Thursday, 18 July 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 5 (KOPI AWAK SEDAP)

5
KOPI AWAK SEDAP









            Aku mengerling jam di skrin komputerku. Baru jam 10.00 pagi. Masa yang sangat sesuai untuk minum kopi. Aku melangkah keluar dari bilik pejabatku untuk ke pantri.
            ‘Kawan-kawan siapa nak minum kopi?’ Aku sempat bertanya sambil memandang semua rakan-rakan sekerjaku silih berganti. Inilah rutin ku. Tidak lah setiap hari tetapi dalam seminggu lebih kurang dua tiga kali aku akan membancuh kopi untuk semua orang. Mereka sering memuji kopiku dan disebabkan itulah aku sering bersemangat bila sentuh bab bancuh kopi. Bukan suka dipuji cuma senang hati melihat orang minum kopi bancuhanku sambil tersenyum.
            ‘Kau nak pergi buat kopi kau yang ‘kaw’ tu ke? Aku nak.’ Haris cepat saja membalas. Dia memang pencinta setia kopiku.
            ‘Aku pun nak’ Giliran Erina pula. Dan beberapa lagi rakan sekerjaku yang lain turut sama meminta.
            ‘Ok lah, konklusinya semua orang nak kan. Saya pergi buat sekarang. Lima minit ye.’ Aku sempat mengangkat tangan kananku dan membuat isyarat lima menggunakan jari sebelum berlalu pergi ke pantri.
            ‘Saya pun nak boleh?’ Sempat pula aku mendengar suara Taufik. Bila pula dia keluar dari bilik dia. Aku memandang Taufik sambil tersenyum. Lebih kepada senyum paksa sebenarnya.
            ‘Boleh bos.’ Aku menjawab pendek dan terus berlalu. Dalam hati membebel macam mana dia boleh muncul tiba-tiba. Macam tahu saja aku nak keluar.
            Sampai di pantri, aku terus mengambil 6 biji cawan untuk membancuh kopi tetapi bila difikir balik macam melambatkan kerja pulak. Akhirnya aku mencapai jag yang agak besar saiznya di tepi sinki. Lebih baik bancuh dalam jag. Besar pun besarlah janji lebih efektif.
            Selesai membancuh kopi aku terus mengangkat semua cawan dan meletakkannya ke atas meja setiap orang kecuali Taufik. Aku tinggalkan cawan untuknya di atas meja Erina. Kemudian aku masuk semula ke dalam pantri untuk mengambil jag air kopi. Kelihatan kelakar pula macam lipas kudung ke hulu ke hilir mengagihkan cawan dan kemudian membawa jag ‘gergasi’ itu keluar. Aku mencurahkan air ke dalam setiap cawan.
            ‘Amaani kau ni memang terbaiklah. Kalau aku ada adik lelaki, memang aku dah suruh pinang buat isteri.’ Haris seperti biasa dengan lawaknya yang buat aku rasa nak simbah je air kopi ni dekat dia. Nasib baik juga dia dah kahwin, kalau tak mesti dia cakap nak buat jadi isteri dia.
            ‘Erina, kau pergi tuang kopi ni dekat bos.’ Aku menghulurkan jag besar itu kepada Erina.
            ‘Kau lah pergi tuang. Aku nak buat kerja ni.’ Erina berdalih. Macam dia seorang saja ada kerja. Aku mengeluh perlahan sambil mengangkut cawan dan juga jag ‘gergasi’ menuju ke bilik Taufik. Tanganku penuh jadi aku akhirnya menggunakan cawan untuk mengetuk pintu. Kedengaran suara Taufik menyuruh masuk. Macam mana aku nak buka pintu, tangan aku penuh. Akhirnya aku mengintai Taufik di sebalik cermin kaca sambil mengangkat tinggi jag ‘gergasi’ dan cawan. Taufik senyum ke arahku dan bangun dari kerusinya untuk membuka pintu.
            ‘Maaf Batrisya. Masuklah’ Dia mempelawa aku masuk. Dengan malas aku berjalan masuk. Meletakkan cawan dan menuangkan air kopi untuknya. Aku terdengar suara orang ketawa. Aku menoleh ke arah Taufik. Dia sedang menutup mulutnya sambil berusaha menahan tawa. Ketawa tak tentu pasal macam orang tak betul ni kenapa.
            ‘Kenapa bos gelak?’ Aku bertanya kehairanan. Dah serupa orang tak betul dia gelak.
            ‘Awak ni kadang-kadang comel. Saya rasa jag ni lagi besar dari awak.’ Taufik masih dengan ketawanya. Tiba-tiba pula puji aku comel. Aku tersenyum dalam hati. Berusaha gigih mengawal reaksi wajah.
            ‘Dah tak ada jag lain bos. Yang ini je yang ada.’ Aku menjawab malas. Setelah selesai menuang air kopi tersebut aku cepat-cepat beredar keluar.
            ‘Batrisya.’ Aku mengeluh perlahan mendengar namaku dipanggil lagi. Apa lagi lah yang Taufik ni mahukan. Aku menoleh perlahan-lahan.
            ‘Terima kasih. Kopi awak sedap.’ Taufik sudah menghirup air kopiku. Tak jadi nak marah Taufik, sebaliknya aku senyum meleret. Berbunga setaman kopiku dipuji. Setelah itu aku keluar dari bilik Taufik.
            Kira-kira setengah jam selesai minum kopi kami didatangi oleh Puan Rania yang merupakan setiausaha Datuk Fauzi. Dia datang bersama seorang wanita yang bagi aku sungguh cantik. Jika dikira memang sangat sepadan dengan Taufik. Sempat pula aku memadankan orang. Kalau dibandingkan dengan aku macam merak dengan ayam katik. Ayam katik itu aku lah.
