Saturday, 13 July 2013

AWAK ILHAM SAYA : 2.CINTA PERTAMA AMAANI

            
2
CINTA PERTAMA AMAANI






Aku mengangkat beberapa buah buku untuk disusun ke dalam kotak. Separuh daripada barang-barangku telah siap dikemas. Keluargaku akan datang menjemput pagi esok. Ayah, mak, Along dan Adik semua akan datang. Along akan memandu pulang kereta Kancil yang aku bawa ke kolej. Ayah masih belum memberi kepercayaan kepadaku untuk memandu sendiri dalam jarak yang jauh. Perjalanan ke rumah kami akan mengambil masa kira-kira dua jam setengah. Mujur hari esok hari Ahad, jadi Along pun cuti.
Ayah memberi keizinan untuk aku membawa kereta Kancil itu pun kerana memikirkan aku sudah semester akhir jadi banyak perlu bergerak ke sana dan ke mari untuk menyelesaikan projek akhir dan sebagainya. Tambahan lagi, keputusan peperiksaan aku setiap semester yang cemerlang dan berjaya mendapat Anugerah Dekan membuatkan ayah tidak teragak-agak untuk bersetuju.
Memang sudah menjadi kebiasaan keluarga kami di akhir setiap semester satu keluarga akan datang menjemput. Teringat pula semasa zaman Along masih belajar di universiti dulu, setiap tahun dua kalilah kami akan ke Johor untuk menjemput Along kerana Along dahulu belajar di Universiti Teknologi Malaysia.
Itulah ikatan yang terjalin dalam keluarga kami. Ayah akan sentiasa memastikan anak-anaknya tidak perlu bersusah payah mengangkut barang balik ke rumah dengan menaiki bas ataupun menumpang barang di rumah kawan-kawan. Selagi ayah termampu ayah akan tetap menjemput kami. Kini aku dan Along sudah tamat belajar. Tinggal Adik sahaja yang masih bersekolah di Tingkatan Lima. Nampaknya cuti aku akan digunakan untuk menjadi cikgu selaku mentor Adik. SPM sudah semakin hampir jadi Adik harus meningkatkan usaha untuk belajar bersungguh-sungguh.
            Sambil aku terkenang kisah keluargaku, aku sempat mengangkat beberapa buah buku yang lain pula ke dalam kotak. Tiba-tiba sekeping gambar jatuh dari timbunan buku yang kuangkat. Aku menatap gambar itu seketika sebelum fikiranku menerawang jauh kembali ke zaman persekolahan.

