan balik. Mengarut lah.
            ‘Lain kali bos tak perlu tunggu saya. Tak manis orang lain tengok.’ Jujur aku menjawab. Tetapi itulah yang sebaiknya. Dia pula hanya tersenyum.
            ‘Maafkan saya.’
            ‘Tak apa. Bos jalan dulu. Saya jalan kemudian.’ Aku mengarahkan dan dia hanya menurut. Berjalan terus meninggalkan aku. Kira-kira 10 langkah dia di hadapan, aku pun turut melangkah perlahan. Taufik sudah jauh meninggalkanku di belakang. Langkahnya pasti panjang. Lihat saja ketinggiannya. Aku rasa pasti lebih 180cm.
            Ketika aku tiba di pejabat, beberapa orang staf sudah pulang dari makan tengahari termausklah Haris. Haris seperti biasa laju saja menghampiri aku dengan muka yang penuh tanda tanya.
            ‘Aku rasa baru 10 saat Encik Taufik masuk pejabat. Lepas tu tiba-tiba kau pulak yang muncul. Ada udang di sebalik mee yang aku tak tau ye?’ Haris sudah memancing. Aku naik rimas dibuatnya.
            ‘Yang kau sibuk dengan mee udang ni kenapa? Kebetulan je lah. Tadi kitorang kebetulan pergi surau. Tak payah nak merapu fikir bukan-bukan.’ Aku berjalan laju meninggalkan Haris yang terpinga-pinga.
            Selepas masa rehat tamat Taufik menyuruh aku masuk ke dalam bilik pejabatnya. Dia meminta aku menerangkan berkaitan projek kami di Shah Alam. Seperti biasa aku berlagak professional dengan menarangkan segala maklumat projek serta kemajuan projek. Taufik mendengar dengan teliti dan tanpa segan silu bertanya segala yang menjadi persoalannya. Katanya dia masih baru dan langsung tiada pengalaman dalam menguruskan projek, jadi dia mengharapkan aku memberikan tunjuk ajar memandangkan aku lebih berpengalaman dan mengetahui semua selok-belok berkaitan projek. Tanpa banyak soal aku bersetuju. Tidak salah berkongsi ilmu dengan orang. Sekali kita berbuat baik kepada orang, berganda-ganda Allah akan memberi balasan baik kepada kita. Itulah prinsip yang selalu aku pegang. Aku juga merasa selesa dengan Taufik tetapi hanya atas urusan kerja. Itu semua kerana sikapnya yang merendah diri dan banyak bertanya. Bila difikir balik agaknya memang dia dilahirkan suka bertanya. Tetapi apabila dia bertanya sesuatu yang tiada kaitan dengan kerja, itu yang membuatkan aku rasa menyampah sedikit.
            Perbincangan kami tamat pada pukul 3.00 petang dan selepas itu aku menyambung semula kerja-kerjaku yang bertimbun di atas meja.



No comments:

Post a Comment