            ‘Saya nak perkenalkan Harlina pada anda semua. Harlina akan mula bekerja di bahagian ini sebagai setiausaha Encik Taufik.’ Puan Rania memperkenalkan Harlina kepada kami. Dalam tempoh dua hari ini, jabatan kami telah mendapat dua orang staf baru. Tetapi yang peliknya semasa Encik Faizal dulu tiada setiausaha pun disediakan untuk beliau. Taufik kan orang penting syarikat jadi haruslah mempunyai setiausaha. Fikirku di dalam hati.
            Harlina ditempatkan di meja kosong yang berdekatan dengan bilik Taufik. Betul-betul di tepi pintu pejabat Taufik. Mana tahu mereka berjodoh pula. Bagus juga Harlina muncul, pasti perhatian Taufik akan lebih teralih kepadanya. Mungkin selepas ini tiada lagi orang yang akan asyik memanggil-manggil nama aku.
            Aku sempat berbual-bual kosong dengan Harlina sekadar ingin beramah mesra dengan pekerja baru. Dia lebih selesa kami memanggilnya Lina sahaja. Katanya lebih pendek dan ringkas.
            Petang itu ketika baru sahaja hendak keluar ke tempat letak kereta aku terserempak dengan Harlina.
            ‘Hai Lina. Tunggu siapa?’ Aku menyapa Harlina.
            ‘Hai Amaani. Saya tengah tunggu boyfriend saya. Awak drive sendiri ke?’ Harlina menyoal kembali. Nampaknya Harlina sudah berpunya. Baru sahaja aku hendak memadankan dia dengan Taufik tetapi nampaknya ternyata gagal.
            ‘Aah saya drive sendiri.’ Aku menjawab pendek sambil tersenyum.
            ‘Oh, itu pun boyfriend saya sampai.’ Harlina menunjukkan ke arah sebuah kereta Perdana yang menyusul masuk ke perkarangan bangunan. Teman lelaki Harlina sempat membuka cermin tingkap.
            ‘Sayang, kenalkan ni rakan sekerja I . Amaani namanya. Amaani ni Amir, boyfriend saya.’ Harlina sempat memperkenalkan kami. Aku hanya tersenyum sekadar mengelak dari dipanggil sombong. Siap panggil sayang tu.
            ‘Hai Amaani. Tolong jaga girlfriend saya baik-baik.’ Amir sempat berseloroh. Aku senyum dalam keterpaksaan. Kurang enak diperkenalkan dengan kekasih orang.
            ‘Bye Amaani. Jumpa esok.’ Harlina masuk ke dalam kereta dan kereta itu meluncur pergi meninggalkanku. Aku masih berdiri di situ memikirkan idea kurang bijakku pagi tadi. Tapi benar juga orang secantik Harlina pasti ramai yang terpikat. Beruntung siapa yang memiliki Harlina. Nampaknya Taufik terpaksa undur diri. Cop, bila pula Taufik sukakan Harlina. Aku yang pandai-pandai nak padankan mereka.
            ‘Batrisya.’ Aku terkejut dan kunci di tanganku jatuh. Aku terus menoleh ke belakang ke arah suara yang cukup aku kenali. Kunci aku biarkan di atas jalan. Nanti lah ambil.
            ‘Kenapa awak berdiri sorang-sorang kat sini. Apa yang awak fikirkan?’ Soalan lagi dari Taufik. Naik rimas aku dibuatnya.
            ‘Tak ada apa-apa bos. Saya dah nak balik. Jumpa esok bos.’ Aku terus beredar menuju ke arah kanan, kemudian aku teringat keretaku di parking di sebelah kiri. Jadi aku berpusing ke arah bertentangan semula. Taufik pasti gelakkan aku.
            Sampai di kereta ketika aku hendak membuka pintu baru aku perasan kunci tidak bersamaku. Aku terus sahaja berpaling untuk mengambil kunci yang jatuh tadi dan Taufik sudah muncul betul-betul di hadapanku.
            ‘Mak!!!’ Aku menjerit kecil dan aku terdorong ke belakang. Mujur ada keretaku, jika tidak pasti aku sudah jatuh ke atas jalan bertar.
            ‘Amaani awak okay?’ Taufik sudah menghampiriku dan seperti hendak memegang tanganku.
            ‘Bos!!! Jangan pegang saya.’ Aku sempat menjerit. Taufik seperti agak terperanjat mendengar aku menjerit. Mujur tiada orang di situ. Jika tidak pasti malu Taufik dibuatnya.
            ‘Maaf. Saya tak ada niat nak sentuh awak. Awak betul-betul ok?’ Taufik bertanya. Ada nada risau dalam katanya.
            ‘Saya ok lah bos. Jangan risau. Saya nak balik dulu.’ Aku berdiri tegak semula sambil mengetuk-ngetuk perlahan pinggangku. Sakit juga pinggang dibuatnya.
            ‘Kunci awak.’ Taufik menyerahkan kunci kepadaku. Rasa bersalah pula kerana menengking Taufik tak tentu pasal tadi. Rupanya dia hendak memulangkan kunci kepadaku.
            ‘Terima kasih.’ Aku mengambil kunci itu dan terus membuka pintu kereta. masuk ke dalam kereta dan memandang Taufik sekilas. Dia masih di situ, menunggu keretaku meluncur pergi. Aku tertanya-tanya di dalam hati kenapa aku sering diketemukan dengan Taufik dalam keadaan yang tidak dijangka. Nak kata Taufik tu stalker macam tak baik pulak dan lebih tepat tak logik. Apa lah yang ada pada aku sampai dia nak stalk aku. Letih memikirkan itu semua akhirnya aku memainkan lagu di dalam pendrive ku. Layan lagu lagi bagus dari fikir pasal Taufik.
           