6 TAHUN LEPAS
            “Baiklah, hari ni kamu semua akan mendapat seorang kawan baru.” Cikgu Zalia yang merupakan guru kelas kami mengumumkan semasa kelas Bahasa Melayu. Semua rakan-rakanku menoleh ke arah pintu untuk melihat kelibat pelajar baru tesebut. Aku tidak terkecuali. Wajahnya terlindung oleh pintu jadi akhirnya aku berputus asa.
            Beberapa saat kemudian pelajar itu melangkah masuk ke dalam kelas perlahan-lahan bersama Cikgu Dahlia. Cikgu Dahlia merupakan guru bagi subjek Sejarah. Aku melihat pelajar itu sekilas.
            “Serabainya mamat ni.” Aku berbisik dalam hati. Rambutnya panjang dan agak tidak terurus. Wajahnya langsung bukan macam orang Melayu. Sekali pandang seperti berbangsa Cina. Cikgu Zalia dan Cikgu Dahlia berbual-bual perlahan dan kemudian Cikgu Dahlia keluar.
            “Cikgu nak kamu perkenalkan diri kamu.” Cikgu Zalia menyuruh. Pelajar baru itu mengangguk sambil tersenyum.
            “Apa khabar semua. Nama saya Nicholas Lee. Boleh panggil saya Nick. Saya harap kawan-kawan semua dapat beri tunjuk ajar pada saya.” Dia memperkenalkan diri. Jadi betullah tekaanku dia berbangsa Cina. Teringat pula pada Nicholas Tse, pelakon popular dari Hong Kong. Aku tersenyum tiba-tiba.
            “Amaani, yang kamu senyum sorang-sorang tu kenapa?” Cikgu Zalia menegur. Semua mata kini memandangku termasuklah pelajar baru tadi.
            “Maaf cikgu.” Aku tertunduk malu. Amaani lain kali jangan senyum, masam saja. Aku membebel dalam hati.
            “Nicholas, kamu boleh duduk sebelah Khairul.” Cikgu Zalia menunjukkan tempat duduknya dan Nicholas terus menuju ke meja tersebut. Aku tidak memandang wajahnya tetapi hanya memerhati gerak-gerinya. Nicholas duduk selang semeja dari aku kerana meja Khairul hanya bersebelahan mejaku.
            “Nani, tadi dia pandang kau masa dia lalu.” Dalila berbisik.
            “Dia pandang kau tu.” Aku membalas pendek sambil tersenyum. Tidak mahu melayan sangkaan mengarut Dalila yang lain pula.
            “Kita sambung semula kelas kita. Amaani cuba bagi contoh isi untuk karangan ni.” Cikgu Zalia memilih aku seperti biasa.
            “Menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk kemudahan para pelancong.” Laju sahaja aku menjawab.
            “Bagus Amaani. Ok isi seterusnya saya nak Hafizi bagi contoh.” Cikgu Zalia memilih kawanku yang lain pula. Hafizi menggaru-garu kepalanya sambil tersenyum.
            “Kamu ni Hafizi. Siapa boleh tolong Hafizi?” Mendengar kata-kata itu aku cepat-cepat mengangkat tangan. Sama benar seperti Hermione Granger, watak dalam filem terkenal Harry Potter. Cikgu Zalia mengangguk sambil tersenyum.
            “Membuat promosi secara besar-besaran contohnya seperti Tahun Melawat Malaysia.” Aku menjawab lantang.
            “Betul tu Amaani. Terima kasih.” Aku tersengih mendengar kata-kata Cikgu Zalia.
            Kelas kami tamat lebih kurang setengah jam kemudian. Seperti biasa Cikgu Zalia memberikan kami kerja sekolah. Setelah Cikgu Zalia keluar, beberapa orang kawanku datang ke mejaku untuk mendapatkan bantuan bagi membuat ayat. Manakala, yang lain pula mengerumuni meja Nicholas. Sudah menjadi kebiasaan jika pelajar baru masuk, masing-masing sibuk mahu ambil tahu itu dan ini dari pelajar tersebut. Aku pula seperti biasa tiada masa untuk ambil tahu.
            Kelas kami pada hari itu seperti biasa penuh. Loceng berbunyi tepat jam 1.30 petang dan masing-masing sibuk mengemas buku untuk pulang. Jam 2.30 petang nanti kami semua perlu menghadiri kelas tambahan. Beginilah rutin harian pelajar yang bakal menduduki SPM. Pagi akan dipenuhi dengan kelas harian dan petang pula jadual akan dipenuhi dengan kelas tambahan. Bagi pelajar yang tinggal di asrama seperti aku, pada sebelah malam pula kami perlu mengikut jadual prep yang telah ditetapkan oleh pihak asrama.
            “Amaani.” Suara yang sangat asing dan jarang aku dengar tiba-tiba memanggil namaku ketika aku sedang memasukkan buku ke dalam beg. Aku menoleh ke arah suara tersebut dan Nicholas sedang berdiri di tepi mejaku.
            “Ya saya. Macam mana awak tahu nama saya?” Aku menyoal dengan kening yang dikerutkan.
            “Tadi Cikgu Zalia banyak kali sebut nama awak.” Nicholas menjelaskan sambil tersenyum. Aku hanya balas dengan anggukan.
            “Saya nak minta awak tolong ajar saya buat karangan boleh? Saya lemah Bahasa Melayu.” Nicholas bercakap dengan teragak-agak. Patutlah, nak minta tolong rupanya. Aku tersenyum ke arahnya.
            “Boleh, tapi lepas kelas tambahan ya. Sekarang ni saya nak kena balik makan dan siap-siap pergi kelas tambahan.” Aku terus bersetuju. Senyuman terukir di wajah Nicholas.
            “Terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu.” Nicholas berlalu pergi.
            “Wah dia minta tolong kau. Untungnya. Dah lah dia tu comel.” Dalila mula mengusik.
            “Tak payah nak untung sangat. Dia nak belajar kan. Apa salahnya kita kongsi ilmu dengan orang. Tapi petang ni kau kena teman ya.” Aku melentokkan kepala sambil mengerdipkan mata ke arah Dalila.
            “Kau tak payah nak buat muka comel macam tu. Kau tak ajak pun aku memang nak pergi teman. Seronok juga buat kerja sekolah dengan orang comel. Boleh dapat inspirasi.” Dalila sudah tersenyum-senyum.
            “Kau ni tak baik lah. Dan apa pula kaitan muka comel dia dengan kita nak belajar. Mengarut betul. Dahlah jom balik asrama. Lapar ni.” Aku menarik tangan Dalila.
            Petang itu selepas kelas tambahan, aku dan Dalila mengajak Nicholas ke kantin sekolah untuk menyiapkan karangan yang diberikan oleh Cikgu Zalia. Nicholas benar-benar menunjukkan minat untuk belajar dan tidak segan silu untuk bertanya apa-apa yang menjadi persoalannya. Aku menjadi selesa dengannya. Tambahan pula dia agak ramah.
Lebih kurang 45 minit dan akhirnya karangan kami siap. Dalam tempoh 45 minit itu pelbagai maklumat berkaitan dirinya aku dapat ketahui, itupun kerana Dalila bertanya itu dan ini. Aku pula hanya sibuk memberi tunjuk ajar kepadanya. Nicholas rupa-rupanya berdarah kacukan Cina dan Australia. Kerana itulah aku melihatnya sekali imbas persis orang Cina dan dua kali pandang ada iras-iras ‘Mat Salleh'. Ayahnya berbangsa Cina dan ibunya orang Australia. Aku sempat menyuruhnya berbahasa Inggeris dengan kami dan sepenuhnya English accent.
Nicholas berjanji akan membantu kami dalam subjek Bahasa Inggeris pula. Katanya sebagai membalas budiku. Sebenarnya aku tidak minta dibalas tetapi jika orang menawarkan bantuan apa salahnya kita menerima. Orang memberi, kita merasa. Mana tahu ada rezeki boleh aku mendapat A1 dalam SPM untuk subjek Bahasa Inggeris juga.
Semenjak itu kami banyak meluangkan masa bersama untuk membuat kerja sekolah. Dalila sebagai peneman setiaku. Sewaktu itu banyak suara-suara yang tidak puas hati akan keakraban kami. Aku pula tidak menghiraukan apa yang orang perkatakan. Bagiku asalkan kami tidak menggangu hidup orang lain dan niat kami adalah untuk menuntut ilmu serta berkongsi ilmu yang ada.
Dalam tempoh enam bulan kami berkenalan timbul satu perasaan yang tidak pernah aku jangka akan terjadi. Perasaan itu muncul tiba-tiba tanpa diundang dan itulah kali pertama aku mempunyai perasaan sedemikian. Nicholas membuatkan aku rasa bahagia dan kehadirannya seperti menjadi salah satu pendorongku.
Aku keliru dengan perasaan tersebut tetapi aku berlagak seperti biasa apabila bersama Nicholas. Aku tidak mahu dia tahu perasaanku ini. Biarlah hanya aku yang pendam. Terlalu rumit jika antara kami ada hubungan yang lebih dari seorang kawan. Kami jauh berbeza dan terlalu berbeza. Bangsa, budaya dan yang paling utama, agama kami berbeza. Dalila menjadi tempat aku meluahkan perasaan dan segala rahsia hatiku berkenaan Nicholas.
Seminggu sebelum SPM aku mendapat sepucuk surat yang diletakkan di bawah mejaku. Aku tidak membaca isi surat itu di kelas kerana bimbang rakan-rakanku akan mengetahuinya. Setelah sampai di asrama barulah aku membukanya. Isi surat itu sungguh mengejutkan aku.