Wednesday, 17 July 2013

AWAK ILHAM SAYA : BAB 4 (PERTEMUAN KEDUA)

4
PERTEMUAN KEDUA







SETAHUN KEMUDIAN

Hari ini kami dikhabarkan bahawa ada staf baru yang akan menyertai jabatan kami. Sudah pasti jawatan sebagai ketua bahagian yang akan terisi. Ketua bahagian kami, Encik Faizal baru sahaja ditugaskan menguruskan projek Hotel di Dubai. Pagi itu kami semua menjalankan tugas seperti biasa.
            ‘Datuk Fauzi datang.’ Haris bersuara. Pasti dia ternampak melalui cermin kaca. Aku yang berada di meja Erina turut memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Haris. Semua yang ada berdiri dan memberikan tunduk hormat ketika pemilik Xenia Berhad ini masuk. Beliau tidak berseorangan kerana turut bersamanya ialah seorang lelaki yang tidak dikenali.
            ‘Assalamualaikum semua.’ Datuk Fauzi memberi salam sambil tersenyum kepada kami semua. Beliau memandang stafnya seorang demi seorang silih berganti.
            ‘Waalaikummussalam Datuk.’ Semua yang berada di situ menjawab salam serentak. Macam gaya budak sekolah pun ada. Tapi aku pun buat perkara yang sama.
            ‘Semua dah sarapan?’ Datuk Fauzi bertanya ramah. Memang menjadi kebiasaan Datuk Fauzi bertanya khabar dan mengambil berat akan staf-stafnya. Itulah sifat Datuk Fauzi yang sangat disenangi oleh semua orang.
            ‘Sudah Datuk.’ Erina menjawab. Dan beberapa suara lain turut sama menjawab. Datuk Fauzi mengangguk sambil tersenyum. Aku turut tersenyum walaupun Datuk Fauzi tak pandang aku pun ketika itu. Entah kenapa tiba-tiba secara tidak sengaja aku terpandang lelaki yang datang bersama Datuk Fauzi. Dia sedang merenungku sambil tersenyum. Aku cepat-cepat menarik balik senyuman aku untuk Datuk Fauzi tadi. Bimbang lelaki tadi perasan aku senyum padanya. Aku memandang ke belakangku, tiada sesiapa pun jadi bererti lelaki itu senyum dan pandang aku. Kenapa pula dia nak senyum. Bukannya aku kenal dia pun. Aku sempat mengerling untuk mengetahui reaksinya. Dia masih tersenyum ke arahku. Kelakar ke aku ni sampai nak      senyum-senyum macam tu. Aku tidak mengendahkannya dan cepat-cepat memandang Datuk Fauzi kembali.
            ‘Hari ni saya nak perkenalkan staf baru syarikat kita. Beliau akan menggantikan tempat Encik Faizal sebagai ketua bahagian yang baru. Kenalkan ini Taufik Ilham. Anak tunggal saya.’ Datuk Fauzi memperkenalkan. Anak Datuk Fauzi rupanya. Dan juga staf baru jabatan kami. Untunglah anak pemilik syarikat, masuk kerja terus jadi ketua bahagian. Tengok muka nampak macam masih muda.
            Staf baru tersebut bersalaman dengan staf-staf lain. Staf wanita sibuk menghulurkan tangan juga untuk bersalam serta memperkenalkan diri masing-masing. Dia hanya tersenyum sambil menyambut huluran semua orang. Erina di sebelahku kelihatan teruja menunggu giliran untuk bersalam. Staf wanita yang lain pula langsung tidak melepaskan pandangan mereka dari wajah anak Datuk Fauzi. Entah apa yang mereka pandang, tak faham aku.
            ‘Saya Taufik Ilham.’ Suara itu menyedarkan aku. Taufik kini berada di hadapanku.
            ‘Saya Amaani Batrisya. Selamat bekerjasama dengan kami semua.’ Aku menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. Tidak mahu bersalam. Taufik tersenyum ke arahku. Senyum lagi dia ni. Tak penat ke asyik senyum saja. Taufik beredar dan berdiri di sisi ayahnya semula.
            ‘Baiklah saya harap kamu semua dapat memberikan kerjasama yang terbaik untuk Taufik dan memberi tunjuk ajar padanya. Maklumlah Taufik ni pun masih baru dan banyak perkara yang dia perlu belajar.’ Datuk Fauzi berkata-kata sambil menepuk perlahan bahu anaknya. Terlihat ikatan ayah dan anak di situ.
            ‘Jangan risau Datuk. Kami akan jaga anak Datuk baik-baik.’ Haris bersuara yakin. Semua yang ada di situ tergelak kecuali aku. Haris memang suka membuat lawak tetapi aku tidak merasakan ianya lawak sekarang. Dia dah besar, pandailah dia nak jaga diri dia.
            ‘Baiklah saya minta diri dulu. Kamu semua boleh sambung kerja semula. Erm Amaani saya nak minta tolong awak tunjukkan bilik Taufik boleh?’ Eh kenapa pula aku yang kena tunjukkan. Tak ada orang lain agaknya. Namun aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Tidak boleh meningkari arahan bos. Datuk Fauzi berlalu pergi selepas mengusap belakang anaknya.
            ‘Ermmmm Encik boleh saya tunjukkan bilik encik?’ Aku menyoal. Punya lah panjang ‘ermm’ aku. Taufik memandangku sambil tersenyum dan mengangguk perlahan. Dia mengekoriku. Erina sempat mencuit aku sambil tersenyum meleret. Aku tidak memahami maksudnya dan hanya mengangkat kening. Aku membuka pintu bilik pejabat. Walaupun sudah seminggu tidak didiami oleh sesiapa selepas Encik Faizal ke Dubai, namun semalam aku baru mengemasnya. Jadi keadaannya tetap bersih dan kemas.
            ‘Ni bilik Encik. Harap Encik selesa.’ Aku masuk ke dalam sambil diikuti oleh Taufik.
            ‘Terima kasih. Cantik bilik ni. Kemas je.’Taufik memuji. Tengoklah siapa yang kemas. Aku memuji diri sendiri dalam hati.
            ‘Sama-sama. Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu dan kalau Encik nak minta apa-apa jangan segan silu bagitahu kami.’ Formal sekali aku bercakap. Macam kekok pula.
            ‘Saya nak minta sesuatu dari awak boleh?’ Taufik menyoal. Nak minta apa pula dari aku. Buat suspen saja dia ni. Namun aku tetap mengangguk sambil tersenyum. Lebih kepada senyum paksa. Tidak suka berlama-lama dengannya. Kalau boleh nak keluar cepat-cepat.
            ‘Tak perlu panggil saya Encik. Panggil nama je. Tak kisah awak nak panggil yang mana satu. Ilham boleh Taufik pun boleh.’ Taufik menyuarakan hasratnya. Aku mengeluh kecil.
            ‘Kalau macam tu saya panggil bos. Saya rasa tak selesa nak panggil nama je. Macam tak sopan. Lagipun baru pertama kali jumpa. Saya minta diri dulu ye bos.’ Aku menekankan sedikit perkatan bos itu. Entah apa yang tak kena dengan Taufik ni tiba-tiba suruh panggil nama saja. Aku sudah berkira-kira untuk melangkah keluar.
            ‘Batrisya’ Agak terkejut aku mendengar Taufik memanggilku dengan nama tersebut. Jarang sekali orang memanggilku dengan nama itu. Biasanya orang akan memanggilku Amaani. Tetapi walaupun pelik, aku tetap menoleh kembali ke arahnya.
            ‘Terima kasih.’ Tak ada perkataan lain nak cakap agaknya. Ataupun memang Taufik tiada modal. Aku cuma mengangguk sambil tersenyum. Cepat-cepat keluar dari situ dan menutup pintu. Aku berjalan menuju ke bilik pejabatku pula bagi menyambung kerja.
            ‘Amaani.’ Erina berjalan ke arahku sambil tersenyum.
            ‘Lamanya kau kat dalam bilik bos baru kita. Apa yang korang bualkan?’ Erina menyoal ingin tahu.
            ‘Tak ada apa-apa lah. Cuma tunjuk bilik je. Kenapa?’ Aku menyoal kembali.
            ‘Kau tak perasan ke bos baru kita tu kacak sangat-sangat.’ Perkataan ‘sangat’ ditekankan oleh Erina.
            ‘Jadi?’ Aku tetap menyoal.
            ‘Kau ni tak ada perasan ke apa. Semua orang dah cakap-cakap pasal kekacakan dia tu tau. Dahlah kacak, suara pulak sedap, anak Datuk Fauzi pulak tu. Pakej memang sempurna. Memang buat orang cair betullah.’ Erina menyuarakan dengan penuh teruja.
            ‘Kalau dia kacak sekalipun apa kaitan dengan kita. Itu muka dia.’ Aku dengan selamba menjawab.
            ‘Ada lah kaitan. Lepas ni semua orang bersemangatt lah nak buat kerja. Mesti ada yang akan mengorat bos baru.’ Erina berbisik.
            ‘Kau pergilah beramah mesra dengan bos kita tu. Mana tahu dia boleh terpikat. Kau cantik, bergaya.’ Aku memuji dengan ikhlas.
            ‘Habis tu pakwe aku nak letak mana. Walaupun ada orang kacak macam tu depan mata aku, aku tetap setia tau.’ Erina sudah memuncungkan mulut.
            ‘Alah janganlah merajuk. Aku gurau je lah. Dahlah aku nak sambung buat kerja. Banyak lagi kerja tak siap ni.’ Aku beredar terus ke bilik. Malas hendak melayan celoteh Erina lagi. Sampai di bilik aku terus menyambung kerja-kerjaku. Fail sudah bertimbun di atas meja.
……………………………………………………………………………………………………
            ‘Amaani. Jom lunch. Dah pukul satu.’ Erina muncul di pintu bilik.
            ‘Kau pergilah. Aku tak sempat nak makan kot. Banyak lagi kerja ni.’ Aku menjawab.
            ‘Kau ni asyik kerja-kerja. Makan kejap je lah. Nak kirim apa-apa tak?’ Erina menyoal.
            ‘Tak tahu nak makan apa. Macam tak ada selera.’ Aku menggelengkan kepala.
            ‘Ok lah aku pergi dulu. Kalau tiba-tiba berubah fikiran, mesej aku tau. Tapi jangan lambat sangat.’ Erina memberi tawaran.
            ‘Thanks a lot my dear friend.’ Aku sempat membuat flying kiss dan menghadiahkannya kepada Erina. Erina hanya menggelengkan kepala dan berlalu pergi.
            Aku kembali menyambung kerja. Kali ini pintu diketuk dan dibuka lagi.
            ‘Ada apa lagi Erina?’ Aku menyoal tanpa memandang.
            ‘Batrisya.’ Aku terkejut mendengar suara itu lantas mendongak.
            ‘Bos. Sorry saya ingatkan Erina.’ Aku merenungnya. Dia ni kenapa tiba-tiba datang bilik aku. Dah lah buka pintu tak minta izin.
            ‘Tak apa. Awak tak keluar makan?’ Taufik menyoal.
            ‘Tak. Bos pergilah makan.’ Cepat saja aku ‘menghalau’nya.
            ‘Saya puasa. Awak kenapa tak makan?’ Suka hati akulah nak makan ke tak. Sibuk je nak tahu.
            ‘Tak ada selera.’ Aku menjawab pendek. Berharap dia cepat beredar dari bilikku. Aku kembali menatap fail di atas meja.
            ‘Awak nampak sibuk. Saya keluar dulu.’ Sedar pun kehadiran tu tak diundang. Aku lega. Taufik menutup pintu bilik.
            Aku tenung jam di skrin laptop. Sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Lantas aku bangun dan mencapai beg telekung di dalam laci meja. Aku berkira-kira untuk ke surau. Pintu bilik aku buka dan seluruh pejabat kosong. Nampaknya semua orang sudah keluar makan. Dalam waktu yang sama Taufik keluar dari bilik pejabatnya. Aku senyum kepadanya sebagai tanda menghormati bos.
            ‘Nak pergi mana?’ Dia bertanya. Tak penat ke asyik bertanya.
            ‘Surau. Bos?’ Aku menjawab malas. Bertanya sekadar menjaga hati. Nanti dia ingat aku sombong pula. Apa-apa pun aku tetap kena hormat dia sebagai ketua.
            ‘Sama. Boleh awak tunjukkan surau pada saya. Tadi saya tak sempat nak tanya daddy.’ Taufik meminta. Sejuk pula hati mendengar dia bertanya berkaitan surau.
            ‘Boleh. Jom.’ Aku mengangguk dan berjalan keluar. Surau wanita hanya bersebelahan surau lelaki jadi tidak perlu aku berjalan jauh untuk menunjukkan arah surau kepada Taufik. Sambil menyelam minum air katakan. Kami berpisah dan masing-masing masuk ke dalam surau.
            Setelah melipat telekung dan memakai selendang, aku terus keluar dari surau. Bertemu beberapa orang staf wanita yang lain dan sempat bertegur sapa. Aku berjalan terus menuju ke pejabat tanpa memandang sekeliling.
            ‘Batrisya.’ Suara itu lagi. Apa lagi dia buat kat sini. Baru selesai solat juga mungkin. Aku menoleh ke arah Taufik. Dia sedang duduk di kerusi yang disediakan di luar surau.
            ‘Bos tak balik lagi?’ Aku kehairanan.
            ‘Belum. Saya tunggu awak.’ Dia menjawab selamba. Kenapa pula dengan bos baru ni. Pelik aku dibuatnya. Aku bukannya budak kecil sampai kena tunggu. Aku tahulah jalan balik. Ataupun dia yang lupa jalan balik. Mengarut lah.
            ‘Lain kali bos tak perlu tunggu saya. Tak manis orang lain tengok.’ Jujur aku menjawab. Tetapi itulah yang sebaiknya. Dia pula hanya tersenyum.
            ‘Maafkan saya.’
            ‘Tak apa. Bos jalan dulu. Saya jalan kemudian.’ Aku mengarahkan dan dia hanya menurut. Berjalan terus meninggalkan aku. Kira-kira 10 langkah dia di hadapan, aku pun turut melangkah perlahan. Taufik sudah jauh meninggalkanku di belakang. Langkahnya pasti panjang. Lihat saja ketinggiannya. Aku rasa pasti lebih 180cm.
            Ketika aku tiba di pejabat, beberapa orang staf sudah pulang dari makan tengahari termausklah Haris. Haris seperti biasa laju saja menghampiri aku dengan muka yang penuh tanda tanya.
            ‘Aku rasa baru 10 saat Encik Taufik masuk pejabat. Lepas tu tiba-tiba kau pulak yang muncul. Ada udang di sebalik mee yang aku tak tau ye?’ Haris sudah memancing. Aku naik rimas dibuatnya.
            ‘Yang kau sibuk dengan mee udang ni kenapa? Kebetulan je lah. Tadi kitorang kebetulan pergi surau. Tak payah nak merapu fikir bukan-bukan.’ Aku berjalan laju meninggalkan Haris yang terpinga-pinga.
            Selepas masa rehat tamat Taufik menyuruh aku masuk ke dalam bilik pejabatnya. Dia meminta aku menerangkan berkaitan projek kami di Shah Alam. Seperti biasa aku berlagak professional dengan menarangkan segala maklumat projek serta kemajuan projek. Taufik mendengar dengan teliti dan tanpa segan silu bertanya segala yang menjadi persoalannya. Katanya dia masih baru dan langsung tiada pengalaman dalam menguruskan projek, jadi dia mengharapkan aku memberikan tunjuk ajar memandangkan aku lebih berpengalaman dan mengetahui semua selok-belok berkaitan projek. Tanpa banyak soal aku bersetuju. Tidak salah berkongsi ilmu dengan orang. Sekali kita berbuat baik kepada orang, berganda-ganda Allah akan memberi balasan baik kepada kita. Itulah prinsip yang selalu aku pegang. Aku juga merasa selesa dengan Taufik tetapi hanya atas urusan kerja. Itu semua kerana sikapnya yang merendah diri dan banyak bertanya. Bila difikir balik agaknya memang dia dilahirkan suka bertanya. Tetapi apabila dia bertanya sesuatu yang tiada kaitan dengan kerja, itu yang membuatkan aku rasa menyampah sedikit.
            Perbincangan kami tamat pada pukul 3.00 petang dan selepas itu aku menyambung semula kerja-kerjaku yang bertimbun di atas meja.