Kepada Amaani Batrisya bt. Lukman,
Terima kasih atas segala ilmu yang telah awak kongsikan bersama saya. Atas pertolongan awak, saya rasa Bahasa Melayu saya semakin bagus. Saya minta maaf jika selama ini saya ada menyakiti hati awak tanpa sengaja. Sedikit pun saya tidak pernah terniat untuk menyakiti awak. Saya tahu ramai yang tidak suka melihat kita berkawan tetapi awak tetap setia membantu saya dengan ikhlas. Bagi saya awak adalah gadis yang sangat istimewa, berbeza dari kawan-kawan perempuan saya yang lain. Saya dapat melihat keikhlasan awak melalui renungan mata awak.
Sebenarnya saya ingin berkata jujur dengan awak. Sejak pertama kali saya melihat awak, hati saya telah terusik untuk mengenali awak dengan lebih dekat. Maafkan saya jika awak rasa saya cuma mengambil kesempatan untuk belajar dengan awak. Tetapi, niat saya yang sebenarnya memang ingin belajar. Mungkin takdir tentukan kita untuk lebih rapat dan mengenali melalui cara tersebut. Amaani, saya sebenarnya sukakan awak. Saya tidak mengharapkan sebarang balasan untuk perasaan saya terhadap awak. Cuma saya ingin awak tahu saya benar-benar ikhlas sukakan awak. Saya tahu awak juga mempunyai perasaan yang sama terhadap saya.
Saya dapat merasakan semua itu melalui pandangan mata awak walaupun awak berusaha untuk berselindung. Saya tahu kita sangat berbeza tetapi saya berharap awak percaya pada takdir. Jika jodoh itu milik kita, pasti kita akan bersatu. Kalau boleh izinkan saya untuk berjumpa dengan awak selepas peperiksaan SPM kita tamat. Saya akan tunggu awak di hadapan dewan peperiksaan. Ada sesuatu yang saya ingin berikan pada awak. Untuk SPM kita, awak perlu berjanji dengan saya awak akan buat yang terbaik. Kejayaan awak adalah kebahagian saya juga. Banggakan keluarga awak. Saya akan tetap menyokong awak.
                                                Ikhlas dari,
Nicholas