Tuesday, 16 July 2013

AWAK ILHAM SAYA : 3.HOME SWEET HOME

3
HOME SWEET HOME






3
HOME SWEET HOME







“Angah dan hantar resume kat mana-mana company?” Along menyoal ketika kami satu keluarga minum petang. Hari ini merupakan hari kedua aku berada di rumah setelah tamat pengajian. Nikmat berada di rumah sungguh indah. Terasa seperti tidak mahu ke mana-mana dan duduk bersama mak dan ayah sampai bila-bila.
“Dah Along. Lebih kurang sepuluh juga lah Angah hantar. Husna pun hantar dekat company yang sama dengan Angah.” Aku menjawab sambil mengunyah goreng pisang yang sungguh enak.
“Mana tahu ada rezeki boleh dapat satu tempat kerja ya Angah.” Mak turut serta.
“Harap-harap macam tu lah mak. Nanti boleh duduk sekali. Mak dengan ayah tak kisah kan kalau Angah dapat kerja jauh?” Aku menyoal sambil melentokkan kepala ke bahu mak.
“Ayah tak kisah. Yang penting Angah pandai jaga diri, jaga solat, jaga tingkah laku. Ayah percayakan anak-anak ayah.” Ayah mula menyertai perbualan kami.
“Tapi kalau boleh Angah nak duduk dengan mak ayah lama-lama.” Aku mula merengek.
“Angah tu dah besar, dah boleh kahwin pun. Tak kan nak duduk bawah ketiak mak sampai tua.” Along mula mengusikku.
“Eiiii tak mahu kahwin. Along ni, orang budak lagilah.” Aku memasamkan muka tanda protes.
“Angah ni, kalau Adik yalah budak. Angah, Adik teringinlah nak ada abang ipar. Sekarang ni orang semua nak kahwin awal. Angah pula tak nak kahwin?” Adik mula menyertai Along.
“Along dengan Adik sengaja nak kenakan Angah kan.” Aku sudah tarik muncung sedepa.
“Ish kamu bertiga ni pantang jumpa ada je modal kan. Nanti ayah cubit juga tiga-tiga.” Ayah mengusik sambil ketawa.
“Ayah, Along dengan Adik tu suka usik Angah.” Aku mengadu.
“Betul lah apa Along dengan Adik cakap tu. Kalau Angah dah ada pilihan hati apa salahnya. Mak dengan ayah tak larang. Asalkan orangnya mampu membimbing Angah dan mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.” Nasihat mak membuatkan aku terdiam.
Memang benar apa yang mak katakan tetapi buat masa sekarang aku tidak mahu memikirkan soal kahwin. Sebenarnya tidak pernah terfikir soal kahwin. Cukuplah hati ini pernah diambil oleh seseorang dan dia bawa pergi jauh terbang ke Australia. Sudah serik untuk bermain dengan hati dan perasaan lagi.
“Mak dengan ayah akan sentiasa setuju dengan keputusan Angah kan. Kalau boleh Angah tak nak fikir pasal kahwin lagi. Nak kerja dulu dan luangkan masa dengan mak, ayah, Along dengan Adik. Kalau ada orang masuk meminang sekalipun jangan setuju.” Aku sempat berseloroh.
“Angah ni perasan ada orang nak masuk meminang.” Adik tambah mengusikku. Aku menyiku adik perlahan.
“Apa ingat Angah tak laku ke. Walaupun tak lah cantik mana tapi tetap ada orang berkenan.” Aku buat muka berlagak dengan Adik.
“Ya lah kakak Adik ni ramai peminat kan.” Adik sengaja memerliku. Kali ini aku mencubit adik.
“Aduh sakitlah. Mak tengok Angah ni.” Adik mengadu.
“Masa ni lah nak bergaduh. Esok lusa Angah dah kerja jauh mulalah rindu. Ini Angah balik dua minggu sekali pun asyik sebut-sebut je nama Angah kan.” Mak memperbaiki keadaan.
“Yalah adik mana yang tak sayang kakak kan. Masa ni lah nak manja-manja dengan Adik. Nanti dah susah”’ Aku memeluk adik erat untuk mengenakannya. Ayah, mak dan Along hanya ketawa melihat telatah kami yang seperti anjing dengan kucing. Sesungguhnya insan-insan inilah yang sentiasa memberikan sinar kebahagian kepadaku.
……………………………………………………………………………………………………....
            Hari Raya disambut sederhana oleh kami sekeluarga pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya. Setelah selesai Solat sunat Aidilfitri kami akan melawat pusara arwah nenek dan datuk. Setelah pulang ke rumah, saudara-mara dan jiran tetangga akan berkunjung ke rumah pula.
            Tahun ini Aidilfitri agak berbeza untukku berbanding tahun-tahun sebelum ini. Alasannya ialah kerana soalan yang kerap ditanya oleh saudara-mara. Bila masing-masing tahu aku sudah tamat pengajian, pelbagai soalan tentang bila nak kahwin, dah ada calon suami dan yang seangkatan dengannya disoal. Aku ulang jawapan yang sama untuk setiap persoalan. Siap boleh hafal lagi kerana berpuluh kali ulang perkataan yang sama.
Jawapanku mudah. Belum ada calon, kalau sudah sampai jodoh nanti In sha Allah kahwin. Yang paling tak tahan ada pula yang siap hendak mencari jodoh untukku. Makcik-makcik aku pula sibuk mahu kenalkan dengan anak kawan-kawan mereka.  Aku seperti biasa wajiblah tidak berminat. Alasan mereka bimbang aku jadi andartu. Zaman sekarang semua orang sibuk hendak kahwin awal. Aku pula langsung tidak berminat. Itu orang lain, bukan aku. Apa yang penting bagiku adalah 3K iaitu kerja, kumpul duit dan kaya.
……………………………………………………………………………………………………....
Pada tarikh 5 Syawal aku mendapat surat panggilan untuk menghadiri temuduga kerja di sebuah syarikat pembinaan yang dikira gah. Along lah yang menghantarku ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temuduga tersebut.
Seminggu kemudian aku mendapat surat panggilan kerja dari syarikat tersebut. Alhamdulillah tidak sampai dua bulan aku menganggur aku mendapat kerja. Ditakdirkan Husna juga mendapat kerja di Kuala Lumpur dan tempat kerjanya berhampiran denganku. Jadi kami memilih untuk tinggal di rumah sewa yang sama. Maka di situlah bermulanya kisah hidup baruku. Takdir membawaku ke kisah yang tidak pernah aku jangka akan terjadi dalam hidupku.



Saturday, 13 July 2013

AWAK ILHAM SAYA : 2.CINTA PERTAMA AMAANI

            
2
CINTA PERTAMA AMAANI






Aku mengangkat beberapa buah buku untuk disusun ke dalam kotak. Separuh daripada barang-barangku telah siap dikemas. Keluargaku akan datang menjemput pagi esok. Ayah, mak, Along dan Adik semua akan datang. Along akan memandu pulang kereta Kancil yang aku bawa ke kolej. Ayah masih belum memberi kepercayaan kepadaku untuk memandu sendiri dalam jarak yang jauh. Perjalanan ke rumah kami akan mengambil masa kira-kira dua jam setengah. Mujur hari esok hari Ahad, jadi Along pun cuti.
Ayah memberi keizinan untuk aku membawa kereta Kancil itu pun kerana memikirkan aku sudah semester akhir jadi banyak perlu bergerak ke sana dan ke mari untuk menyelesaikan projek akhir dan sebagainya. Tambahan lagi, keputusan peperiksaan aku setiap semester yang cemerlang dan berjaya mendapat Anugerah Dekan membuatkan ayah tidak teragak-agak untuk bersetuju.
Memang sudah menjadi kebiasaan keluarga kami di akhir setiap semester satu keluarga akan datang menjemput. Teringat pula semasa zaman Along masih belajar di universiti dulu, setiap tahun dua kalilah kami akan ke Johor untuk menjemput Along kerana Along dahulu belajar di Universiti Teknologi Malaysia.
Itulah ikatan yang terjalin dalam keluarga kami. Ayah akan sentiasa memastikan anak-anaknya tidak perlu bersusah payah mengangkut barang balik ke rumah dengan menaiki bas ataupun menumpang barang di rumah kawan-kawan. Selagi ayah termampu ayah akan tetap menjemput kami. Kini aku dan Along sudah tamat belajar. Tinggal Adik sahaja yang masih bersekolah di Tingkatan Lima. Nampaknya cuti aku akan digunakan untuk menjadi cikgu selaku mentor Adik. SPM sudah semakin hampir jadi Adik harus meningkatkan usaha untuk belajar bersungguh-sungguh.
            Sambil aku terkenang kisah keluargaku, aku sempat mengangkat beberapa buah buku yang lain pula ke dalam kotak. Tiba-tiba sekeping gambar jatuh dari timbunan buku yang kuangkat. Aku menatap gambar itu seketika sebelum fikiranku menerawang jauh kembali ke zaman persekolahan.