            Aku terpaku lama di hadapan almari sambil memegang surat itu. Sungguh aku tidak pernah menjangka bahawa Nicholas juga menyimpan perasaan yang sama terhadapku. Aku meletakkan surat tersebut ke dalam almari dan meraup mukaku dengan kedua-dua belah tangan. Buntu memikirkan apa yang harus aku rasakan. Bahagia? Gembira? Risau? Semuanya seperti bercampur aduk.
            Keesokan harinya semasa di kelas aku langsung tidak mempedulikan Nicholas. Nampak seperti sungguh kejam, namun hanya itu yang mampu aku lakukan. Aku dapat melihat kekecewaan di wajahnya tetapi aku pura-pura tidak peduli. Walhal, dalam hatiku hanya Allah yang tahu betapa luluhnya melihat wajah itu kecewa. Setelah kelas habis dan kami sampai di asrama aku terus menulis surat balasan untuk Nicholas. Tidak sampai hati membiarkan dia tertanya-tanya.

Kepada Nicholas Lee,
Saya minta maaf atas kesilapan yang saya lakukan pada awak. Tidak terlintas sedikit pun di hati saya untuk menyakiti awak. Saya cuma masih belum bersedia untuk menerima kebenaran dari hati awak yang jujur dan ikhlas. Terlalu banyak perkara yang merunsingkan saya. Saya membalas surat ini setelah betul-betul mendapat kekuatan. Saya tidak sanggup membiarkan awak terus tertanya-tanya. Selama ini saya tidak pernah menyangka awak dapat menduga hati saya. Dan yang paling saya tidak jangka ialah awak mempunyai perasaan yang sama seperti saya.
Perasaan ini adalah anugerah dan saya tidak mampu menolaknya. Walaupun saya berusaha untuk membuang perasaan ini jauh-jauh namun saya tetap gagal. Saya tidak tahu bila saya mula sukakan awak. Menulis surat seperti ini juga sebenarnya tidak pernah saya fikirkan. Semua ini terlalu sukar. Ini kali pertama saya mempunyai perasaan sebegini dan pada orang yang tidak pernah saya jangka. Cukuplah sekadar awak dan saya tahu kita berkongsi perasaan dan rasa yang sama. Antara kita tidak boleh lebih dari seorang kawan. Saya akan pegang kata-kata awak. Percaya pada takdir. Jika jodoh sudah tertulis tiada yang mustahil.
Saya akan jumpa awak selepas habis peperiksaan di hadapan dewan nanti. Dalila akan menemani saya seperti biasa. Sama-sama kita berusaha dan buat yang terbaik untuk SPM kita. Saya juga ingin melihat kejayaan awak. Cuma, buat masa sekarang saya mungkin tidak mampu untuk berbual atau melayani awak seperti biasa. Saya harap awak faham.
                        Ikhlas dari,
Amaani.