6 TAHUN LEPAS
            “Baiklah, hari ni kamu semua akan mendapat seorang kawan baru.” Cikgu Zalia yang merupakan guru kelas kami mengumumkan semasa kelas Bahasa Melayu. Semua rakan-rakanku menoleh ke arah pintu untuk melihat kelibat pelajar baru tesebut. Aku tidak terkecuali. Wajahnya terlindung oleh pintu jadi akhirnya aku berputus asa.
            Beberapa saat kemudian pelajar itu melangkah masuk ke dalam kelas perlahan-lahan bersama Cikgu Dahlia. Cikgu Dahlia merupakan guru bagi subjek Sejarah. Aku melihat pelajar itu sekilas.
            “Serabainya mamat ni.” Aku berbisik dalam hati. Rambutnya panjang dan agak tidak terurus. Wajahnya langsung bukan macam orang Melayu. Sekali pandang seperti berbangsa Cina. Cikgu Zalia dan Cikgu Dahlia berbual-bual perlahan dan kemudian Cikgu Dahlia keluar.
            “Cikgu nak kamu perkenalkan diri kamu.” Cikgu Zalia menyuruh. Pelajar baru itu mengangguk sambil tersenyum.
            “Apa khabar semua. Nama saya Nicholas Lee. Boleh panggil saya Nick. Saya harap kawan-kawan semua dapat beri tunjuk ajar pada saya.” Dia memperkenalkan diri. Jadi betullah tekaanku dia berbangsa Cina. Teringat pula pada Nicholas Tse, pelakon popular dari Hong Kong. Aku tersenyum tiba-tiba.
            “Amaani, yang kamu senyum sorang-sorang tu kenapa?” Cikgu Zalia menegur. Semua mata kini memandangku termasuklah pelajar baru tadi.
            “Maaf cikgu.” Aku tertunduk malu. Amaani lain kali jangan senyum, masam saja. Aku membebel dalam hati.
            “Nicholas, kamu boleh duduk sebelah Khairul.” Cikgu Zalia menunjukkan tempat duduknya dan Nicholas terus menuju ke meja tersebut. Aku tidak memandang wajahnya tetapi hanya memerhati gerak-gerinya. Nicholas duduk selang semeja dari aku kerana meja Khairul hanya bersebelahan mejaku.
            “Nani, tadi dia pandang kau masa dia lalu.” Dalila berbisik.
            “Dia pandang kau tu.” Aku membalas pendek sambil tersenyum. Tidak mahu melayan sangkaan mengarut Dalila yang lain pula.
            “Kita sambung semula kelas kita. Amaani cuba bagi contoh isi untuk karangan ni.” Cikgu Zalia memilih aku seperti biasa.
            “Menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk kemudahan para pelancong.” Laju sahaja aku menjawab.
            “Bagus Amaani. Ok isi seterusnya saya nak Hafizi bagi contoh.” Cikgu Zalia memilih kawanku yang lain pula. Hafizi menggaru-garu kepalanya sambil tersenyum.
            “Kamu ni Hafizi. Siapa boleh tolong Hafizi?” Mendengar kata-kata itu aku cepat-cepat mengangkat tangan. Sama benar seperti Hermione Granger, watak dalam filem terkenal Harry Potter. Cikgu Zalia mengangguk sambil tersenyum.
            “Membuat promosi secara besar-besaran contohnya seperti Tahun Melawat Malaysia.” Aku menjawab lantang.
            “Betul tu Amaani. Terima kasih.” Aku tersengih mendengar kata-kata Cikgu Zalia.
            Kelas kami tamat lebih kurang setengah jam kemudian. Seperti biasa Cikgu Zalia memberikan kami kerja sekolah. Setelah Cikgu Zalia keluar, beberapa orang kawanku datang ke mejaku untuk mendapatkan bantuan bagi membuat ayat. Manakala, yang lain pula mengerumuni meja Nicholas. Sudah menjadi kebiasaan jika pelajar baru masuk, masing-masing sibuk mahu ambil tahu itu dan ini dari pelajar tersebut. Aku pula seperti biasa tiada masa untuk ambil tahu.
            Kelas kami pada hari itu seperti biasa penuh. Loceng berbunyi tepat jam 1.30 petang dan masing-masing sibuk mengemas buku untuk pulang. Jam 2.30 petang nanti kami semua perlu menghadiri kelas tambahan. Beginilah rutin harian pelajar yang bakal menduduki SPM. Pagi akan dipenuhi dengan kelas harian dan petang pula jadual akan dipenuhi dengan kelas tambahan. Bagi pelajar yang tinggal di asrama seperti aku, pada sebelah malam pula kami perlu mengikut jadual prep yang telah ditetapkan oleh pihak asrama.
            “Amaani.” Suara yang sangat asing dan jarang aku dengar tiba-tiba memanggil namaku ketika aku sedang memasukkan buku ke dalam beg. Aku menoleh ke arah suara tersebut dan Nicholas sedang berdiri di tepi mejaku.
            “Ya saya. Macam mana awak tahu nama saya?” Aku menyoal dengan kening yang dikerutkan.
            “Tadi Cikgu Zalia banyak kali sebut nama awak.” Nicholas menjelaskan sambil tersenyum. Aku hanya balas dengan anggukan.
            “Saya nak minta awak tolong ajar saya buat karangan boleh? Saya lemah Bahasa Melayu.” Nicholas bercakap dengan teragak-agak. Patutlah, nak minta tolong rupanya. Aku tersenyum ke arahnya.
            “Boleh, tapi lepas kelas tambahan ya. Sekarang ni saya nak kena balik makan dan siap-siap pergi kelas tambahan.” Aku terus bersetuju. Senyuman terukir di wajah Nicholas.
            “Terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu.” Nicholas berlalu pergi.
            “Wah dia minta tolong kau. Untungnya. Dah lah dia tu comel.” Dalila mula mengusik.
            “Tak payah nak untung sangat. Dia nak belajar kan. Apa salahnya kita kongsi ilmu dengan orang. Tapi petang ni kau kena teman ya.” Aku melentokkan kepala sambil mengerdipkan mata ke arah Dalila.
            “Kau tak payah nak buat muka comel macam tu. Kau tak ajak pun aku memang nak pergi teman. Seronok juga buat kerja sekolah dengan orang comel. Boleh dapat inspirasi.” Dalila sudah tersenyum-senyum.
            “Kau ni tak baik lah. Dan apa pula kaitan muka comel dia dengan kita nak belajar. Mengarut betul. Dahlah jom balik asrama. Lapar ni.” Aku menarik tangan Dalila.
            Petang itu selepas kelas tambahan, aku dan Dalila mengajak Nicholas ke kantin sekolah untuk menyiapkan karangan yang diberikan oleh Cikgu Zalia. Nicholas benar-benar menunjukkan minat untuk belajar dan tidak segan silu untuk bertanya apa-apa yang menjadi persoalannya. Aku menjadi selesa dengannya. Tambahan pula dia agak ramah.
Lebih kurang 45 minit dan akhirnya karangan kami siap. Dalam tempoh 45 minit itu pelbagai maklumat berkaitan dirinya aku dapat ketahui, itupun kerana Dalila bertanya itu dan ini. Aku pula hanya sibuk memberi tunjuk ajar kepadanya. Nicholas rupa-rupanya berdarah kacukan Cina dan Australia. Kerana itulah aku melihatnya sekali imbas persis orang Cina dan dua kali pandang ada iras-iras ‘Mat Salleh'. Ayahnya berbangsa Cina dan ibunya orang Australia. Aku sempat menyuruhnya berbahasa Inggeris dengan kami dan sepenuhnya English accent.
Nicholas berjanji akan membantu kami dalam subjek Bahasa Inggeris pula. Katanya sebagai membalas budiku. Sebenarnya aku tidak minta dibalas tetapi jika orang menawarkan bantuan apa salahnya kita menerima. Orang memberi, kita merasa. Mana tahu ada rezeki boleh aku mendapat A1 dalam SPM untuk subjek Bahasa Inggeris juga.
Semenjak itu kami banyak meluangkan masa bersama untuk membuat kerja sekolah. Dalila sebagai peneman setiaku. Sewaktu itu banyak suara-suara yang tidak puas hati akan keakraban kami. Aku pula tidak menghiraukan apa yang orang perkatakan. Bagiku asalkan kami tidak menggangu hidup orang lain dan niat kami adalah untuk menuntut ilmu serta berkongsi ilmu yang ada.
Dalam tempoh enam bulan kami berkenalan timbul satu perasaan yang tidak pernah aku jangka akan terjadi. Perasaan itu muncul tiba-tiba tanpa diundang dan itulah kali pertama aku mempunyai perasaan sedemikian. Nicholas membuatkan aku rasa bahagia dan kehadirannya seperti menjadi salah satu pendorongku.
Aku keliru dengan perasaan tersebut tetapi aku berlagak seperti biasa apabila bersama Nicholas. Aku tidak mahu dia tahu perasaanku ini. Biarlah hanya aku yang pendam. Terlalu rumit jika antara kami ada hubungan yang lebih dari seorang kawan. Kami jauh berbeza dan terlalu berbeza. Bangsa, budaya dan yang paling utama, agama kami berbeza. Dalila menjadi tempat aku meluahkan perasaan dan segala rahsia hatiku berkenaan Nicholas.
Seminggu sebelum SPM aku mendapat sepucuk surat yang diletakkan di bawah mejaku. Aku tidak membaca isi surat itu di kelas kerana bimbang rakan-rakanku akan mengetahuinya. Setelah sampai di asrama barulah aku membukanya. Isi surat itu sungguh mengejutkan aku.

Kepada Amaani Batrisya bt. Lukman,
Terima kasih atas segala ilmu yang telah awak kongsikan bersama saya. Atas pertolongan awak, saya rasa Bahasa Melayu saya semakin bagus. Saya minta maaf jika selama ini saya ada menyakiti hati awak tanpa sengaja. Sedikit pun saya tidak pernah terniat untuk menyakiti awak. Saya tahu ramai yang tidak suka melihat kita berkawan tetapi awak tetap setia membantu saya dengan ikhlas. Bagi saya awak adalah gadis yang sangat istimewa, berbeza dari kawan-kawan perempuan saya yang lain. Saya dapat melihat keikhlasan awak melalui renungan mata awak.
Sebenarnya saya ingin berkata jujur dengan awak. Sejak pertama kali saya melihat awak, hati saya telah terusik untuk mengenali awak dengan lebih dekat. Maafkan saya jika awak rasa saya cuma mengambil kesempatan untuk belajar dengan awak. Tetapi, niat saya yang sebenarnya memang ingin belajar. Mungkin takdir tentukan kita untuk lebih rapat dan mengenali melalui cara tersebut. Amaani, saya sebenarnya sukakan awak. Saya tidak mengharapkan sebarang balasan untuk perasaan saya terhadap awak. Cuma saya ingin awak tahu saya benar-benar ikhlas sukakan awak. Saya tahu awak juga mempunyai perasaan yang sama terhadap saya.
Saya dapat merasakan semua itu melalui pandangan mata awak walaupun awak berusaha untuk berselindung. Saya tahu kita sangat berbeza tetapi saya berharap awak percaya pada takdir. Jika jodoh itu milik kita, pasti kita akan bersatu. Kalau boleh izinkan saya untuk berjumpa dengan awak selepas peperiksaan SPM kita tamat. Saya akan tunggu awak di hadapan dewan peperiksaan. Ada sesuatu yang saya ingin berikan pada awak. Untuk SPM kita, awak perlu berjanji dengan saya awak akan buat yang terbaik. Kejayaan awak adalah kebahagian saya juga. Banggakan keluarga awak. Saya akan tetap menyokong awak.
                                                Ikhlas dari,
Nicholas

            Aku terpaku lama di hadapan almari sambil memegang surat itu. Sungguh aku tidak pernah menjangka bahawa Nicholas juga menyimpan perasaan yang sama terhadapku. Aku meletakkan surat tersebut ke dalam almari dan meraup mukaku dengan kedua-dua belah tangan. Buntu memikirkan apa yang harus aku rasakan. Bahagia? Gembira? Risau? Semuanya seperti bercampur aduk.
            Keesokan harinya semasa di kelas aku langsung tidak mempedulikan Nicholas. Nampak seperti sungguh kejam, namun hanya itu yang mampu aku lakukan. Aku dapat melihat kekecewaan di wajahnya tetapi aku pura-pura tidak peduli. Walhal, dalam hatiku hanya Allah yang tahu betapa luluhnya melihat wajah itu kecewa. Setelah kelas habis dan kami sampai di asrama aku terus menulis surat balasan untuk Nicholas. Tidak sampai hati membiarkan dia tertanya-tanya.

Kepada Nicholas Lee,
Saya minta maaf atas kesilapan yang saya lakukan pada awak. Tidak terlintas sedikit pun di hati saya untuk menyakiti awak. Saya cuma masih belum bersedia untuk menerima kebenaran dari hati awak yang jujur dan ikhlas. Terlalu banyak perkara yang merunsingkan saya. Saya membalas surat ini setelah betul-betul mendapat kekuatan. Saya tidak sanggup membiarkan awak terus tertanya-tanya. Selama ini saya tidak pernah menyangka awak dapat menduga hati saya. Dan yang paling saya tidak jangka ialah awak mempunyai perasaan yang sama seperti saya.
Perasaan ini adalah anugerah dan saya tidak mampu menolaknya. Walaupun saya berusaha untuk membuang perasaan ini jauh-jauh namun saya tetap gagal. Saya tidak tahu bila saya mula sukakan awak. Menulis surat seperti ini juga sebenarnya tidak pernah saya fikirkan. Semua ini terlalu sukar. Ini kali pertama saya mempunyai perasaan sebegini dan pada orang yang tidak pernah saya jangka. Cukuplah sekadar awak dan saya tahu kita berkongsi perasaan dan rasa yang sama. Antara kita tidak boleh lebih dari seorang kawan. Saya akan pegang kata-kata awak. Percaya pada takdir. Jika jodoh sudah tertulis tiada yang mustahil.
Saya akan jumpa awak selepas habis peperiksaan di hadapan dewan nanti. Dalila akan menemani saya seperti biasa. Sama-sama kita berusaha dan buat yang terbaik untuk SPM kita. Saya juga ingin melihat kejayaan awak. Cuma, buat masa sekarang saya mungkin tidak mampu untuk berbual atau melayani awak seperti biasa. Saya harap awak faham.
                        Ikhlas dari,
Amaani.