            Aku meletakkan surat tersebut di bawah meja Nicholas pada keseokan paginya dan selepas itu kami masing-masing membuat hal sendiri sehinggalah ke hari peperiksaan. Masing-masing berlagak seperti saling tidak mengenali. Beberapa orang kawan kami curiga dengan perubahan sikap kami namun mereka tidak berani untuk bertanya berlebihan. Maklumlah peperiksaan SPM sudah semakin hampir, jadi masing-masing sibuk dengan persediaan peperiksaan.
            Selesai menjawab kertas peperiksaan terakhir, aku dan Dalila terus ke hadapan dewan. Aku kerapkali mencari kelibat Nicholas di kalangan kawan-kawan yang berpusu-pusu keluar dari dewan peperiksaan namun gagal.
Kami sempat mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan yang tinggal di luar. Bagi kawan-kawan yang tinggal di asrama, kami masih berkesempatan untuk bertemu mereka di asrama setelah pulang. Aku berdebar-debar sambil menanti. Dalila pula kerap kali menghampiri aku dan menggengam tanganku bagi memberi kekuatan untuk aku berhadapan Nicholas.
            Penantianku selama 10 minit hanyalah satu kehampaan apabila orang yang ditunggu tidak muncul tetapi yang muncul hanyalah Hafizi, rakan sekelas kami.
            “Nani, Nick suruh aku serahkan ni pada kau.” Hafizi berkata dalam nada teragak-agak sambil menghulurkan sebuah kotak kepadaku.
            “Mana Nick?” Pendek soalanku.
            “Dia dah balik. Ayah dia terus tunggu dia dekat parking lot depan tu.” Hafizi menuding ke arah tempat tersebut. Aku cepat-cepat memandang, mungkin Nicholas masih di situ. Namun itu semua hanya sia-sia. Akhirnya aku hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada Hafizi. Kami terus pulang ke asrama sambil membawa bersama hatiku yang kecewa. Sampai hati Nicholas pergi tanpa sebarang kata. Walaupun hati kesal, kotak yang diberi Nicholas aku tetap pegang erat.
            Aku membuka kotak tersebut sebaik sahaja tiba di asrama. Isinya ialah sebuah bola kaca yang sungguh cantik. Di dalam bola kaca tersebut terdapat patung dua orang kanak-kanak lelaki dan perempuan berpegangan tangan sambil dikelilingi salji. Terdapat juga orang salji di dalamnya. Aku menggoncang-goncangkan bola kaca itu dan habuk-habuk putih bertebaran bagaikan salji yang turun. Ini bermakna Nicholas memang tahu aku sangat sukakan salji dan mempunyai impian untuk menyentuh salji dengan tangan sendiri. Kenyataan itu membuatkan aku menitiskan air mata. Nicholas pergi tanpa sebarang kata tetapi meninggalkan aku dengan kesan yang sangat mendalam.
            Selepas kejadian itu aku dan Nicholas langsung tidak berhubung. Kami terputus begitu sahaja. Tidak tahu apa silapku sehingga Nicholas berubah begitu sahaja. Aku pasrah dengan semua yang berlaku. Benar antara kami adalah mustahil dan terlalu banyak halangan.
Semasa keputusan SPM dikeluarkan dan kami semua mengambil keputusan            masing-masing di sekolah, Nicholas langsung tidak menghadirkan diri. Aku bersyukur dengan keputusan SPMku. Walaupun bukan semua A yang aku perolehi namun masih tetap lulus dengan cemerlang.
            Aku hanya mendapat berita mengenai Nicholas melalui Hafizi. Kata Hafizi, Nicholas ke Australia seminggu selepas tamat peperiksaan SPM. Aku hanya menerima berita tersebut dengan hati yang kosong. Biarlah kami masing-masing meneruskan hidup dengan cara sendiri. Itu adalah jalan yang terbaik. Mungkin juga Nicholas sudah sedar terlebih dahulu bahawa antara kami tidak boleh bersatu.
Tetapi, jujur dari hatiku, aku masih mahukan penjelasan darinya mengapa dia pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Jika benar-benar dia sudah tawar hati dengan nasib kisah kami, mengapa dia harus menghadiahkan aku bola kaca tersebut. Bola kaca yang aku telah simpan dengan elok bersamaku selama hampir enam tahun.
………………………………………………………………………………………………………
            “Nini.” Husna menyergahku dari belakang dan kenangan itu hilang bersama detik yang berlalu. Gambar di tanganku juga terlepas dari pegangan. Husna mengutip gambar tersebut.
            “Nini, kau masih teringatkan dia?” Husna menyoal sambil menatap gambar tersebut. Husna memang mengetahui kisah antara aku dan Nicholas. Semua yang pernah berlaku aku ceritakan padanya.
            “Husna, dia cinta pertama aku. Walaupun kami tak pernah ada hubungan lebih dari seorang kawan tapi kesan yang dia tinggalkan terlalu mendalam untuk aku. Aku tak tahu sama ada aku mampu untuk buka pintu hati aku untuk orang lain.” Aku mengadu. Husna mengusap bahuku.
            “Nini, kau kena bagi peluang pada orang lain juga. Kau kena fikir untuk diri kau juga. Kalau kau terus macam ni tak kan sampai ke sudah kau tak nak kahwin.” Husna menasihati. Aku hanya memandang lesu.
            “Jodoh kita Allah yang tentukan. Buat masa ni kalau ditanya memang aku tak mampu nak terima siapa-siapa sebagai pengganti Nick. Aku serahkan semua pada takdir. Takdir Allah tu adalah yang terbaik untuk kita kan.” Aku membalas sambil tersenyum ke arah Husna. Husna pula hanya menganggukkan kepala.
            “Dahlah. Buat apa cerita pasal kisah silam aku ni. Mak dan ayah kau jadi kan datang pagi esok? Kalau sempat boleh jumpa dengan family aku juga esok. Moodku bertambah ceria apabila membincangkan hal keluarga.
            “Aku pun kalau boleh nak kenalkan keluarga aku pada keluarga kau. Nanti dah habis belajar ni kita susah dah nak jumpa.” Husna kedengaran sayu.
            “Alah janganlah touching macam ni. Nanti kan kita jumpa lagi masa konvo. Mana tahu ada rezeki kita dapat tempat kerja yang dekat. Boleh duduk sekali.” Dengan nada bersemangat aku mengembalikan suasana ceria.
            “Tak kisah apa pun yang penting kita kawan sampai mati.” Husna meluahkan sambil tersenyum.
            “Dan kawan dunia akhirat.” Aku menambah dan kami sama-sama tertawa riang. Semoga persahabatan kami tetap kekal utuh hingga ke akhir hayat.
          







(yang mana satu anda rasa sesuai sebagai Nicholas Lee? Gambar 1 : Peniel D. Shin from BTOB dan gambar 2 : Zhang Yi Xing / Lay from EXO)
   




(thanks a lot untuk semua yang sudi membaca kisah ini. Komen dari anda sangat saya alu-alukan.jika ada yang kurang tegur lah,mngkin boleh diperbaiki masa akn dtg.)

No comments:

Post a Comment