            Aku meletakkan surat tersebut di bawah meja Nicholas pada keseokan paginya dan selepas itu kami masing-masing membuat hal sendiri sehinggalah ke hari peperiksaan. Masing-masing berlagak seperti saling tidak mengenali. Beberapa orang kawan kami curiga dengan perubahan sikap kami namun mereka tidak berani untuk bertanya berlebihan. Maklumlah peperiksaan SPM sudah semakin hampir, jadi masing-masing sibuk dengan persediaan peperiksaan.
            Selesai menjawab kertas peperiksaan terakhir, aku dan Dalila terus ke hadapan dewan. Aku kerapkali mencari kelibat Nicholas di kalangan kawan-kawan yang berpusu-pusu keluar dari dewan peperiksaan namun gagal.
Kami sempat mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan yang tinggal di luar. Bagi kawan-kawan yang tinggal di asrama, kami masih berkesempatan untuk bertemu mereka di asrama setelah pulang. Aku berdebar-debar sambil menanti. Dalila pula kerap kali menghampiri aku dan menggengam tanganku bagi memberi kekuatan untuk aku berhadapan Nicholas.
            Penantianku selama 10 minit hanyalah satu kehampaan apabila orang yang ditunggu tidak muncul tetapi yang muncul hanyalah Hafizi, rakan sekelas kami.
            “Nani, Nick suruh aku serahkan ni pada kau.” Hafizi berkata dalam nada teragak-agak sambil menghulurkan sebuah kotak kepadaku.
            “Mana Nick?” Pendek soalanku.
            “Dia dah balik. Ayah dia terus tunggu dia dekat parking lot depan tu.” Hafizi menuding ke arah tempat tersebut. Aku cepat-cepat memandang, mungkin Nicholas masih di situ. Namun itu semua hanya sia-sia. Akhirnya aku hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada Hafizi. Kami terus pulang ke asrama sambil membawa bersama hatiku yang kecewa. Sampai hati Nicholas pergi tanpa sebarang kata. Walaupun hati kesal, kotak yang diberi Nicholas aku tetap pegang erat.
            Aku membuka kotak tersebut sebaik sahaja tiba di asrama. Isinya ialah sebuah bola kaca yang sungguh cantik. Di dalam bola kaca tersebut terdapat patung dua orang kanak-kanak lelaki dan perempuan berpegangan tangan sambil dikelilingi salji. Terdapat juga orang salji di dalamnya. Aku menggoncang-goncangkan bola kaca itu dan habuk-habuk putih bertebaran bagaikan salji yang turun. Ini bermakna Nicholas memang tahu aku sangat sukakan salji dan mempunyai impian untuk menyentuh salji dengan tangan sendiri. Kenyataan itu membuatkan aku menitiskan air mata. Nicholas pergi tanpa sebarang kata tetapi meninggalkan aku dengan kesan yang sangat mendalam.
            Selepas kejadian itu aku dan Nicholas langsung tidak berhubung. Kami terputus begitu sahaja. Tidak tahu apa silapku sehingga Nicholas berubah begitu sahaja. Aku pasrah dengan semua yang berlaku. Benar antara kami adalah mustahil dan terlalu banyak halangan.
Semasa keputusan SPM dikeluarkan dan kami semua mengambil keputusan            masing-masing di sekolah, Nicholas langsung tidak menghadirkan diri. Aku bersyukur dengan keputusan SPMku. Walaupun bukan semua A yang aku perolehi namun masih tetap lulus dengan cemerlang.
            Aku hanya mendapat berita mengenai Nicholas melalui Hafizi. Kata Hafizi, Nicholas ke Australia seminggu selepas tamat peperiksaan SPM. Aku hanya menerima berita tersebut dengan hati yang kosong. Biarlah kami masing-masing meneruskan hidup dengan cara sendiri. Itu adalah jalan yang terbaik. Mungkin juga Nicholas sudah sedar terlebih dahulu bahawa antara kami tidak boleh bersatu.
Tetapi, jujur dari hatiku, aku masih mahukan penjelasan darinya mengapa dia pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Jika benar-benar dia sudah tawar hati dengan nasib kisah kami, mengapa dia harus menghadiahkan aku bola kaca tersebut. Bola kaca yang aku telah simpan dengan elok bersamaku selama hampir enam tahun.
………………………………………………………………………………………………………
            “Nini.” Husna menyergahku dari belakang dan kenangan itu hilang bersama detik yang berlalu. Gambar di tanganku juga terlepas dari pegangan. Husna mengutip gambar tersebut.
            “Nini, kau masih teringatkan dia?” Husna menyoal sambil menatap gambar tersebut. Husna memang mengetahui kisah antara aku dan Nicholas. Semua yang pernah berlaku aku ceritakan padanya.
            “Husna, dia cinta pertama aku. Walaupun kami tak pernah ada hubungan lebih dari seorang kawan tapi kesan yang dia tinggalkan terlalu mendalam untuk aku. Aku tak tahu sama ada aku mampu untuk buka pintu hati aku untuk orang lain.” Aku mengadu. Husna mengusap bahuku.
            “Nini, kau kena bagi peluang pada orang lain juga. Kau kena fikir untuk diri kau juga. Kalau kau terus macam ni tak kan sampai ke sudah kau tak nak kahwin.” Husna menasihati. Aku hanya memandang lesu.
            “Jodoh kita Allah yang tentukan. Buat masa ni kalau ditanya memang aku tak mampu nak terima siapa-siapa sebagai pengganti Nick. Aku serahkan semua pada takdir. Takdir Allah tu adalah yang terbaik untuk kita kan.” Aku membalas sambil tersenyum ke arah Husna. Husna pula hanya menganggukkan kepala.
            “Dahlah. Buat apa cerita pasal kisah silam aku ni. Mak dan ayah kau jadi kan datang pagi esok? Kalau sempat boleh jumpa dengan family aku juga esok. Moodku bertambah ceria apabila membincangkan hal keluarga.
            “Aku pun kalau boleh nak kenalkan keluarga aku pada keluarga kau. Nanti dah habis belajar ni kita susah dah nak jumpa.” Husna kedengaran sayu.
            “Alah janganlah touching macam ni. Nanti kan kita jumpa lagi masa konvo. Mana tahu ada rezeki kita dapat tempat kerja yang dekat. Boleh duduk sekali.” Dengan nada bersemangat aku mengembalikan suasana ceria.
            “Tak kisah apa pun yang penting kita kawan sampai mati.” Husna meluahkan sambil tersenyum.
            “Dan kawan dunia akhirat.” Aku menambah dan kami sama-sama tertawa riang. Semoga persahabatan kami tetap kekal utuh hingga ke akhir hayat.
          







(yang mana satu anda rasa sesuai sebagai Nicholas Lee? Gambar 1 : Peniel D. Shin from BTOB dan gambar 2 : Zhang Yi Xing / Lay from EXO)
   




(thanks a lot untuk semua yang sudi membaca kisah ini. Komen dari anda sangat saya alu-alukan.jika ada yang kurang tegur lah,mngkin boleh diperbaiki masa akn dtg.)